Thursday, 14 April 2011

1.1 Fastaqim Kama Umirta



Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. [Surah-11 Hud;Ayat 112]
"So remain on a right course as you have been commanded, [you] and those who have turned back with you [to Allah ], and do not transgress. Indeed, He is Seeing of what you do" [11:112]


Bumi Waqafan: Kolej Islam
Bagi kebanyakan orang awam, ramai yang mungkin baru mendengar ayat "Fastaqim Kama Umirta". Akan tetapi, bagi pelajar dan pendukung bumi waqafan, ayat yang dipetik dari Quran al-karim ini adalah motto bagi sekolah saya sepanjang tempoh dua (2) tahun belajar dari tingkatan empat (4) hingga tingkatan lima (5). Kolej Islam Sultan Alam Shah adalah sebuah sekolah yang tidak asing lagi dalam Zon Tengah Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Namun, sejarah penubuhannya yang panjang tidak akan saya ceritakan pada entri kali ini. 


Penghayatan Motto Waqafan
Dalam erti kata mudah, beristiqamahlah dengan apa (kebaikan) yang kamu lakukan. Muhasabah yang saya lakukan sering menunjukkan bahawa betapa kita leka, lemah dan lalai dalam melakukan satu kebaikan itu secara berterusan. Seringkali saya teringat tazkirah dari Ustaz Kasyfi, guru saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Selangor (SMKA Kuala Selangor) untuk belajar membuat sesuatu kebaikan itu dari satu benda yang kecil dan mudah untuk diamalkan secara berterusan. Namun begitu, untuk istiqamah dalam sesuatu urusan bukanlah semudah yang disangka kerana hidup ini adalah ujian. Apatah lagi untuk istiqamah dalam menunaikan perintah Allah dan Rasul-Nya dalam kehidupan yang penuh mehnah dan tribulasi ini. Cabaran dalam kehidupan..istiqamah untuk tetap dalam ketaatan dan menjauhi larangan-Nya.


Tarbiyyah dan Mujahadah
Istiqamah perlu diteruskan dengan mujahadah. Ombakan jihad dalam diri adalah suatu perjuangan yang berterusan kerana bisikan nafsu dan syaitan itu tidak akan berhenti sehinggalah kita menghembuskan nafas yang terakhir. Di sinilah datangnya tarbiyyah bagi menyokong mujahadah dan istiqamah.


"Abang, apa maksud tarbiyyah bukan segala-galanya dengan segala-galanya adalah tarbiyyah?", soalan yang diaju oleh isteri saya pada suatu hari.


Diri ini terdiam sebentar. Kelu lidah untuk menjawab kerana fikiran sedang melayang memikirkan perkara lain. Benarkah tarbiyyah bukan segala-galanya bilamana sesetengah individu lain sibuk dengan tarbiyyah melalui usrah, halaqah, tazkirah dan ceramah? Namun, bila fikiran ini kembali lapang, ayat tersebut memberi maksud yang relevan.


Tarbiyyah bukan segala-galanya-Perkara ini mengajak kita untuk memikirkan semula mengapa manusia diciptakan oleh Allah. Satu soalan yang saya yakin tidak ramai yang tahu untuk memberikan jawapan yang tepat, samada mereka itu ISLAM atau KAFIR. Malah masih ramai di antara para pemikir di barat masih tercari-cari sebab manusia diciptakan di muka bumi ini. Subhanallah, segala-galanya telah Allah s.w.t. terangkan di dalam Al-Quran melalui surah al baqarah ayat 30:
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
dan juga surah adz zhariyat ayat 56:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. 
Maka, daripada kedua-dua ayat ini telah menerangkan maksud mengapa manusia ini dicipta oleh Allah s.w.t. Tuntas, bagi mencapai tujuan tersebut, pelbagai jenis metodologi boleh digunakan dan tarbiyyah (mengajar dan belajar) bukanlah segala-galanya yang perlu sentiasa dikejar untuk mencapai matlamat tersebut KERANA
Segala-galanya adalah tarbiyyah- Tarbiyyah ini tiada noktahnya. Tarbiyyah berlaku dalam kehidupan ini samada secara langsung (melalui pengajaran dan pembelajaran) dan secara tidak langsung (cabaran dalam kehidupan). Inilah tarbiyyah Allah untuk kita; kehidupan. Segala yang berlaku dalam kehidupan ini adalah ketentuan Allah (qada' dan qadar) dan bagi mereka yang insaf dan selalu bertaubat, akan sedar bahawa kita adalah insan yang kerdil diciptakan oleh Allah s.w.t untuk menyembah-Nya.


Tarbiyyah Allah s.w.t
Segala yang berlaku adalah ujian kepada kita dan tarbiyyah Allah ke atas hamba-Nya. Saya masih ingat lagi kuliah maghrib di surau SMKAKS, betapa si ustaz menekankan bahawa Rasulullah s.a.w telah dibesarkan dengan tarbiyyah daripada Allah s.w.t. Sedari kecil Rasul s.a.w telah melalui pelbagai peristiwa dengan kematian ibu dan ayah yang disayangi, membesar sebagai anak yatim, belajar mengembala kambing dan berniaga sehingga beliau mendapat wahyu pertama dari Allah s.w.t untuk menyampaikan Islam. Semoga Allah memelihara keluarga saya dan membantu kami semua dengan tarbiyyah Islamiah. InsyaAllah.


Wallahu A'lam.

2 comments:

  1. Asslaam. ni siapa ya. sekolah smkaks dan kisas juga. saudara haidhir ke. x ramai yg bersekolah di kedua2 sekolah ini termasuk saya. Wassalam.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...