Friday 17 June 2011

1.9 Kembali Kepada Islam

Erti Kehidupan [The Meaning Of Life]
Secara amnya, masyarakat kini yang hidup dalam keadaan 'terkontang-kanting' menunjukkan keinginan untuk kembali kepada fitrah mereka...apa ertinya mereka hidup di dunia ini...?

Pencarian yang tidak berarah
Antara analisis yang saya lakukan adalah melalui blog walking, bual bicara dan bacaan. Kebanyakan mereka hanya mampu untuk memberi jawapan seperti berikut:-
1. Jadikan hayat kehidupan ini satu kehidupan yang penuh bererti.
2. Tempuhi dan alami kehidupan ini sepuas-puasnya.
3. Hidup ini satu penipuan.
4. Secara teorinya, tiada siapa tahu makna kehidupan sehingga saat kematian kita.
5. Apa-apa je la yang kau nak buat.
Tokoh psikoanalisis-Carl Gustaz Jung
Sedih dan pilu mendengar jawapan rakan-rakan yang masih tidak memahami apa erti kita diciptakan di dunia ini. Baik yang beragama Islam dan bukan Islam. Suatu ketika dulu, saya juga tertanya-tanya kepada diri sendiri "apa ertinya aku hidup di dunia ini", "mengapa Allah mencipta manusia?" dan pelbagai lagi soalan yang cuba mencari erti dalam kehidupan yang singkat ini...bisikan syaitan yang cuba menggoncang asas iman dan aqidah. Walaupun soalan yang ditanya sudah diketahui jawapannya, namun hidup tanpa panduan Islam dan hidayah Allah memungkinkan orang yang 'mengaji' agama menjadi 'buta'.

Carl Gustav Jung, tokoh psikoanalisis dari Switzerland, penemu kepada pemikiran psikologi analitik (Analitical Psycology) menyatakan bahawa apabila manusia mencari erti kehidupan, mereka akan dapati bahawa di akhir pencarian mereka akhirnya akan membawa kepada penghujungnya, iaitu pencarian mencari tuhan, mengenal pencipta kita.

Fitrah Manusia
Walau sehebat manapun kita, kita perlu kepada fitrah kita. Kehidupan tanpa arah tujuan akan menyebabkan hati dan jiwa kita kosong mencari-cari ketenangan. Alhamdulillah, ramai dari artis-artis di Malaysia ini yang dulunya mengajak manusia kepada kemungkaran akhirnya mendapat hidayah daripada Allah s.w.t dan mendapat ketenangan jiwa.



Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu [56] 
Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu [57]
Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi Rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja)  Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh KekuasaanNya. [58]
[Surah 51 Adz-Zariyat;Ayat 56-58]
"And I did not create the jinn and the mankind except to worship Me" [56]
"I do not want from them any provision, nor do I want them to feed Me" [57]
"Indeed, it is Allah who is the (continual) Provider, the firm possessor of Strength" [58]
[51:56 to 58]

Kembalilah kepada Islam, fitrah sekalian manusia. Fahamilah semula asas-asas fardhu ain, mantapkan aqidah, belajar erti tauhid dan ibadah. Sama-samalah kita saling ingat mengingati antara satu sama lain. Dekatilah golongan cendekiawan agama, ULAMA. Belajar menjadi seorang hamba...hamba kepada tuhan pencipta alam ini, yang Maha Berkuasa dan tiada yang mampu berbuat sesuatu kecuali atas izinNya.. ALLAH subhanahu wata'ala.

Wallahu A'lam.

Thursday 9 June 2011

2.2 Fasilitator Sistem Pencegah Kebakaran

Lawatan Tapak Projek Bank Negara
Masa Yang Berlalu
Setelah lebih 4 tahun bekerja di CKM, saya dapati ilmu yang saya pelajari bagai tiada penghujungnya. Makin saya mendalami sesuatu sistem mekanikal, makin banyak yang saya tidak faham dan makin banyak yang saya ingin tahu. Walaubagaimanapun, ilmu cetek yang saya milliki ini ingin saya kongsi dengan rakan-rakan di pejabat baik yang telah lama bekerja atau yang baru mula bekerja.

Batasan Pada Diri Sendiri
Limit - Batasan, Persempadanan. Saya meletakkan kepercayaan dalam diri bahawa tiada sesuatu pun yang mustahil untuk dilakukan dan ianya mesti bersandar kepada ketentuan Allah s.w.t. Setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Ianya bergantung kepada kepercayaan dan keyakinan diri sendiri untuk melakukan suatu perkara yang besar. Uniknya sifat manusia ini ialah kita dapat mengadaptasikan diri kita dalam pelbagai situasi dan keadaan. Akan tetapi, bukan semua manusia sanggup untuk mencabar diri sendiri untuk melakukan sesuatu yang baru. Sesetengah orang akan akur bahawa diri mereka 'tidak bijak'/malas/takut dan akan terus berdiam diri menerima nasib mereka begitu sahaja.

Aizdean 
Dasar 'paksa' atau 'cabar diri sendiri' adalah suatu kaedah yang saya lihat berkesan untuk membuka ruang batasan seseorang menjadi lebih luas. Contohnya seperti rakan saya dari Kelantan yang tidak pandai untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris. Setelah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara (USA), beliau ter'paksa' berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dan berjaya mencabar dirinya untuk fasih berbahasa Inggeris. Saya menjadi kagum dengan beliau yang berjaya berubah dalam jangka masa 3 tahun. Begitu juga dengan sahabat saya yang seorang lagi, Muhammad Aizuddin Anuar yang telah fasih untuk berbahasa Jepun setelah melanjutkan pelajaran di Jepun lebih dari 4 tahun. Saya sendiri terkejut apabila beliau telah mula dikenali sebagai artis di Jepun dengan panggilan Aizdean.

Cabar Diri Sendiri
Saya pasti ramai yang pernah mengalami keadaan ter'paksa' melakukan sesuatu. Apabila kita pandang dari sudut yang positif, pasti kita tidak akan menyangka bahawa kita mampu untuk melakukannya dan keadaan ter'paksa' melakukannya telah menyebabkan kita mempunyai pengalaman. Saya pun begitu jua......Saya kerap mencabar diri sendiri untuk menjadi seorang yang lebih baik, dapat berbakti kepada masyarakat dan agama. Antara kelemahan saya adalah 'darah gemuruh'. Banyak artikel telah dikeluarkan mengenai cara untuk mengatasi darah gemuruh, antaranya ialah seperti di sini

Pernah suatu ketika, apabila saya menduduki tingkatan 3 di SMKAKS, waktu Isya' telah masuk di surau sekolah kami. Secara spontan kaki saya melangkah ke ruang solat Imam apabila bilal mengalunkan Iqamah. Azam di hati sangat kuat untuk men'cabar diri' menjadi Imam malam itu. Walaupun hati tak keruan, peluh mula menitis namun saya kuatkan tekad untuk menjadi Imam solat Isya'. Manakan tidak, ini kali pertama saya menjadi Imam, makmum saya terdiri daripada tingkatan 1 hingga 5, jumlahnya melebihi 300 orang, ada muslimin, ada muslimat dan yang paling getarnya adalah hadirnya Ustaz Ziyad pada malam tersebut.

Dengan niat kerana Allah, saya mulakan solat dan membaca Al-Fatihah diselangi dengan surah sunat. Semakin dibaca surah-surah tersebut, kaki saya menggeletar bagai gempa bumi melanda surau kami pada 1.0 skala richter (S.R). Sepanjang solat boleh kedengaran dengan jelas suara saya menggeletar namun saya kuatkan tekad untuk menghabiskan solat hingga salam yang terakhir! Hasilnya...Alhamdulillah... Walaupun malu dan sebagainya, namun proses pembelajaran itu yang penting! Selepas solat, saya ditegur oleh Ustaz Ziyad. Beliau menegur bacaan surah sunat saya yang tidak betul tajwidnya dan beliau berpuas hati dengan bacaan Al-Fatihah saya. Dalam beberapa siri saya menjadi Imam di hari-hari lain, datang pula abang-abang senior menegur tentang pilihan surah sunat saya agar mengikut tertib surah dalam Quran di dalam solat. Kini sebagai ketua keluarga, menjadi tanggungjawab saya untuk menjadi Imam bagi keluarga saya...
Fasilitator Sambilan
31 Mei dan 1 Jun 2011 adalah hari yang bersejarah bagi saya. Sekali lagi saya men'cabar diri' saya, kali ini untuk menjadi tenaga pengajar kepada Jurutera Mekanikal dan Juruteknik mengenai Sistem Pencegah Kebakaran jenis Hose Reel. Beberapa bulan sebelum kursus ini, saya pernah berseloroh kepada senior saya untuk mengajak saya menjadi tenaga pengajar dalam slot beliau. Cadangnya sebagai gurauan sahaja namun jika ada peluang...apa salahnya. Seminggu sebelum kursus, Ir. seniorita telah offer saya untuk ambil beberapa slot mengajar daripada beliau. Dalam keadaan teragak-agak saya bersetuju walaupun agak tidak bersedia. Namun saya kuatkan tekad dan semangat untuk mencuba sesuatu yang baru. Setiap sesuatu yang berlaku perlu kepada PERMULAAN - begitulah sifat makhluk hendaknya, perlu kepada permulaan dan pengakhiran.
Kursus berlangsung di Menara PJD, Jalan Tun Razak
Syukur Alhamdulillah... darah gemuruh yang menghantui saya telah makin susut. Saya berjaya (agaknya la) menamatkan dua slot yang diberikan kepada saya dengan sepenuh komitmen yang jitu lagi padu. Banyak yang saya pelajari dalam proses mengajar tersebut. Belajar sambil mengajar. Semoga apa yang saya ajarkan kepada senior dan rakan-rakan dapat membantu mereka dalam tugas harian. Paling tidak pun, ianya sebagai pendedahan awal kepada rakan-rakan kerana ilmu ini sangat luas sehingga saya rasa setelah tiga puluh (30) tahun bekerja pun, kita akan rasa cetek ilmu. Luas sungguh ilmu Mu Ya Allah. Apa yang baik datangnya dari Allah s.w.t dan Apa yang buruk juga datangnya dari Allah s.w.t namun atas kelemahan dan kedaifan diri saya sendiri.

Wallahu A'lam.

Friday 3 June 2011

2.1 Lawatan ke Pulau Pinang

Lawatan Teknikal dan Kunjungan Muhibbah
Lantikan AJK yang baru bagi Kelab CKM tahun 2011 adalah bertujuan untuk memberi nafas yang baru kepada aktiviti kelab. Tahniah saya ucapkan kepada AJK bagi Biro Rekreasi kerana berjaya merancang dan merealisasikan lawatan dan kunjungan muhibbah CKM Ibu Pejabat ke negeri Pulau Pinang. Aktiviti yang 'lama' berjaya dihidupkan kembali dengan komitmen dan kerjasama staf-staf dari Ibu Pejabat CKM. Saya juga tidak terkecuali menyertai rombongan tersebut yang julung-julung kali diadakan semenjak saya mula bekerja pada tahun 2007.

Bertolak dari Pejabat
Ahli rombongan berkumpul seawal pagi di Mid Valley sebelum menaiki bas. Syabas saya ucapkan kepada staf-staf senior yang turut hadir bagi menyertai rombongan julung kali ini. Sokongan dan komitmen yang mereka tunjukkan boleh dijadikan sebagai tauladan bagi staf-staf baru yang baru menyertai organisasi CKM. Kali terakhir saya datang ke Pulau Pinang untuk 'berjalan-jalan' adalah lebih dari 15 tahun lalu. Bukannya tidak pernah datang ke Pulau Pinang kebelakangan ini, namun saya hanya hadir ke Pulau Pinang atas urusan kerja. Datang...mesyuarat...balik...datang...mesyuarat...balik.
Senarai kehadiran ahli rombongan
Perjalanan menaiki bas amat menyeronokkan. Sekali-sekala terfikir juga bagaimana agaknya rombongan saya dan keluarga ke Kelantan minggu hadapan bagi menghadiri majlils perkahwinan adik saya di Tanah Merah. Semoga perjalanan kami selamat pergi dan balik, insyaAllah.


Durian For Life
Antara aktiviti menarik yang dapat kami lakukan sepanjang tempoh kunjungan muhibbah adalah 'menyental' durian.  Eat All You Can adalah motto rombongan kami dalam menikmati juadah tersebut. Sungguh lama saya tidak menjamah durian dalam 'skala yang besar'. Saya adalah peminat durian, namun kali terakhir saya 'membalun' durian dalam skala yang besar adalah pada hari raya tahun 1998. Saya masih ingat ketika itu kami sekeluarga balik kampung dan singgah ke kebun opah, Suak Petai di Manong, Perak. Murahnya rezeki Allah s.w.t beri pada kami sekelurga pada raya tika itu. Pokok durian berbuah menyambut kedatangan cucu-cucu yang balik beraya. Seluruh Manong beraya sakan dengan durian. Lepas mengutip durian(s) di kebun, kami bersantai beramai-ramai di bawah rumah kampung menikmati durian. Cukup lazat dan kenyang perut kami jadinya. Tapi jumlah durian yang ada masih banyak! Lebih dari 30 biji rasanya. Apa yang kami buat agar tidak membazir adalah mengopek semua durian itu dan ambil isinya untuk dibuat tempoyak. Sambil membuka setiap kulit durian itu, sambil saya meratah ulas durian. Di penghujung babak, saya rasa demam dan cukup muak dengan durian, akhirnya durian telah kehilangan sokongan salah seorang peminat 'kipas susah mati'nya. Pelik tapi benar...

Perlawanan Persahabatan
Memupuk semangat kesukanan dan berpasukan sangat penting dalam sesebuah organisasi. Perlawanan bola sepak menjadi antara wanted list dalam aktiviti kami dalam merapatkan silaturrahim dengan CKM P.Pinang. Tahniah dan syabas diucapkan kepada tuan rumah di atas kemenangan di tempat sendiri.
Bergambar antara pasukan sebelum perlawanan
Keretapi Bukit Bendera
Aktiviti kemuncak kami dalam lawatan teknikal ialah mengunjungi Bukit Bendera dan melihat cara-cara keretapi baru Bukit Bendera beroperasi.
Pintu masuk yang telah dinaik taraf
Sebahagian ahli rombongan
Spesifikasi teknikal keretapi tersebut
Keretapi sedang bergerak turun menggunakan sistem takal


Pemandangan dari atas Bukit Bendera

Misi menawan Bukit Bendera - BERJAYA!

Kunjungan dua hari ke Pulau Pinang mencatatkan sejarah yang tersendiri bagi kami. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Semoga aktiviti-aktiviti seperti ini dapat diteruskan lagi menuju ke negeri-negeri lain. Sokongan perlu diberi bagi menjayakan aktiviti seperti ini. Hidup kita bukan hanya untuk kerja sahaja. Berukhwah dengan masyarakat sekeliling adalah penting dan apabila kita banyak meneroka alam ciptaan Allah s.w.t ini, barulah kita tahu betapa kerdilnya kita dalam dunia ini dan betapa ceteknya ilmu kita mengenai banyak benda di sekeliling.

Wallahu A'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...