Beberapa hari lepas, sedang saya menikmati juadah makan tengahari di luar pejabat, saya dikejutkan dengan kedatangan rombongan kanak-kanak dari tadika Q-dess. Ceria sungguh kesemua kanak-kanak tersebut dibawa menaiki bas sekolah berjalan-jalan melawat beberapa tempat. Saya dapati terdapat perbezaan fizikal antara mereka iaitu ketinggian. Rupa-rupanya kanak-kanak yang mengikuti rombongan tersebut terdiri daripada seawal usia 4 tahun hingga 6 tahun. Saya lihat wajah mereka satu persatu dan saya dapati mereka sungguh mudah untuk dididik dan diarah pada usia tersebut. Wajah mereka kelihatan berseri-seri dan jelas riak di wajah mereka tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan kehidupan di sekililing. Semuanya kelihatan memakai pakaian seragam, bergelak ketawa bersama-sama dan terhindar dari pengaruh persekitaran yang tidak menyihatkan. Sungguh berbeza manusia di awal usia mengenal dunia dengan mereka yang telah 'lebih dahulu memakan garam'.
Masa Yang Berlalu - Usia
Lagu nasyid Raihan dengan judul Demi Masa terngiang-ngiang di telinga saya di kala muhasabah diri.
Demi Masa,
Sesunggunya manusia kerugian,
Melainkan....
yang beriman dan yang beramal soleh,
Demi Masa,
Sesunggunya manusia kerugian,
Melainkan....
Nasihat kepada kebenaran dan kesabaran,
Gunakan kesempatan yang masih diberi,
Moga kita takkan menyesal,
Masa usia kita jangan disiakan,
Kerna ia takkan kembali,
Ingat lima perkara,
Sebelum lima perkara,
Sihat sebelum sakit,
Muda sebelum tua,
Kaya sebelum miskin,
Lapang sebelum sempit,
Hidup sebelum mati,
Dari Amru bin Maimun r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara iaitu masa muda engkau sebelum datang hari tua, masa sihat engkau sebelum dilanda sakit, masa kaya engkau sebelum masa miskinmu, masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk dan masa hidup engkau sebelum datangnya saat kematian" (Hadith riwayat Muslim dan at-Tirmizi)
Membesarkan Anak di Akhir Zaman
Melihat kanak-kanak di usia muda tersebut menyebabkan saya teringat pada anak saya yang akan mencapai usia satu (1) tahun dalam beberapa hari lagi. Adalah satu tugas dan amanah yang sangat besar bagi mana-mana ibu bapa yang akan membesarkan anak di akhir zaman ini dengan fitnah dajjal yang melata di muka bumi. Ujian dan cabaran dari persekitaran sangat mencabar sehingga mungkin sukar bagi ibu bapa untuk mengelakkan anak-anak mereka daripada terkena tempias 'arus pemodenan dan globalisasi' yang dicanang-canangkan. Hakikatnya, ramai ibu bapa yang sudah sedar akan risiko yang akan dihadapi ini. Daripada 100 orang, mungkin 40 orang sedar akan kedaifan sistem pendidikan kini, akan tetapi mungkin 10 orang sahaja yang berani mengambil jalan yang 'berlainan' dalam mendidik anak mereka. Maka, apa yang diperlukan adalah tekad dan ikhtiar bagi setiap ibu bapa untuk mencorakkan anak masing-masing diiringi dengan doa yang tidak putus-putus. Saya sendiri masih belajar daripada rakan-rakan yang telah berjaya mendidik anak-anak mereka menjadi anak yang soleh dan solehah. Antara sumber bacaan yang menarik untuk dijadikan rujukan adalah hasil penulisan Dr. Abdullah Nasih Ulwan bertajuk Tarbiyatul Awlad Fil Islam (Pendidikan Anak-Anak dalam Islam). Buku tersebut telah diterjemahkan ke dalam bahasa melayu dan dibahagikan kepada dua (2) jilid. Sehingga ke hari ini, saya masih berusaha untuk menamatkan pembacaan buku tersebut dan mempraktikan sedikit demi sedikit tips-tips pengajaran beliau dalam mendidik anak-anak mengikut acuan Islam.
Didiklah Anak Mengenal Allah
"Soleh kah perbuatan macam tuuuu...?" (dalam nada lembut)
Satu ungkapan pertanyaan yang menarik boleh ditanya pada anak-anak apabila melakukan sesuatu kesalahan. Anak-anak yang bersifat ingin tahu dan ingin mencuba tidaklah dinafikan keinginan mereka itu melainkan dengan menuntun sifat mereka ke arah yang positif dan membina. Bertindak untuk melindungi mereka sepanjang masa dari pengaruh yang tidak sihat akan menjadi suatu misi yang mustahil apabila mereka makin membesar. Anak-anak perlu dilindungi dan dipersiapkan untuk menempuh kehidupan ini dengan kekuatan diri mereka sendiri. Antaranya ialah mengajar mereka untuk bijak membuat pilihan berdasarkan Quran dan Sunnah, akal dan iman, keperluan dan kemahuan, dunia dan akhirat. Oleh yang demikian, sebagai ibu bapa dan kepada bakal ibu bapa, perlengkapkanlah diri kita semua dengan pengetahuan didikan Islam agar kita dapat mendidik anak-anak kita mengenal Allah s.w.t.
Dari Abi Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, "Setiap anak dilahirkan dalam keadaaan fitrah, kecuali orang tuanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi" (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Wallahu A'lam.
http://mohdhalimkadri.blogspot.com/
ReplyDelete