Thursday, 25 August 2011

1.19 Menziarahi Kubur Tok Ayah

Tok Ayah ialah datuk saya yang menjadi perantau dan penyebab kami semua menjadi 'warga Kuala Lumpur'. Bekerja sebagai kakitangan awam yang kerap merantau di sekitar Perak, penempatan akhir beliau adalah di Kuala Lumpur.  Tok Ayah telah meninggal dunia ketika saya masih berumur kurang dari 5 tahun. Saya masih ingat lagi mengucup dahi arwah sebelum Tok Ayah dibawa ke tanah perkuburan.
Gambar Hiasan
Kini, sudah lebih 20 tahun Tok Ayah meninggalkan kami sekeluarga. Maka, sudah lebih 20 tahun juga kami menziarahi kubur Tok Ayah saban tahun menjelang raya yang bakal tiba. Kalau dahulu, Opah dan adik beradik ayah akan turun ke Tanah Perkuburan Islam Ampang untuk membaca Yaa Sin dan tahlil. Ada ketikanya dibuat di pagi raya, ada ketikanya dibuat sebelum hari raya. Hari ini, hanya ayah anak beranak dan adik-beradiknya sahaja yang menziarahi kubur Tok Ayah kerana Opah sudah makin uzur.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak soleh yang berdoa untuknya." (Hadith Sahih - Riwayat Imam Ahmad)
Ketika masih kecil, saya sering bertanya ayah mengapa perlu ke kubur Tok Ayah setiap kali raya Aidilfitri. Ayah hanya menjawab untuk mendoakan Tok Ayah keampunan dan kesejahteraan. Lazimnya dalam masyarakat kita, amalan menziarahi kubur akan nampak lebih jelas pada bulan Ramadhan dan pada awal bulan Syawal; sama ada menziarahi kubur ibu bapa atau lain-lain sanak saudara.

Amalan ziarah kubur ini perlu dikekalkan kerana ia sunnah Rasulullah s.a.w. Di samping menghidupkan hubungan antara orang yang hidup dengan orang yang telah mati, terdapat lain-lain manfaat atau tujuan yang boleh diperolehi dari amalan menziarahi kubur itu seperti yang disarankan oleh Islam, antaranya ialah:  
1) Supaya dikasihi oleh Allah  s.w.t, dengan sebab kita mengikuti Sunnah Rasulullah  s.a.w.
2) Untuk mengingati asal-usul kejadian kita manusia, iaitu dari tanah dan kembali semula kepada tanah.
3) Menginsafi dan muhasabah diri tentang hari kematian, alam kubur dan hari Kiamat.
4) Mengambil iktibar atau  pengajaran dari apa yang telah berlaku.
5) Melembutkan kekerasan hati dan menggamit kesedihan yang membawa kepada kesedaran. 
6) Mendidik diri agar bersifat zuhud, iaitu tidak rakus dan tidak tamak akan harta benda dunia.
7) Selalu ingat pada kematian yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
8) Berlaku ihsan kepada penghuni kubur dan menggembirakan mereka dengan memberi salam, berdoa dan memohon keampunan untuk mereka.

Wahai Tok Ayah, cucumu ini sudah besar dan berkeluarga. Semoga Tok Ayah mendapat rahmat, redha dan keampunan Allah s.w.t. Amin.

Wallahu A'lam.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...