Tuesday 26 April 2011

1.2 Erti Kehidupan


Kepelikan Sistem
"Peliknyaaa..." itulah ungkapan yang digetuskan hati saya apabila melihat kepada kehidupan ini. Kehidupan berasrama di sudut hujung peta selangor ini banyak mengubah kehidupan saya. Perjalanannya masih tidak menentu, tetapi harapan yang menggunung di hati adalah untuk menjadi insan yang lebih baik, insyaAllah.

Pelik dengan sistem pendidikan sekarang.
Pelik dengan sistem pekerjaan sekarang.
Pelik dengan sistem kewangan sekarang.
Pelik dengan sistem kehakiman sekarang.
Pendek kata, pelik dengan segala-galanya yang berlaku di akhir zaman ini.

Namun, cetusan fikiran seorang remaja pada usia 13 tahun tidak dapat melangkau jauh disebabkan kesempitan ilmu itu sendiri dan kedangkalan masyarakat sekeliling yang gagal membekalkan suasana pemikiran yang bersih dan produktif. Semuanya penuh dengan doktrin yang diterapkan dari bangku sekolah yang menghalang para pelajar mempunyai pemikiran yang kritis. Entah bagaimana hendak dimulakan untuk mencari punca segala kepelikan ini namun masih tak ketemu.

15 tahun berlalu, rupanya jawapan kepada kepelikan-kepelikan itu sentiasa berada dikeliling saya. Cuma diri ini sahaja yang belum menemukannya. Apa yang diajar oleh para guru di sekolah dahulu ada mengandungi jawapan-jawapan yang saya cari. Namun, tafsiran dan sudut pandangan 15 tahun dulu amat berbeza dengan diri saya sekarang.

Pasti ramai yang masih dimanggu persoalan mengenai kepelikan yang saya maksudkan. Kepelikan yang saya maksudkan adalah naluri kita sebagai seorang manusia melawan arus sistem-sistem yang wujud di akhir zaman ini. Contohnya, (KES 1) di sekolah semua murid disuruh untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mendapat keputusan peperiksaan yang bagus agar boleh memasuki menara gading dan mendapat segulung ijazah sebelum menjadi orang yang berjaya. Namun, naluri diri saya ini merasa kepelikan kerana hidup ini lebih besar ertinya dari belajar selama 24 jam seminggu!

(KES 2) Sering waktu perhimpunan di sekolah dulu saya mendengar ucapan guru motivasi meminta semua pelajar untuk fokus menelaah semasa di bangku sekolah agar kelak tidak menyesal tika dewasa. Perkara yang berlaku disekeliling usah dipedulikan kerana belum sampai waktu untuk melibatkan diri. Perjuangan saya hanyalah sebagai seorang pelajar untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Itulah doktrin yang telah diterapkan kepada kebanyakan pelajar sehingga ke hari ini.

Hakikatnya bagi saya, guru itu telah menjalankan tanggungjawabnya untuk membantu para pelajar untuk 'survive' dalam 'sistem' dunia moden, dunia globalisasi ini. Namun, bagi mereka yang mempunyai kesedaran, 'sistem' ini telah lama menjajah kita sehingga sukar untuk kita melepaskan diri daripadanya.

Mahu kerja dengan gaji besar? Perlu ada ijazah yang mereka iktiraf.
Mahu beli kereta dan rumah? Perlu buat pinjaman yang melibatkan riba'.

Islam Kembali Asing
Mari kita sama-sama merenung petikan hadith berikut:

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali dagang (asing). Maka berbahagialah (beruntunglah) orang yang bersama Islam ketika ianya dagang (asing). (Hadith riwayat Muslim)

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. berkata: Telah bersabda Rasulullah saw: Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah ini akan kembali. (Riwayat Baihaqi)

Diri ini saya ibaratkan berada di dalam kawasan lumpur. Sukar untuk kita bergerak tanpa kotoran lumpur itu terpalit kepada kita. Andai kita tidak mahu bergerak, pasti debu-debu lumpur itu akan sampai jua pada kita.

Apa jua ibadah dan amalan dalam kehidupan seharian yang kita lakukan bersandarkan kepada Quran dan Sunnah pasti akan dipandang pelik sedangkan kepelikan itu sebenarnya berpunca daripada masyarakat itu sendiri. Tetapkanlah pendirian dan teruskanlah perjuangan wahai sahabatku...

Wallahu A'lam.


Thursday 14 April 2011

2.0 Gotong Royong Unit

Hari Ini Dalam Sejarah
Semenjak pindah ke pejabat baru di Mid Valley pada tahun 2007, 1 April 2011 (Jumaat) adalah hari bersejarah bagi unit saya kerana ini adalah kali pertama kami bergotong royong membersihkan unit kami bersempena perancangan RMK-9 yang telah menemui noktahnya. Segala dokumen-dokumen yang terkumpul dari tahun 2007 hingga kini dihimpun untuk dijual.


Metodologi 5S
Hampir kesemua pejabat yang saya pergi ada menyatakan amalan 5S dalam kegiatan harian mereka. 5S ini adalah metodologi yang dihasilkan oleh orang jepun untuk mengendalikan ruang kerja yang kondusif, efisien, produktif dan selamat bermula dengan Seiri (Sorting), Seiton (Stabilize), Seiso (Systematic Cleaning), Seiketsu (Systemizing) dan Shitsuke (Self Discipline). Namun, shitsuke yang dicanangkan itu gagal untuk menembusi tembok kesibukan di pejabat saya dalam mewujudkan suasana kerja yang selesa. Maka, wujudkanlah dalam diri perasaan mahu untuk berubah agar gerak kerja yang dilakukan dapat membawa kepada perubahan yang sukses.
Make Over ruang kerja di pejabat

Longgokan kertas-kertas yang dikumpul selama 3 tahun (pandangan sisi)

Longgokan kertas-kertas yang dikumpul selama 3 tahun (pandangan hadapan)

Semangat Kerja Berpasukan
Alhamdulillah, kerjasama yang diberikan oleh semua rakan-rakan dalam mengemas dan membersihkan unit berjalan dengan lancar. Sebelum menunaikan solat fardhu Jumaat, semua kerja pembersihan yang berat telah berjaya kami selesaikan. Sekonyong-konyong saya teringat pesanan Rasulullah s.a.w melalui hadith ke dua puluh tiga (23) dari kitab hadith 40 karangan Imam Nawawi.
Terjemahan hadith
Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya'arie r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir Alhamdulillah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir Subhaanallah dan Alhamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi. Sabar itu adalah sinaran. Al-Qur'an itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi, ada yang menjual dirinya, ada yang memerdekakan dirinya dan ada pula yang mencelakakan dirinya. (Hadith riwayat al-lmam Muslim)


Syabas diucapkan kepada rakan-rakan di unit kerana telah berjaya memberikan kerjasama yang mantap dalam gotong-royong kali ini. Semoga usaha yang murni ini dapat diteruskan bagi aktiviti-aktiviti peringkat unit seterusnya. Terima kasih juga diucapkan pada individu-individu yang telah menaja jamuan makanan ringan untuk semua yang terlibat dalam gotong-royong membersihkan unit. Jazakallahhu Khairan Kasira...
Meja Pembantu Khas Ketua Unit yang dijadikan 'korban' untuk meletakkan kuih muih
Wallahu A'lam.

1.1 Fastaqim Kama Umirta



Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. [Surah-11 Hud;Ayat 112]
"So remain on a right course as you have been commanded, [you] and those who have turned back with you [to Allah ], and do not transgress. Indeed, He is Seeing of what you do" [11:112]


Bumi Waqafan: Kolej Islam
Bagi kebanyakan orang awam, ramai yang mungkin baru mendengar ayat "Fastaqim Kama Umirta". Akan tetapi, bagi pelajar dan pendukung bumi waqafan, ayat yang dipetik dari Quran al-karim ini adalah motto bagi sekolah saya sepanjang tempoh dua (2) tahun belajar dari tingkatan empat (4) hingga tingkatan lima (5). Kolej Islam Sultan Alam Shah adalah sebuah sekolah yang tidak asing lagi dalam Zon Tengah Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Namun, sejarah penubuhannya yang panjang tidak akan saya ceritakan pada entri kali ini. 


Penghayatan Motto Waqafan
Dalam erti kata mudah, beristiqamahlah dengan apa (kebaikan) yang kamu lakukan. Muhasabah yang saya lakukan sering menunjukkan bahawa betapa kita leka, lemah dan lalai dalam melakukan satu kebaikan itu secara berterusan. Seringkali saya teringat tazkirah dari Ustaz Kasyfi, guru saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Selangor (SMKA Kuala Selangor) untuk belajar membuat sesuatu kebaikan itu dari satu benda yang kecil dan mudah untuk diamalkan secara berterusan. Namun begitu, untuk istiqamah dalam sesuatu urusan bukanlah semudah yang disangka kerana hidup ini adalah ujian. Apatah lagi untuk istiqamah dalam menunaikan perintah Allah dan Rasul-Nya dalam kehidupan yang penuh mehnah dan tribulasi ini. Cabaran dalam kehidupan..istiqamah untuk tetap dalam ketaatan dan menjauhi larangan-Nya.


Tarbiyyah dan Mujahadah
Istiqamah perlu diteruskan dengan mujahadah. Ombakan jihad dalam diri adalah suatu perjuangan yang berterusan kerana bisikan nafsu dan syaitan itu tidak akan berhenti sehinggalah kita menghembuskan nafas yang terakhir. Di sinilah datangnya tarbiyyah bagi menyokong mujahadah dan istiqamah.


"Abang, apa maksud tarbiyyah bukan segala-galanya dengan segala-galanya adalah tarbiyyah?", soalan yang diaju oleh isteri saya pada suatu hari.


Diri ini terdiam sebentar. Kelu lidah untuk menjawab kerana fikiran sedang melayang memikirkan perkara lain. Benarkah tarbiyyah bukan segala-galanya bilamana sesetengah individu lain sibuk dengan tarbiyyah melalui usrah, halaqah, tazkirah dan ceramah? Namun, bila fikiran ini kembali lapang, ayat tersebut memberi maksud yang relevan.


Tarbiyyah bukan segala-galanya-Perkara ini mengajak kita untuk memikirkan semula mengapa manusia diciptakan oleh Allah. Satu soalan yang saya yakin tidak ramai yang tahu untuk memberikan jawapan yang tepat, samada mereka itu ISLAM atau KAFIR. Malah masih ramai di antara para pemikir di barat masih tercari-cari sebab manusia diciptakan di muka bumi ini. Subhanallah, segala-galanya telah Allah s.w.t. terangkan di dalam Al-Quran melalui surah al baqarah ayat 30:
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
dan juga surah adz zhariyat ayat 56:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. 
Maka, daripada kedua-dua ayat ini telah menerangkan maksud mengapa manusia ini dicipta oleh Allah s.w.t. Tuntas, bagi mencapai tujuan tersebut, pelbagai jenis metodologi boleh digunakan dan tarbiyyah (mengajar dan belajar) bukanlah segala-galanya yang perlu sentiasa dikejar untuk mencapai matlamat tersebut KERANA
Segala-galanya adalah tarbiyyah- Tarbiyyah ini tiada noktahnya. Tarbiyyah berlaku dalam kehidupan ini samada secara langsung (melalui pengajaran dan pembelajaran) dan secara tidak langsung (cabaran dalam kehidupan). Inilah tarbiyyah Allah untuk kita; kehidupan. Segala yang berlaku dalam kehidupan ini adalah ketentuan Allah (qada' dan qadar) dan bagi mereka yang insaf dan selalu bertaubat, akan sedar bahawa kita adalah insan yang kerdil diciptakan oleh Allah s.w.t untuk menyembah-Nya.


Tarbiyyah Allah s.w.t
Segala yang berlaku adalah ujian kepada kita dan tarbiyyah Allah ke atas hamba-Nya. Saya masih ingat lagi kuliah maghrib di surau SMKAKS, betapa si ustaz menekankan bahawa Rasulullah s.a.w telah dibesarkan dengan tarbiyyah daripada Allah s.w.t. Sedari kecil Rasul s.a.w telah melalui pelbagai peristiwa dengan kematian ibu dan ayah yang disayangi, membesar sebagai anak yatim, belajar mengembala kambing dan berniaga sehingga beliau mendapat wahyu pertama dari Allah s.w.t untuk menyampaikan Islam. Semoga Allah memelihara keluarga saya dan membantu kami semua dengan tarbiyyah Islamiah. InsyaAllah.


Wallahu A'lam.

Monday 11 April 2011

1.0 Secerah Pawana

Nasyid Yang Memperingatkan
Timbul tenggelam kewujudan nasyid di Malaysia ini ibarat sabut kelapa. Daripada irama padang pasir hingga irama rap. Namun, bagi saya, nasyid yang terbaik adalah yang yang terkesan di hati hingga mengajak kita mengingati Allah. Nasyid konvensional menjadi pilihan pertama di hati saya kerana saya dibesarkan dengan irama nasyid tersebut. Bukan lagunya yang menjadi pilihan, tetapi liriknya yang saya titik beratkan. Maka, entri pertama saya adalah bersempena tajuk lirik lagu kumpulan nasyid The Zikr:- Secerah Pawana


Seindah sedamai pantai melambai gemalai
begitulah hati merindu kasih yang padu
bagaikan pepasir basah di simbah lautan 
begitulah perjuangan ini
biar basah dengan iman dan ukhwah

Kita ingin segalanya indah
sebersih pasir pantai memutih
seindah dan secerah pawana
berseri ukhwah dipupuk kasih

Kita ingin segala terlerai
dengki dan dendam kesumat musnah
biar keikhlasan berbicara
di dada hati luas saujana

Seindah sedamai pantai melambai gemalai
begitulah hati merindu kasih yang padu
bagaikan pepasir basah di simbah lautan 
begitulah perjuangan ini
biar basah dengan iman dan ukhwah



Zaman Persekolahan Yang Membentuk
Masih terngiang sayup alunan suara Nazrey Johari sebagai munsyid lagu tersebut. Lantas, terdetik rasa di hati saya sayu mengenang kembali zaman persekolahan saya di Kuala Selangor. Tiga (3) tahun kembara di sana banyak membentuk diri saya dan mengajar saya erti kehidupan, memperkenalkan saya pada Islam, pembentukan aqidah yang betul dan sebagainya. Dua (2) tahun belajar di Klang pula banyak mengajar saya erti dakwah dan perjuangan dalam mengembangkan dakwah Islam.


Dakwah Rasul Kekasih Allah
Teringat pula kisah perjuangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat dalam mengembangkan dakwah Islam. Tiga Belas (13) tahun Rasulullah s.a.w berdakwah di Mekah membentuk aqidah dan iman para sahabat dan Sepuluh (10) tahun Rasullulah s.a.w berdakwah di Madinah membentuk masyarakat Islam, menjadi pemimpin dan mentadbir sebuah daulah Islam. Bagi saya, kehidupan Rasulullah s.a.w patut dikaji dan dicontohi dalam membentuk masyarakat yang makmur. Uslub dakwah yang digunakan oleh Rasullulah s.a.w juga harus diteladani. Subjek dan sifat-sifat yang ditunjukkan mestilah digunakan dan disesuaikan dengan konteks zaman sekarang bagi mengajar dan membentuk sebuah keluarga. Semestinya, pembentukan pertama harus bermula dari rumah. "Baiti Jannati".


Wallahu A'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...