Sambutan Hari Keraian
Sedari kecil saya tidak berapa gemar menyambut apa-apa hari keraian seperti sambutan hari jadi, hari wesak, hari gawai dan sebagainya kecuali Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ada sesetengah orang akan menggelar diri saya ini 'kurang sosial' kerana kedaifan saya mengikut gaya sambutan masyarakat kini. Walaupun saya ini bukannya orang yang sangat tegas pendiriannya, tetapi saya akan cuba melakukan sesuatu dengan cara saya sendiri. Seboleh-bolehnya saya ingin melakukan sesuatu secara bersederhana kerana saya kerap melihat masyarakat melayu sekarang menyambut sesuatu keraian kadang-kadang dengan cara yang 'mewah'. Salahkah? Adakalanya susah untuk saya mendefinisikan sendiri istilah 'mewah' itu kerana ia adalah terlalu subjektif dan bergantung kepada sudut pandangan individu. Oleh yang demikian, saya akui kelemahan saya wujud akibat tidak dapat membezakan dengan jitu antara keperluan, kemahuan mahupun kemewahan. Ada sesetengah individu menganggap mempunyai TV adalah satu keperluan manakala individu yang lain pula menyatakan ianya adalah kemahuan dan menjadi kemewahan pula bila TV yang dibeli itu berspesifikasi tinggi dengan harga yang mahal.
Pengorbanan Ibu
Jasa dan pengorbanan seorang wanita yang bergelar IBU memang tidak dapat dinafikan lagi. Adab-adab dan kewajipan seorang anak taat dan menghormati ibu dan bapa banyak diperkatakan dalam hadith Rasulullah s.a.w. Saya sering mendengar alunan nasyid daripada Yusof Islam dengan lagunya yang bertajuk Your Mother.
Who should I give my love to?
My respect and my honor to
Who should I pay good mind to?
After Allah and Rasulullah
Comes your mother
Who next? Your mother
Who next? Your mother
And then your father
Dari Abu Hurairah r.a, telah datang seorang laki-laki kepada Rasulullah s.a.w maka dia berkata: "Wahai Rasulullah , siapakah yang lebih berhak untuk diberi penghormatan yang sebaik-baiknya? Rasulullah menjawab: IBUMU. Dia berkata lagi: kemudian siapa? Rasul menjawab: IBUMU. Dia berkata lagi: kemudian siapa? Rasulullah menjawab: IBUMU. Dia berkata lagi: kemudian siapa? Rasulullah menjawab: AYAHMU. (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Selamat Hari Ibu
Dalam dunia moden ini, dunia seluruhnya menyambut Hari Ibu (Mother's Day) demi untuk mengingati dan menghargai jasa dan pengorbanan seorang ibu. Tarikh 8 Mei 2011 (Hari Ahad) diambil secara rasminya untuk meraikan 'Selamat Hari Ibu' di Malaysia. Jikalau dilihat pada iklan-iklan di suratkhabar, televisyen dan radio, sangat meriah promosi yang diberikan agar semua rakyat berbilang kaum ambil maklum dan meraikannnya. Tidak kurang juga rancaknya pada laman Facebook dan twitter, rata-rata ramai yang mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada ibu/emak/ummi/ mama masing-masing. Ada juga si suami mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada si Isteri demi mewakili anak mereka yang masih tidak tahu berkata-kata. Bagaimana pula dengan saya?
Jasa Yang Tidak Terbalas
Hati ini begitu gembira untuk meraikan pengorbanan dan jasa emak saya. Begitu juga menghargai pengorbanan isteri saya yang hampir setahun bergelar ummi. Saya akui dan ingin memohon maaf kepada kedua-duanya andai terasa hati dan tidak terikut-ikut dengan arus pemodenan sambutan 'Selamat Hari Ibu' dengan pemikiran saya yang 'kurang sosial' ini. Hakikatnya, setiap detik dan hari yang berlalu, jasa dan pengorbanan mereka amat bermakna buat diri saya. Saya menganggap setiap hari yang berlalu adalah 'Selamat Hari Ibu' bagi emak dan isteri saya kerana pengorbanan mereka sebagai seorang yang bergelar IBU adalah suatu jasa yang tidak terbalas. Semoga Allah s.w.t redha dan memberkati kalian dunia dan akhirat. Amin.
Say Alhamdulillah
Thank You Allah
Thank You Allah
For my mother
Wallahu A'lam.
No comments:
Post a Comment