Tuesday 24 May 2011

1.8 Generasi Bebas Rokok

Pengaruh Rakan Sebaya
Zaman remaja adalah suatu zaman yang cukup mencabar bagi mereka yang tidak cukup bekalan ilmu dan iman di dada. Banyak budaya yang tidak sihat dengan mudah mempengaruhi remaja tika ini. Antara contohnya adalah kemahuan untuk ber'couple', berhibur, bermegah-megah dan bagi kebanyakan remaja lelaki, merokok adalah suatu permulaan kepada 'kehebatan'; ukuran kepada status kedewasaan dan kematangan. Pengaruh rakan sebaya yang suka mencabar dan mengajak kepada 'hiburan' amat sukar ditolak apabila kita dikelilingi oleh golongan sebegitu hampir setiap hari. Saya sendiri mengalami tempoh yang sukar ketika melalui zaman remaja dengan asakan hiburan dan pengaruh dari rakan sebaya. Berkat doa emak, saya tidak merokok....
Kandungan Rokok Secara Amnya
Rokok Ciptaan Yahudi
Ramai orang sedia maklum bahawa rokok itu adalah ciptaan orang yahudi. Hakikatnya memang benar ianya adalah ciptaan yahudi yang sangat mereka bangga-banggakan dan banyak lagi barang-barang ciptaan mereka yang telah kita gunakan dalam kehidupan harian kita seperti televisyen. Melalui usrah di S.M.K.A Kuala Selangor pada tahun 1997, saya diajar betapa orang yahudi telah menggariskan 5S dalam misi untuk menjajah dan merosakkan pemuda pemudi Islam.
Sports   -Sukan
Song     - Lagu
Screen  - Wayang
Smoke  - Rokok
Sex       - Seks
Tak Nak Pada Rokok
Usah digasak dengan fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai rokok. Begitu juga dengan pendapat para doktor mengenai keburukan tabiat merokok kepada kesihatan diri dan masyarakat sekeliling. Kerajaan telah banyak menjalankan kempen 'Tak Nak pada Rokok', namun selagi rokok itu masih dijual di pasaran, mana mungkin perokok-perokok tegar mampu untuk berhenti?
 "Aku target nak berhenti rokok bila dah kahwin nanti", ujar sahabat saya.
Bolehkah begitu? Tapi sebagai sahabat yang bersangka baik, apa salahnya menyokong tindakan rakan-rakan yang ingin berubah. Orang hendak buat baik jangan dihalang...
1 bulan....
2 bulan....
3 bulan....
Sungguh saya berasa bangga dengan pencapaian rakan-rakan yang berazam untuk berhenti merokok dan berjaya melakukannya. Akan tetapi, apabila jumlah bebanan kerja makin bertambah, stress dan tension menggamit ketenangan diri, akhirnya 'gugur syahid' juga sahabat saya; kembali merokok. Semua perokok sedia maklum bahawa merokok boleh memberi ketenangan dan mengurangkan tekanan dan menggunakannya sebagai hujah mempertahankan tindakan mereka. Hakikatnya, keburukan merokok itu mengatasi kebaikan secara total!

Teori Perokok
Kajian sebuah universiti di Indonesia menunjukkan bahawa 70% perokok aktif adalah orang miskin. Di Malaysia pula, kajian dari Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa hampir tiga (3) juta rakyatnya adalah perokok tegar dengan majoritinya adalah berbangsa Melayu. Malang tidak berbau, ketagihan pada merokok membawa kesan yang sangat tidak sihat. Manakan tidak, ada diantara mereka yang bergelar 'ustaz' pun merokok. Tidak kurang juga ahli keluarga saya yang terjerat dalam masalah rokok ini. Tetapi apa yang menarik perhatian saya adalah 'teori perokok' yang menyatakan bahawa:
1. Jika Ayahnya merokok, anaknya tidak akan merokok
2. Jika Ayahnya tidak merokok, anaknya akan merokok.
Benarkah teori tersebut?


Generasi Yang Bebas Rokok
Ayuh...mari kita sama-sama mulakan Generasi Baru Yang Tidak Merokok!
Itulah sepakat antara saya dan sepupu untuk membentuk generasi kami yang bebas dari pengaruh rokok. Melentur buluh biarlah dari rebungnya! Walaupun perjalanan anak-anak kami ke zaman remaja masih jauh, namun didikan peringkat awal amat penting agar mereka memahami dan bijak membuat pilihan yang terbaik dalam hidup mereka. Maka, pilihlah TIDAK pada rokok.


Wallahu A'lam.

Wednesday 18 May 2011

1.7 Anak Yang Membesar

Kanak-Kanak Yang Ceria
Beberapa hari lepas, sedang saya menikmati juadah makan tengahari di luar pejabat, saya dikejutkan dengan kedatangan rombongan kanak-kanak dari tadika Q-dess. Ceria sungguh kesemua kanak-kanak tersebut dibawa menaiki bas sekolah berjalan-jalan melawat beberapa tempat. Saya dapati terdapat perbezaan fizikal antara mereka iaitu ketinggian. Rupa-rupanya kanak-kanak yang mengikuti rombongan tersebut terdiri daripada seawal usia 4 tahun hingga 6 tahun. Saya lihat wajah mereka satu persatu dan saya dapati mereka sungguh mudah untuk dididik dan diarah pada usia tersebut. Wajah mereka kelihatan berseri-seri dan jelas riak di wajah mereka tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan kehidupan di sekililing. Semuanya kelihatan memakai pakaian seragam, bergelak ketawa bersama-sama dan terhindar dari pengaruh persekitaran yang tidak menyihatkan. Sungguh berbeza manusia di awal usia mengenal dunia dengan mereka yang telah 'lebih dahulu memakan garam'.
Masa Yang Berlalu - Usia
Lagu nasyid Raihan dengan judul Demi Masa terngiang-ngiang di telinga saya di kala muhasabah diri.
Demi Masa,
Sesunggunya manusia kerugian,
Melainkan....
yang beriman dan yang beramal soleh,

Demi Masa,
Sesunggunya manusia kerugian,
Melainkan....
Nasihat kepada kebenaran dan kesabaran,

Gunakan kesempatan yang masih diberi,
Moga kita takkan menyesal,
Masa usia kita jangan disiakan,
Kerna ia takkan kembali,

Ingat lima perkara, 
Sebelum lima perkara,
Sihat sebelum sakit,
Muda sebelum tua,
Kaya sebelum miskin,
Lapang sebelum sempit,
Hidup sebelum mati,
Dari Amru bin Maimun r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara iaitu masa muda engkau sebelum datang hari tua, masa sihat engkau sebelum dilanda sakit, masa kaya engkau sebelum masa miskinmu, masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk dan masa hidup engkau sebelum datangnya saat kematian" (Hadith riwayat Muslim dan at-Tirmizi)

Membesarkan Anak di Akhir Zaman
Melihat kanak-kanak di usia muda tersebut menyebabkan saya teringat pada anak saya yang akan mencapai usia satu (1) tahun dalam beberapa hari lagi. Adalah satu tugas dan amanah yang sangat besar bagi mana-mana ibu bapa yang akan membesarkan anak di akhir zaman ini dengan fitnah dajjal yang melata di muka bumi. Ujian dan cabaran dari persekitaran sangat mencabar sehingga mungkin sukar bagi ibu bapa untuk mengelakkan anak-anak mereka daripada terkena tempias 'arus pemodenan dan globalisasi' yang dicanang-canangkan. Hakikatnya, ramai ibu bapa yang sudah sedar akan risiko yang akan dihadapi ini. Daripada 100 orang, mungkin 40 orang sedar akan kedaifan sistem pendidikan kini, akan tetapi mungkin 10 orang sahaja yang berani mengambil jalan yang 'berlainan' dalam mendidik anak mereka. Maka, apa yang diperlukan adalah tekad dan ikhtiar bagi setiap ibu bapa untuk mencorakkan anak masing-masing diiringi dengan doa yang tidak putus-putus. Saya sendiri masih belajar daripada rakan-rakan yang telah berjaya mendidik anak-anak mereka menjadi anak yang soleh dan solehah. Antara sumber bacaan yang menarik untuk dijadikan rujukan adalah hasil penulisan Dr. Abdullah Nasih Ulwan bertajuk Tarbiyatul Awlad Fil Islam (Pendidikan Anak-Anak dalam Islam). Buku tersebut telah diterjemahkan ke dalam bahasa melayu dan dibahagikan kepada dua (2) jilid. Sehingga ke hari ini, saya masih berusaha untuk menamatkan pembacaan buku tersebut dan mempraktikan sedikit demi sedikit tips-tips pengajaran beliau dalam mendidik anak-anak mengikut acuan Islam.

Didiklah Anak Mengenal Allah
"Soleh kah perbuatan macam tuuuu...?" (dalam nada lembut)
Satu ungkapan pertanyaan yang menarik boleh ditanya pada anak-anak apabila melakukan sesuatu kesalahan. Anak-anak yang bersifat ingin tahu dan ingin mencuba tidaklah dinafikan keinginan mereka itu melainkan dengan menuntun sifat mereka ke arah yang positif dan membina. Bertindak untuk melindungi mereka sepanjang masa dari pengaruh yang tidak sihat akan menjadi suatu misi yang mustahil apabila mereka makin membesar. Anak-anak perlu dilindungi dan dipersiapkan untuk menempuh kehidupan ini dengan kekuatan diri mereka sendiri. Antaranya ialah mengajar mereka untuk bijak membuat pilihan berdasarkan Quran dan Sunnah, akal dan iman, keperluan dan kemahuan, dunia dan akhirat. Oleh yang demikian, sebagai ibu bapa dan kepada bakal ibu bapa, perlengkapkanlah diri kita semua dengan pengetahuan didikan Islam agar kita dapat mendidik anak-anak kita mengenal Allah s.w.t.
Dari Abi Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, "Setiap anak dilahirkan dalam keadaaan fitrah, kecuali orang tuanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi" (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Wallahu A'lam.

Monday 16 May 2011

1.6 Selamat Hari Ibu


Sambutan Hari Keraian
Sedari kecil saya tidak berapa gemar menyambut apa-apa hari keraian seperti sambutan hari jadi, hari wesak, hari gawai dan sebagainya kecuali Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ada sesetengah orang akan menggelar diri saya ini 'kurang sosial' kerana kedaifan saya mengikut gaya sambutan masyarakat kini. Walaupun saya ini bukannya orang yang sangat tegas pendiriannya, tetapi saya akan cuba melakukan sesuatu dengan cara saya sendiri. Seboleh-bolehnya saya ingin melakukan sesuatu secara bersederhana kerana saya kerap melihat masyarakat melayu sekarang menyambut sesuatu keraian kadang-kadang dengan cara yang 'mewah'. Salahkah? Adakalanya susah untuk saya mendefinisikan sendiri istilah 'mewah' itu kerana ia adalah terlalu subjektif dan bergantung kepada sudut pandangan individu. Oleh yang demikian, saya akui kelemahan saya wujud akibat tidak dapat membezakan dengan jitu antara keperluan, kemahuan mahupun kemewahan. Ada sesetengah individu menganggap mempunyai TV adalah satu keperluan manakala individu yang lain pula menyatakan ianya adalah kemahuan dan menjadi kemewahan pula bila TV yang dibeli itu berspesifikasi tinggi dengan harga yang mahal.
Pengorbanan Ibu
Jasa dan pengorbanan seorang wanita yang bergelar IBU memang tidak dapat dinafikan lagi. Adab-adab dan kewajipan seorang anak taat dan menghormati ibu dan bapa banyak diperkatakan dalam hadith Rasulullah s.a.w.  Saya sering mendengar alunan nasyid daripada Yusof Islam dengan lagunya yang bertajuk Your Mother.

Who should I give my love to?
My respect and my honor to
Who should I pay good mind to?
After Allah and Rasulullah

Comes your mother
Who next? Your mother
Who next? Your mother
And then your father

Dari Abu Hurairah r.a, telah datang seorang laki-laki kepada Rasulullah s.a.w maka dia berkata: "Wahai Rasulullah , siapakah yang lebih berhak untuk diberi penghormatan yang sebaik-baiknya? Rasulullah menjawab: IBUMU. Dia berkata lagi: kemudian siapa? Rasul menjawab: IBUMU. Dia berkata lagi: kemudian siapa? Rasulullah menjawab: IBUMU. Dia berkata lagi: kemudian siapa? Rasulullah menjawab: AYAHMU. (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selamat Hari Ibu
Dalam dunia moden ini, dunia seluruhnya menyambut Hari Ibu (Mother's Day) demi untuk mengingati dan menghargai jasa dan pengorbanan seorang ibu. Tarikh 8 Mei 2011 (Hari Ahad) diambil secara rasminya untuk meraikan 'Selamat Hari Ibu' di Malaysia. Jikalau dilihat pada iklan-iklan di suratkhabar, televisyen dan radio, sangat meriah promosi yang diberikan agar semua rakyat berbilang kaum ambil maklum dan meraikannnya. Tidak kurang juga rancaknya pada laman Facebook dan twitter, rata-rata ramai yang mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada ibu/emak/ummi/ mama masing-masing. Ada juga si suami mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada si Isteri demi mewakili anak mereka yang masih tidak tahu berkata-kata. Bagaimana pula dengan saya?
Jasa Yang Tidak Terbalas
Hati ini begitu gembira untuk meraikan pengorbanan dan jasa emak saya. Begitu juga menghargai pengorbanan isteri saya yang hampir setahun bergelar ummi. Saya akui dan ingin memohon maaf kepada kedua-duanya andai terasa hati dan tidak terikut-ikut dengan arus pemodenan sambutan 'Selamat Hari Ibu' dengan pemikiran saya yang 'kurang sosial' ini. Hakikatnya, setiap detik dan hari yang berlalu, jasa dan pengorbanan mereka amat bermakna buat diri saya. Saya menganggap setiap hari yang berlalu adalah 'Selamat Hari Ibu' bagi emak dan isteri saya kerana pengorbanan mereka sebagai seorang yang bergelar IBU adalah suatu jasa yang tidak terbalas. Semoga Allah s.w.t redha dan memberkati kalian dunia dan akhirat. Amin.

Say Alhamdulillah
Thank You Allah
Thank You Allah
For my mother

Wallahu A'lam.

Tuesday 10 May 2011

1.5 Televisyen dan Hipnosis

"If you came and you found a strange man... teaching your kids to punch each other, or trying to sell them all kinds of products, you'd kick him right out of the house, but here you are; you come in and the TV is on, and you don't think twice about it" - Jerome Singer
Seisi Keluarga Sedang Menonton Kotak Hitam (TV) di Suatu Sudut Rumah
Membesar Dengan Siaran Televisyen
Hari ini hampir genap dua (2) tahun saya jarang menonton siaran televisyen (TV). Sedari kecil saya dibesarkan dan diperkenalkan dengan TV, banyak rancangan TV yang telah saya tonton dan gemari. Ada sesetengah daripada filem-filem dan rancangan TV yang menjadi koleksi simpanan saya. Kotak TV itu sendiri juga telah mengalami perubahan yang drastik dalam tempoh setengah abad ini.
TV Pada Tahun 1958
TV Pada Tahun 2011
Hipnosis Dari Televisyen
David Deschene melalui penulisannya dalam Fort Fairfield Journal mengulas mengenai kesan hipnotik TV ke atas penontonnya.
"Watching television, like playing video games, causes the viewer’s brain waves to slip into a hypnotic, post-REM type - or “delta” - sleep. Brainwaves of television viewers are similar to those in deep sleep, though their eyes are still open. While in this state, any number of post-hypnotic suggestions can be implanted in the mind of the viewer, from buying that fancy new car, to going deeper into debt by refinancing their home in order to take a vacation"

Saya masih teringat semasa di sekolah rendah, guru saya, Cikgu Lee bertanya tentang iklan shampoo yang ada disiarkan di TV. Beliau meminta semua pelajar cuba menamakan satu jenama yang pelajar ingat. Tanpa perlu berfikir panjang, kami masing-masing memberikan jawapan. Cikgu Lee lantas tersenyum dan berkata, "Betul jawapan anda semua! Inilah kuasa dan pengaruh yang ada pada televisyen, dalam keadaaan tidak sedar kamu semua telah mendapat maklumat". 
Oleh sebab kuasa dan pengaruh dari televisyen ini, maka tidak hairanlah kita melihat kesemua maklumat-maklumat disalurkan secara besar-besaran kepada semua pemilik dan penonton TV. TV telah dijadikan dream tool dan boleh dikatakan alat hipnosis paling berkesan yang mana orang ramai akan setia menontonnya dan didoktrinkan dengan propaganda dan pelbagai 'maklumat'.

Kesan Ke Atas Diri Sendiri
Walaupun saya telah mengehadkan waktu bagi menonton TV, namun saya masih terkena 'bahang ketagihan' kesan akibat menonton TV selama lebih kurang 20 tahun. Seboleh-bolehnya saya akan cuba mengelak untuk menonton rancangan-rancangan yang disiarkan di TV kerana apabila mula menontonnya sahaja, saya akan hampir terus 'dipaku' di hadapan TV tersebut. Kesan akibat menonton TV ini bagi saya adalah seperti 'dadah'. Hanya kekuatan jati diri yang sebenar-benarnya dapat menghilangkan kesan 'dadah' tersebut. Masakan tidak, jumlah jam yang diluangkan selama ini untuk menonton TV sudah cukup untuk melali dan melekakan diri ini agar terpaut dengan TV sehingga pada suatu tahap, ada sesetengah individu yang tidak dapat 'hidup' jika tidak menonton TV dalam sehari.
Masa Yang Dihabiskan Untuk Menonton Televisyen - SZS
Kronologi Masa Menonton Televisyen (secara purata) - SZS
1hingga 12 tahun - TV berjenama Singer digunakan untuk menonton siaran TV1, TV2 dan TV3 sahaja.
13 hingga 17 tahun - Jumlah menonton TV berkurangan secara mendadak kerana tinggal di sekolah berasrama.
18 hingga 19 tahun - Jumlah menonton TV kembali meningkat sementara menunggu keputusan SPM diumumkan. Tika ini, stesen dan rancangan TV makin bertambah dengan meriahnya untuk memberikan opsyen kepada penonton untuk memilih rancangan masing-masing.
20 hingga 25 tahun - Jumlah menonton TV adalah malar sehingga tamat pengajian di universiti dan memasuki alam pekerjaan. Langganan kepada ASTRO menjadi-jadi ketika ini.
26 tahun hingga kini - Penurunan yang mendadak atas faktor kesedaran ingin berubah.

Mencegah Adalah Lebih Baik Dari Merawat
Di akhir zaman ini, sangatlah sukar untuk kita mengatakan TIDAK pada sesuatu yang sudah dianggap lazim dalam masyarakat. Rakan-rakan di pejabat begitu asyik menceritakan mengenai tawaran-tawaran bagi jualan TV yang dibuat di Carrefour, TESCO dan Giant. Hampir kesemua rumah di negara Malaysia ini telah mempunyai sebuah kotak televisyen. Ada sebilangan rumah pula mempunyai lebih dari satu (1) TV dan mengakibatkan ahli keluarga meluangkan masa sendirian menonton siaran TV masing-masing. TV telah dianggap sebagai 'babysitter' sementara, hiburan, 'sahabat' dan pemberi maklumat. Jadinya, adakah televisyen ini suatu MESIN ataupun PERABOT yang ditempatkan di ruang tamu rumah kita?
Di akhir zaman ini, kuantiti masa yang diluangkan untuk bersama keluarga banyak dihabiskan dengan menonton rancangan televisyen beramai-ramai. Akan tetapi, kualiti masa bersama keluarga adalah lebih penting di mana kita isikan dengan komunikasi; pertukaran pendapat, pencambahan idea, pembelajaran dan pengajaran. Families need to turn "off" the television and get "on" with life. Oleh itu, saya mencari suatu kaedah bagaimana untuk melakukan langkah pencegahan ke atas kesan 'dadah' yang diberikan oleh TV ini.

Keputusan Di Tangan Kita
Baru-baru ini saya telah membeli satu (1) set televisyen 32" jenis LED dan berjenama Samsung kerana terikut dengan trend masyarakat kini. Namun perlu diingat, kita diberi anugerah oleh Allah s.w.t untuk berfikir menggunakan akal yang waras dan berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Apa yang saya lakukan seterusnya?

Kita mempunyai pilihan sebenarnya untuk menentukan siaran dan rancangan apa yang perlu ditonton oleh keluarga kita. InsyaAllah, saya telah sepakat untuk tidak menyambung TV yang dibeli dengan mana-mana siaran TV samada yang percuma ataupun berbayar. Kemajuan teknologi TV LED itu saya gunakan dengan menyambungnya kepada komputer saya agar saya dapat menentukan sendiri maklumat apa yang saya kehendaki. Peristiwa-peristiwa yang berlaku disekeliling seharusnya kita selidiki kerana antara tanda akhir zaman adalah fitnah yang berleluasa. Kebanyakan orang di sekitar kita akan meneruskan kehidupan ini dengan fikiran mereka yang dipenuhi doktrin dan maklumat pos-hipnotik yang disogokkan melalui TV. Melalui pilihan yang saya pilih ini, mungkin sesetengah orang akan menggelar idea dan pemikiran saya yang berbeza sebagai 'radikal' dan 'ekstremis' kerana saya tidak didoktrinkan dan tidak akan lagi didoktrinkan sebagaimana mereka.

Wallahu A'lam.

Friday 6 May 2011

1.4 Pemikiran Manusia

Kematangan Berfikir
Dalam artikel saya sebelum ini, saya ada menyentuh mengenai bagaimana pengalaman dan pengajaran menjadi asas pembelajaran saya dalam menilai sesuatu peristiwa. Saya teringin untuk berkongsi cara saya berfikir yang sedikit 'gila' ini dengan semua orang, namun terdapat segelintir rakan saya mengatakan bahawa cara saya berfikir ini agak bahaya. Mengapa bahaya?
Umum mengetahui usia remaja adalah satu peralihan pemikiran, sifat, emosi, perangai dan pendirian seseorang untuk mencapai suatu tahap kematangan. Subhanallah, sungguh menakjubkan. Saya dapati cara saya berfikir berbanding 15 tahun lalu sungguh berbeza, bertambah matang dan lebih terbuka. Secara konsepsualnya, saya lebih berfikiran positif dan terbuka, optimis dan kritis (kritikal dan analitikal). Maka di zaman mutakhir ini, pemikiran ini mungkin boleh dianggap 'gila' dan 'bahaya' kerana ia cuba menembusi norma budaya pemikiran masyarakat.

Berfikir Itu Satu Anugerah
"I got one crazy thing that I always do....... THINK" - George Carlin.

George Carlin di lewat usianya
Benarkah berfikir itu satu kerja gila?
Setiap hari kita semua berfikir dan menggunakan otak kita bagi menyelesaikan urusan sehari-hari. Namun berapa ramai daripada kita yang mampu untuk think out of the system? Saya menggunakan istilah system bagi menggantikan perkataan think out of the box yang kita selalu guna pakai lebih-lebih lagi ketika waktu kursus motivasi. Norma budaya masyarakat di Malaysia ini dari pelbagai bangsa banyak menonjolkan kebanggan kepada budaya dan bangsa masing-masing. Sentimen patriotisme dan nasionalisme telah lama menular dalam masyarakat sekarang. Lalu apa natijahnya?

Sejarah Yang Berulang-Ulang
Peristiwa sejarah itu pasti berulang cuma dalam bentuk yang berbeza sahaja. Semasa zaman arab jahiliah lagi telah wujud sentimen berpuak-puak yang kini kita panggil sebagai patriotisme dan nasionalisme. Kedatangan rasul akhir zaman adalah untuk membawa rahmat ke seluruh alam dan menyatukan umat manusia di bawah panji Islam. Baginda s.a.w diutus untuk membawa rahmat tidak hanya bagi suku dan bangsa tertentu, tidak pula bagi orang-orang berwarna kulit tertentu dengan bahasa tertentu dan tinggal di daerah tertentu.
Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. [Surah-21 al-Anbiya'; Ayat 105]
And We have not sent you, [O Muhammad], except as mercy to the worlds. [21:105]

Natijahnya apabila kita berpuak-puak, kesatuan dalam agama Islam itu akan lemah kerana masing-masing sibuk memperjuangkan hak puak masing-masing atas dasar agama sedangkan hak sebenar yang perlu diperjuangkan adalah hak ALLAH. Sungguh tidak ada kaum/puak yang mulia disisi Allah s.w.t melainkan mereka itu beriman dan bertakwa kepadaNya.
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). [Surah-49 al-Hujrat; Ayat 13]
O mankind, indeed We have created you from male and female and made you peoples and tribes that you may know one another. Indeed, the most noble of you in the sight of Allah is the most righteous of you. Indeed, Allah is Knowing and Acquainted [49:13]

Sistem dan Doktrin Akhir Zaman
Kajian seorang profesor di Jerman mengenai undang-undang ciptaan manusia menunjukkan bahawa sistem undang-undang ciptaan manusia ini banyak lopongnya dan perlu sentiasa diubah dari semasa ke semasa demi memenuhi tuntutan tindakan/hukuman kepada pesalah agar setimpal dengan kesalahan mereka. Ujar beliau, akhirnya manusia perlu akur bahawa setiap kali mereka 'menaiktaraf' mengubah hukuman tersebut, hukuman tersebut makin menghampiri apa yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran al-karim.
(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”. [Surah-2 al-Baqarah; Ayat 138]
'[And say,"Ours is]the religion of Allah. And who is better than Allah in [ordaining] religion? And we are worshippers of Him" [2:138]

Syeikh Dr. Fathi Yakan telah menerangkan dalam buku beliau "Apa Ertinya Saya Menganut Islam" mengenai kegagalan sistem-sistem hidup ciptaan manusia baik di timur mahupun di barat samada berfahaman kapitalisme, demokrasi, liberalisme, sosialisme atau komunisme. Hakikatnya kegagalan sistem ini memberi keadilan yang sewajarnya kerana keterbatasannya, kelemahannya, sifat kesementaraannya dan hakikat ianya ciptaan insan yang kadang-kadang mempunyai kepentingan yang tersendiri. Begitu juga dengan sistem sosial, sistem ekonomi, sistem politik, sistem pendidikan dan juga sistem ketenteraan. Kriktikan itu perlu bagi setiap tindakan yang dibuat, namun biarlah kritikan yang diberi bersifat membina dan bukannya membinasa! Namun, harus diingat! kelantangan dan kematangan pemikiran yang cuba dikembangkan perlulah selari dengan Al-Quran dan As-Sunnah agar tiada rosak Aqidah dan Tauhid kepada Allah s.w.t.

Wallahu A'lam.

Thursday 5 May 2011

3.0 Khutbah Wida'

Jemaah Haji Berkumpul di Gunung Arafah
Peristiwa Haji Wida'
Ia dinamakan demikian ialah kerana Nabi s.a.w kembali ke rahmatullah setelah beberapa ketika baginda mengerjakan ibadat Haji tersebut. Apa itu Khutbah Wida'? Khutbah Wida' adalah merupakan khutbah terakhir dari Rasulullah s.a.w yg disampaikan pada 9 Zulhijjah Tahun ke-10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah. Peristiwa Rasulullah s.a.w menyampaikan khutbah tersebut pada musim haji tahun ke-10 hijrah adalah antara detik yang penting dalam sejarah perkembangan dan perjuangan Islam kerana ianya menunjukkan bahawa tugas Muhammad s.a.w sebagai nabi yang terakhir dalam menyampaikan Islam, telah sempurna. 
Masjidil Haram, Mekah
Berikut adalah isi-isi khutbah yg disampaikan oleh Baginda s.a.w.:


Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini. 


Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil. 


Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina. 


Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. (Semua manusia berasal dari Adam dan Hawa, tidak ada (bangsa) Arab yang lebih mulia dari (bangsa) bukan Arab atau (bangsa) bukan Arab lebih mulia dari (bangsa) Arab; juga tidak ada yang (berkulit) putih lebih mulia dari yang (berkulit) hitam atau yang (berkulit) hitam lebih mulia dari (berkulit) putih) Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh. Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur an dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMU kepada hamba-hambaMu.

Mengikut catitan sejarah, selepas khutbah tersebut, azan dikumandangkan diikuti iqamah dan solat zohor. Kemudian bangun lagi iqamah lalu bersolat Asar. Kemudian Rasulullah s.a.w menunggang untanya sehingga ke tempat wukuf, lalu untanya Al-Qaswa’ diletakkan di batu-batu di bawab bukit Rahmah (iaitu bukit yang terletak di padang bumi ‘Arafah) dan orang ramai berkumpul di hadapannya dan menghadap kiblat. Kemudian baginda terus berwukuf sehingga matahari terbenam dan hilang cahaya kuning. Ketika Rasulullah s.a.w selesai bersolat baginda berdoa hingga terbenam matahari. Selesai berdoa, ketika itulah turun kepada baginda s.a.w ayat dari surah Al Maidah ayat 3:




Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu Agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi Agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Surah-5 al-Maidah; Ayat 3]
Prohibited to you are dead animals, blood, the flesh of swine, and that which has been dedicated to other than Allah , and [those animals] killed by strangling or by a violent blow or by a head-long fall or by the goring of horns, and those from which a wild animal has eaten, except what you [are able to] slaughter [before its death], and those which are sacrificed on stone altars, and [prohibited is] that you seek decision through divining arrows. That is grave disobedience. This day those who disbelieve have despaired of [defeating] your religion; so fear them not, but fear Me. This day I have perfected for you your religion and completed My favor upon you and have approved for you Islam as religion. But whoever is forced by severe hunger with no inclination to sin - then indeed, Allah is Forgiving and Merciful. [5:3]
Ketika turun ayat tersebut sebahagian sahabat menangis termasuk Umar r.a kerana mereka memahami perpisahan dengan Rasullullah s.a.w akan berlaku....
Wallahu A'lam.

1.3 Mengapa Jadi Jurutera

Televisyen Yang Mempengaruhi
Saya dibesarkan di sebuah bandar yang diberi nama Puchong. Dahulunya Puchong boleh dianggap hanya sebagai pekan yang dikelilingi oleh ladang kelapa sawit dan getah. Perlu diakui bahawa kanak-kanak membesar dipengaruhi oleh persekitaran mereka. Secara teorinya, andainya persekitaran itu baik, insyaAllah baik hasilnya. Apabila memasuki alam persekolahan, satu soalan cepu emas akan ditanya kepada semua pelajar iaitu, "Apa cita-cita kamu bila dewasa kelak?".
Siaran televisyen ketika era saya membesar banyak menyiarkan rancangan berbentuk superhero. Bermula dengan Gaban, Suria Perkasa Hitam, Captain Planet, Ultraman, Superman, Batman, Maskman, Flashman dan ramai lagi yang cuba diketengahkan. Kemuncak superhero yang saya kenal sebelum memasuki alam remaja adalah Power Rangers. Di Malaysia pula, sarat dengan drama dan filem melayu bertemakan patriotisme. Antara pelakon yang sedang 'meletop' ketika itu ialah A.R Badul dan Mr.Os. 'Prebet Lapok' lakonan A.R Badul adalah antara filem yang saya minati ketika itu. Filem itu menonjolkan seorang pemuda nakal bernama Badul yang sering mengusik anak-anak dara di kampungnya. Oleh kerana tidak mempunyai pekerjaan, dia dipujuk supaya memohon menjadi anggota tentera dan diterima. Semasa menjalani latihan ketenteraan, banyak peristiwa lucu berlaku. Bertitik tolak dari beberapa filem patritisme yang saya tonton, maka jawapan saya ketika disoal mengenai cita-cita ialah "Saya ingin menjadi seorang askar kerana dapat mempertahankan tanah air saya daripada dijajah". Oleh kerana filem 'Sarjan Hassan' yang cukup popular ketika itu, maka saya menambah sedikit perincian dalam cita-cita saya iaitu ingin menjadi askar berpangkat sarjan.


Persekitaran Yang Mempengaruhi
Hari demi hari, persekitaran banyak mengajar saya erti kehidupan. Cita-cita saya yang dahulunya ingin menjadi askar terpaksa diubah kerana mendapat tentangan daripada ayah saya. Dek kerana akur, saya cuba mencari cita-cita yang lain. Kebetulan ketika itu, pakcik saya (adik bongsu ayah) telah mula bekerja sebagai Jurutera dan ramai dikalangan rakan-rakan di sekolah mempunyai ayah yang bekerja sebagai Engineer. Hati mula didorong untuk menceburi bidang tersebut, maka secara rasminya cita-cita saya ialah "Saya ingin menjadi seorang Jurutera". Saya minat dengan subjek 'Alam dan Manusia' ketika sekolah rendah kerana logik dan praktikalitinya, maka azam saya makin mengukuh untuk menjadi seorang jurutera yang berjaya.

Tawaran Membuat Ijazah Sarjana Muda
Satu ketika selepas menghabiskan pengajian di Kolej Matrikulasi Kuala Pilah, saya tinggal di rumah sementara menanti keputusan panggilan ke Universiti. Masih ingat lagi di benak fikiran saya tentang 8 pilihan kursus dan universiti yang dipilih di dalam borang permohonan ke IPTA. Kelapan-lapan pilihan saya adalah kursus Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan empat (4) pilihan pertama adalah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) manakala empat pilihan terakhir adalah di IPTA yang lain. UTM adalah universiti pilihan saya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan demi memenuhi cita-cita saya menjadi seorang Jurutera. Reputasi UTM sebagai universiti teknologi yang berjaya melahirkan ramai graduan dalam bidang kejuruteraan telah umum mengetahuinya. Namun, diri ini terkejut sebentar apabila menerima surat dari posmen. Alhamdulillah, surat tawaran yang saya terima adalah dari UTM tetapi...
Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Aeronautik)
Panik? Tidak.... Gembira? Ya.... Marah? Tidak.... Pelik? Ya....
Sungguh saya pada mulanya tidak mempunyai pengetahuan mengenai kursus yang ditawarkan oleh UTM. Tapi, berdasarkan maklumat yang diberikan oleh sanak saudara dan rakan taulan, saya mendapat sedikit gambaran mengenai kursus tersebut. "Alahai...terima jelah kursus ni asalkan dapat masuk UTM", getus hati saya.

Mengapa Jadi Jurutera
6 tahun di sekolah rendah, 5 tahun di sekolah menengah, 1 tahun di matrikulasi dan 4 tahun di universiti. Jumlah 16 tahun menuntut ilmu bukan suatu jumlah yang sedikit. Harus diakui, diri ini masih terlalu banyak kekurangannya berbanding 16 tahun yang berlalu begitu sahaja tanpa berusaha dengan gigih untuk menambah ilmu di dada. Pernah suatu ketika saya tertanya bolehkah seorang jurutera memperjuangkan Islam?
13 Jun 2009 adalah tarikh perginya seorang permata mujahid Islam bernama Syeikh Dr. Fathi Yakan pada usia 76 tahun mengadap Allah s.w.t. Fathi Yakan adalah contoh 'jurutera' yang patut dijadikan teladan. Saya diperkenalkan dengan karya agung beliau "Apa Ertinya Saya Menganut Islam" (Maza Yakni Intima Lil Islam) ketika saya berumur 16 tahun. Oleh itu, mengapa ingin jadi jurutera?
Saya ingin menjadi jurutera agar dapat membantu dan berbakti kepada masyarakat, insyaAllah. Perjuangan menegak dan mempertahankan Islam boleh dilakukan dalam pelbagai cara. Tidak perlu kita menunggu untuk masyarakat memanggil kita sebagai 'Ustaz' untuk menjalankan kerja-kerja dakwah. Namun, itulah hakikat dan sinonimnya dalam masyarakat melayu di negara Malaysia ini.
Al-Fatihah kepada Tokoh Gerakan Islam: Syeikh Dr. Fathi Yakan

Wallahu A'lam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...