Saturday, 3 August 2013

1.23 Dua tahun sudah berlalu....Apakah yang Kita Dapat dari Ramadhan

Puasa Enam Hari Terakhir Ramadhan 1434H
Bulan Ramadhan bakal berakhir dalam beberapa hari lagi. Dua tahun menyepi dari catitan maya menyusuri liku kehidupan ciptaan Ilahi. Bersyukur di atas setiap dugaan dan ujian Allah s.w.t.

Apa yang kita dapat amal? Apa yang kita dapat tinggalkan?
Dua tahun lepas saya pernah menulis artikel tentang keberkatan bulan ramadhan (rujuk 1.22 Keberkatan dalam Amalan; Ramadhan). Maka haruslah kita perhatikan dan muhasabah diri melihat kesan tarbiyyah ramadhan pada kali ini untuk melihat Apa yang kita dapat amal dan Apa yang kita dapat tinggalkan? Kedua-dua kesan ini perlu kita perhatikan untuk melihat perubahan yang berjaya kita lakukan. Apa yang kita dapat amal dalam bulan ramadhan dan berkekalan sehingga ke ramadhan seterusnya hendaklah kita tentukan sendiri sebagai benchmark tingkat amalan kita. Contohnya kita berazam untuk melakukan qiamulail setiap malam ataupun cukup sekadar menghafal satu doa untuk amalan harian dan konsisten sehingga ke ramadhan seterusnya.

Apa yang kita dapat tinggalkan pula adalah sifat buruk atau perkara mungkar yang dapat kita tinggalkan dengan istighfar, solat sunat taubat, berazam dan berjanji untuk tidak mengulanginya semula hingga ke ramadhan seterusnya. Contohnya seperti berhenti minum arak, berhenti berjudi, berhenti merokok dan sebagainya.

"Alah...nak berubah macam tu, bila-bila masa pun boleh, tak perlu nak tunggu bulan ramadhan", antara suara-suara cendekiawan yang hinggap di telinga ini. Benar, taubat boleh dilakukan pada bila-bila masa selagi belum tiba dua kiamat pada diri kita iaitu kiamat kecil dan kiamat besar. Menambah amalan pun begitu jua. Persoalannya, jika bukan bermula dalam bulan ramadhan, bila lagi?

Hadis riwayat Abu Hurairah ra.:Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila tiba bulan Ramadan, maka dibukalah pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu" (Shahih Muslim No.1793)

Tepuk dada tanya iman. Pilihlah satu dari dua samada dapat meningkatkan amalan dan ilmu ataupun dapat meninggalkan kejahilan dan kemungkaran. Andaikata kita dapat menikmati kedua-duanya sekali, Syukur Alhamdulillah.

Solat Sunat Dhuha


Ingin saya berkongsi sedikit pengalaman. Alhamdulillah selepas dua tahun berlalu, terdapat satu amalan yang masih 'melekat' dengan saya hasil tarbiyyah ramadhan 1432H iaitu solat sunat dhuha. Doa selepas solat sunat dhuha pun telah menjadi lebih mudah dihafal hasil mendengar alunan nasyid kumpulan UNIC melalui album Hijrah mereka bertajuk Doa Dhuha.
Ya Allah
Sesungguhnya Waktu Dhuha itu DhuhaMU
Kecantikannya KecantikanMU
Keindahannya KeindahanMU
Kekuatannya KekuatanMU
Kekuasaannya KekuasaanMU
Perlindungannya PerlindunganMU
Ya Allah
Jika rezeki masih di langit, turunkanlah
Jika di bumi, keluarkanlah
Jika sukar, permudahkanlah
Jika haram, sucikanlah
Jika jauh, dekatkanlah
Berkat waktu Dhuha
KecantikanMU, keindahanMU
KekuatanMU, kekuasaanMU
Limpahkan kepadaku segala
Yang Engkau telah limpahkan
Kepada hamba-hambaMU yang soleh

Melalui tazkirah ramadhan pada 1432H, iaitu tazkirah antara solat sunat terawih 8 rakaat, pihak Surau Ar-Rahman, Bandar Puchong Jaya telah menjemput seorang ustaz dari Klang untuk memberi tazkirah ramadhan. Di akhir tazkirah beliau, beliau telah berkongsi ilmu mengenai amalan solat sunat dhuha. Maka bersanad kepada beliau dan seterusnya dari guru beliau, telah disampaikan kepada jemaah surau akan amalan solat sunat dhuha. Secara ringkasnya, amalan solat sunat dhuha tersebut adalah seperti berikut:-

1. Niat solat sunat dua rakaat (solat ini boleh dilakukan sekurang-kurangnya 2 rakaat sehinggalah 12 rakaat, tetapi yang paling banyak dikerjakan oleh Rasulullah s.a.w ialah 8 rakaat)
2. Selepas al-Fatihah rakaat pertama baca surah al-Kafirun
3. Selepas al-Fatihah rakaat kedua baca surah al-Ikhlas (walaubagaimanapun antara surah lain yang lazim digunakan adalah as-Syams dan ad-Dhuha)
4. Salam
5. Berdoa
- dimulakan dengan bismillah, pujian kepada Allah s.w.t dan selawat ke atas Rasulullah s.a.w
- baca Ya Basit (يا باسط) (wahai Dzat Maha Pelapang Hidup) sebanyak 10 kali (tak lebih dan tak kurang)
- berdoa dan mintalah hajat pada Allah s.w.t insya Allah diperkenankan.

Begitulah ilmu yang dikongsi oleh sang ustaz dan terus diamalkan oleh saya setiap hari sehingga kini. 

Fadhilat Solat Sunat Dhuha:-
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW  bersabda: “Sesiapa Yang mengerjakan solat Dhuha dengan istiqamah nescaya akan diampuni dosanya olleh Allah sekalipun dosa itu sebanyak buih di lautan.”

Rasulullah SAW  bersabda:  “Bahawasanya di syurga ada pintu yang dinamakan ‘Dhuha’. Maka apabila  tiba hari kiamat kelak, berserulah (malaikat) penyeru: “Manakah orang-orang yang telah mengamalkan solat Dhuha; Inilah pintu kamu, silakan masuk ke dalam syurga dengan Rahmat Allah.”   (HR At-Tabrani)

Tips untuk amalan Dhuha
Sedikit perkongsian yang saya gunakan untuk dicedok dan dirasikan mana yang sesuai.
1. Diwajibkan solat dhuha ke atas diri sendiri sebagaimana wajibnya solat fardhu. Dengan demikian, walau betapa sibuknya kita, kita akan sentiasa menunaikannya.
2. Rule of thumb untuk tempoh menunaikan solat dhuha adalah 30 minit selepas waktu syuruk dan tamatnya adalah 30 minit sebelum masuknya waktu zohor.

Wallahu A'lam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...