Thursday 15 August 2013

2.5 Mengapa Jadi Jurutera 2.0

Matlamat Dalam Kerjaya
Setelah 6 tahun menjadi seorang Jurutera, saya akhirnya telah berjaya mencapai matlamat fasa pertama dalam kerjaya iaitu menjadi seorang Jurutera Profesional berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia. Saya masih teringat lagi, dua tahun lepas, rasa gerun dan kecut apabila mendengar saranan senior untuk pergi mengambil temuduga dan ujian Jurutera Profesional. Namun apabila melihat rakan sekerja lain yang berjaya mengharungi cabaran tersebut, anak Melayu ini mula berperibahasa.
"Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan"

Apa itu Jurutera Profesional
Jurutera Profesional dalam erti kata yang lain bermakna seorang Jurutera yang telah mendapat kelayakan untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan. Untuk majikan, ia isyarat keupayaan diri Jurutera itu untuk mengambil tanggungjawab ke tahap yang lebih tinggi. Antara rakan-rakan pula, ia memberikan rasa hormat dan kepada diri sendiri, ia adalah satu simbol kebanggaan dan ukuran pencapaian.
 
Sebagai seorang Jurutera Profesional, seseorang itu mesti sentiasa menunjuk dan mengekalkan kecekapan mereka, meningkatkan kemahiran dengan memenuhi keperluan pendidikan yang berterusan. Hanya seorang jurutera berlesen yang boleh menyediakan, menandatangani dan mengemukakan pelan kejuruteraan dan lukisan kepada pihak berkuasa untuk kelulusan atau memeterai kerja-kerja kejuruteraan untuk pelanggan. Oleh yang demikian, tanggungjawab seorang Jurutera Profesional bukan sahaja hanya untuk kerja-kerja yang mereka lakukan tetapi juga untuk kehidupan yang akan dipengaruhi oleh hasil kerja mereka itu.

Persekitaran Yang Mempengaruhi
Dalam artikel saya yang lepas, 1.3 Mengapa Jadi Jurutera ada menceritakan mengenai persekitaran yang mempengaruhi. Sewaktu sekolah rendah, pakcik saya dan ayah rakan-rakan sekolah menjadi penyebab saya menanam azam untuk menjadi Jurutera. Pakcik saya adalah adik bongsu kepada Ayah. Selepas menamatkan pengajian dalam Ijazah Kejuruteraan di Amerika, pakcik saya telah bekerja sebagai seorang Jurutera di sebuah kilang di Klang. Kesungguhan dan kegigihan beliau bekerja telah menarik minat saya untuk menjadi seorang Jurutera yang berjaya.

Rakan-rakan di sekolah rendah Petaling Jaya juga begitu. Masing-masing mempunyai ayah yang bergelar Engineer. Kehidupan mereka yang mewah dan bergaya menyebabkan saya berazam untuk bergaya dan berjaya sebagai seorang Engineer.

Gambaran Arkitek Projek Institut Kanser Negara
Sumbangan Bakti dan Amal Kepada Masyarakat
Bekerja seharian di tapak projek menemukan saya dengan pelbagai jenis ragam manusia. Alhamdulillah, saya dipertemukan dengan suasana kerja yang sihat dan rakan taulan yang sentiasa bersemangat bekerja 120% sehingga menyebabkan saya mengalami masalah tekanan emosi dan kesihatan badan akibat terlalu ingin memastikan kerja-kerja pembangunan di tapak berjalan dengan lancar dan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Keadaan ini memaksa saya ikhtiar berjumpa dengan doktor dan mengambil ubat mengurangkan stress pada badan. InsyaAllah dalam artikel selanjutnya saya akan menceritakan serba sedikit tentang projek Institut Kanser Negara di Putrajaya.

Semenjak dari itu, saya cuba mengurangkan aktiviti kerja di tapak projek agar dapat mengurangkan tekanan dan ketegangan pada mental dan fizikal. Apa yang menarik minat saya, seorang Resident Engineer (elektrik) yang saya panggil sebagai Haji Sahiq berumur hampir 60 tahun gigih mengawasi kerja di tapak projek dengan tekanan demi tekanan sehingga kesihatan beliau juga sedikit terjejas. Dua soalan yang saya tanya pada beliau iaitu "Mengapa masih bekerja di tapak projek dengan umur yang sebegitu?" dan "Mengapa masih bekerja di tapak projek walaupun telah mempunyai pendapatan lain dari tanaman kebun dan saham?" Jawapan yang diterima sungguh menguja saya; "Selagi ada kudrat dalam diri, saya akan terus bekerja kerana ingin berkongsi pengalaman dan menggunakan pengalaman dan kepakaran yang saya ada ini bagi memastikan projek bangunan disiapkan dengan baik dan berkualiti. Ini adalah salah satu amal jariah saya kelak selagi bangunan hospital ini digunakan untuk merawat pesakit, selagi itu kita akan mendapat saham darinya berdasarkan niat dan keikhlasan kita".

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (H.R Muslim)

Wallahu A'lam.

Monday 5 August 2013

2.4 Lawatan Amal Ramadhan 1434H - BBWM

Kunjungan ke Rumah Anak Yatim
Hampir beberapa bulan berlalu, tugasan yang diberi oleh Pengurus Besar masih tidak disempurnakan. Saya ditugaskan untuk menganjurkan suatu lawatan muhibbah ke rumah anak yatim sebagai salah satu aktiviti sumbangan kemasyarakatan, namun ianya masih tidak dapat ditunaikan akibat tidak fokus dengan tugasan dan cuba mencari rumah anak yatim yang sesuai berdasarkan ciri-ciri yang diperlukan oleh Pengurus Besar iaitu tempat tersebut perlulah berdekatan dengan pejabat di Putrajaya, terletak di kawasan kampung dan dhaif.

Ditangkap buaya, nampak riaknya; ditangkap malas tak bertanda.

Hasil carian saya di beberapa tempat menyebabkan niat terbatal ekoran terdapat rumah amal anak yatim yang ditubuhkan untuk meneruskan perjuangan Al-Arqam seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian dan JAKIM.

Rumah Amal BAITUL BAROKAH WAL MAHABBAH (BBWM)
Alhamdulillah, sedang saya tercari-cari rumah anak yatim yang sesuai, dua minggu sebelum bulan ramadhan saya dipertemukan dengan pamplet BBWM dari sekolah adik saya. Subhanallah, jauh hingga ke Banting dicari, rupanya BBWM hanya 15km dari rumah saya dan hanya 30km dari Putrajaya.

Objektif ditetapkan, rancangan diaturkan, akhirnya semua ahli Pasukan Projek bersetuju agar diadakan lawatan tersebut di dalam bulan Ramadhan untuk melipat gandakan pahala amalan.

Istimewanya BBWM ini adalah kerana ianya mempunyai lebih dari 70 orang anak yatim dan asnaf zakat dan mereka menyewa sebidang tanah seluas 3 ekar di Giching Hilir untuk membuat rumah, surau dan menjalankan aktiviti ternakan dan tanaman. Mujur ustaz yang menjadi sukarelawan di BBWM tersebut mempunyai kepakaran IT dan menyediakan laman sesawang bagi BBWM sekaligus memudahkan para pelawat/pengunjung membuat rujukan dan temujanji.


26 Julai 2013
Objektif lawatan adalah agar ahli Pasukan Projek dapat merasai keindahan Islam dan menyemai semangat ukhuwah, kasih sayang dan perpaduan dalam kalangan semua anggota masyarakat, memupuk sifat mahmudah dan membuang sifat mementingkan diri sendiri. 

Lawatan ini telah dihadiri oleh 9 orang wakil dari Pasukan Projek beserta sumbangan wang, beg, jubin dan tudung. Hasil dari perbincangan dengan wakil BBWM sebelum lawatan, mereka memerlukan sumbangan wang ringgit untuk membeli kasut sekolah dan pakaian outing untuk para pelajar.

Ternakan ayam, itik dan angsa

Ternakan arnab dan tanaman pokok getah

Asrama perempuan

Kawasan persekitaran BBWM

Wakil Pasukan Projek dan BBWM




































































Alhamdulillah, objektif lawatan tercapai dan membuka mata semua yang terlibat menyertai lawatan amal tersebut. Moga kerja amal dan keikhlasan sukarelawan yang membantu menjaga anak-anak yatim dan asnaf zakat mendapat redha dan rahmat Allah s.w.t hendaknya kerana pengorbanan, kesabaran dan keikhlasan mereka.

Wallahu A'lam.

Saturday 3 August 2013

1.23 Dua tahun sudah berlalu....Apakah yang Kita Dapat dari Ramadhan

Puasa Enam Hari Terakhir Ramadhan 1434H
Bulan Ramadhan bakal berakhir dalam beberapa hari lagi. Dua tahun menyepi dari catitan maya menyusuri liku kehidupan ciptaan Ilahi. Bersyukur di atas setiap dugaan dan ujian Allah s.w.t.

Apa yang kita dapat amal? Apa yang kita dapat tinggalkan?
Dua tahun lepas saya pernah menulis artikel tentang keberkatan bulan ramadhan (rujuk 1.22 Keberkatan dalam Amalan; Ramadhan). Maka haruslah kita perhatikan dan muhasabah diri melihat kesan tarbiyyah ramadhan pada kali ini untuk melihat Apa yang kita dapat amal dan Apa yang kita dapat tinggalkan? Kedua-dua kesan ini perlu kita perhatikan untuk melihat perubahan yang berjaya kita lakukan. Apa yang kita dapat amal dalam bulan ramadhan dan berkekalan sehingga ke ramadhan seterusnya hendaklah kita tentukan sendiri sebagai benchmark tingkat amalan kita. Contohnya kita berazam untuk melakukan qiamulail setiap malam ataupun cukup sekadar menghafal satu doa untuk amalan harian dan konsisten sehingga ke ramadhan seterusnya.

Apa yang kita dapat tinggalkan pula adalah sifat buruk atau perkara mungkar yang dapat kita tinggalkan dengan istighfar, solat sunat taubat, berazam dan berjanji untuk tidak mengulanginya semula hingga ke ramadhan seterusnya. Contohnya seperti berhenti minum arak, berhenti berjudi, berhenti merokok dan sebagainya.

"Alah...nak berubah macam tu, bila-bila masa pun boleh, tak perlu nak tunggu bulan ramadhan", antara suara-suara cendekiawan yang hinggap di telinga ini. Benar, taubat boleh dilakukan pada bila-bila masa selagi belum tiba dua kiamat pada diri kita iaitu kiamat kecil dan kiamat besar. Menambah amalan pun begitu jua. Persoalannya, jika bukan bermula dalam bulan ramadhan, bila lagi?

Hadis riwayat Abu Hurairah ra.:Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila tiba bulan Ramadan, maka dibukalah pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu" (Shahih Muslim No.1793)

Tepuk dada tanya iman. Pilihlah satu dari dua samada dapat meningkatkan amalan dan ilmu ataupun dapat meninggalkan kejahilan dan kemungkaran. Andaikata kita dapat menikmati kedua-duanya sekali, Syukur Alhamdulillah.

Solat Sunat Dhuha


Ingin saya berkongsi sedikit pengalaman. Alhamdulillah selepas dua tahun berlalu, terdapat satu amalan yang masih 'melekat' dengan saya hasil tarbiyyah ramadhan 1432H iaitu solat sunat dhuha. Doa selepas solat sunat dhuha pun telah menjadi lebih mudah dihafal hasil mendengar alunan nasyid kumpulan UNIC melalui album Hijrah mereka bertajuk Doa Dhuha.
Ya Allah
Sesungguhnya Waktu Dhuha itu DhuhaMU
Kecantikannya KecantikanMU
Keindahannya KeindahanMU
Kekuatannya KekuatanMU
Kekuasaannya KekuasaanMU
Perlindungannya PerlindunganMU
Ya Allah
Jika rezeki masih di langit, turunkanlah
Jika di bumi, keluarkanlah
Jika sukar, permudahkanlah
Jika haram, sucikanlah
Jika jauh, dekatkanlah
Berkat waktu Dhuha
KecantikanMU, keindahanMU
KekuatanMU, kekuasaanMU
Limpahkan kepadaku segala
Yang Engkau telah limpahkan
Kepada hamba-hambaMU yang soleh

Melalui tazkirah ramadhan pada 1432H, iaitu tazkirah antara solat sunat terawih 8 rakaat, pihak Surau Ar-Rahman, Bandar Puchong Jaya telah menjemput seorang ustaz dari Klang untuk memberi tazkirah ramadhan. Di akhir tazkirah beliau, beliau telah berkongsi ilmu mengenai amalan solat sunat dhuha. Maka bersanad kepada beliau dan seterusnya dari guru beliau, telah disampaikan kepada jemaah surau akan amalan solat sunat dhuha. Secara ringkasnya, amalan solat sunat dhuha tersebut adalah seperti berikut:-

1. Niat solat sunat dua rakaat (solat ini boleh dilakukan sekurang-kurangnya 2 rakaat sehinggalah 12 rakaat, tetapi yang paling banyak dikerjakan oleh Rasulullah s.a.w ialah 8 rakaat)
2. Selepas al-Fatihah rakaat pertama baca surah al-Kafirun
3. Selepas al-Fatihah rakaat kedua baca surah al-Ikhlas (walaubagaimanapun antara surah lain yang lazim digunakan adalah as-Syams dan ad-Dhuha)
4. Salam
5. Berdoa
- dimulakan dengan bismillah, pujian kepada Allah s.w.t dan selawat ke atas Rasulullah s.a.w
- baca Ya Basit (يا باسط) (wahai Dzat Maha Pelapang Hidup) sebanyak 10 kali (tak lebih dan tak kurang)
- berdoa dan mintalah hajat pada Allah s.w.t insya Allah diperkenankan.

Begitulah ilmu yang dikongsi oleh sang ustaz dan terus diamalkan oleh saya setiap hari sehingga kini. 

Fadhilat Solat Sunat Dhuha:-
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW  bersabda: “Sesiapa Yang mengerjakan solat Dhuha dengan istiqamah nescaya akan diampuni dosanya olleh Allah sekalipun dosa itu sebanyak buih di lautan.”

Rasulullah SAW  bersabda:  “Bahawasanya di syurga ada pintu yang dinamakan ‘Dhuha’. Maka apabila  tiba hari kiamat kelak, berserulah (malaikat) penyeru: “Manakah orang-orang yang telah mengamalkan solat Dhuha; Inilah pintu kamu, silakan masuk ke dalam syurga dengan Rahmat Allah.”   (HR At-Tabrani)

Tips untuk amalan Dhuha
Sedikit perkongsian yang saya gunakan untuk dicedok dan dirasikan mana yang sesuai.
1. Diwajibkan solat dhuha ke atas diri sendiri sebagaimana wajibnya solat fardhu. Dengan demikian, walau betapa sibuknya kita, kita akan sentiasa menunaikannya.
2. Rule of thumb untuk tempoh menunaikan solat dhuha adalah 30 minit selepas waktu syuruk dan tamatnya adalah 30 minit sebelum masuknya waktu zohor.

Wallahu A'lam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...