Thursday, 5 May 2011

1.3 Mengapa Jadi Jurutera

Televisyen Yang Mempengaruhi
Saya dibesarkan di sebuah bandar yang diberi nama Puchong. Dahulunya Puchong boleh dianggap hanya sebagai pekan yang dikelilingi oleh ladang kelapa sawit dan getah. Perlu diakui bahawa kanak-kanak membesar dipengaruhi oleh persekitaran mereka. Secara teorinya, andainya persekitaran itu baik, insyaAllah baik hasilnya. Apabila memasuki alam persekolahan, satu soalan cepu emas akan ditanya kepada semua pelajar iaitu, "Apa cita-cita kamu bila dewasa kelak?".
Siaran televisyen ketika era saya membesar banyak menyiarkan rancangan berbentuk superhero. Bermula dengan Gaban, Suria Perkasa Hitam, Captain Planet, Ultraman, Superman, Batman, Maskman, Flashman dan ramai lagi yang cuba diketengahkan. Kemuncak superhero yang saya kenal sebelum memasuki alam remaja adalah Power Rangers. Di Malaysia pula, sarat dengan drama dan filem melayu bertemakan patriotisme. Antara pelakon yang sedang 'meletop' ketika itu ialah A.R Badul dan Mr.Os. 'Prebet Lapok' lakonan A.R Badul adalah antara filem yang saya minati ketika itu. Filem itu menonjolkan seorang pemuda nakal bernama Badul yang sering mengusik anak-anak dara di kampungnya. Oleh kerana tidak mempunyai pekerjaan, dia dipujuk supaya memohon menjadi anggota tentera dan diterima. Semasa menjalani latihan ketenteraan, banyak peristiwa lucu berlaku. Bertitik tolak dari beberapa filem patritisme yang saya tonton, maka jawapan saya ketika disoal mengenai cita-cita ialah "Saya ingin menjadi seorang askar kerana dapat mempertahankan tanah air saya daripada dijajah". Oleh kerana filem 'Sarjan Hassan' yang cukup popular ketika itu, maka saya menambah sedikit perincian dalam cita-cita saya iaitu ingin menjadi askar berpangkat sarjan.


Persekitaran Yang Mempengaruhi
Hari demi hari, persekitaran banyak mengajar saya erti kehidupan. Cita-cita saya yang dahulunya ingin menjadi askar terpaksa diubah kerana mendapat tentangan daripada ayah saya. Dek kerana akur, saya cuba mencari cita-cita yang lain. Kebetulan ketika itu, pakcik saya (adik bongsu ayah) telah mula bekerja sebagai Jurutera dan ramai dikalangan rakan-rakan di sekolah mempunyai ayah yang bekerja sebagai Engineer. Hati mula didorong untuk menceburi bidang tersebut, maka secara rasminya cita-cita saya ialah "Saya ingin menjadi seorang Jurutera". Saya minat dengan subjek 'Alam dan Manusia' ketika sekolah rendah kerana logik dan praktikalitinya, maka azam saya makin mengukuh untuk menjadi seorang jurutera yang berjaya.

Tawaran Membuat Ijazah Sarjana Muda
Satu ketika selepas menghabiskan pengajian di Kolej Matrikulasi Kuala Pilah, saya tinggal di rumah sementara menanti keputusan panggilan ke Universiti. Masih ingat lagi di benak fikiran saya tentang 8 pilihan kursus dan universiti yang dipilih di dalam borang permohonan ke IPTA. Kelapan-lapan pilihan saya adalah kursus Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan empat (4) pilihan pertama adalah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) manakala empat pilihan terakhir adalah di IPTA yang lain. UTM adalah universiti pilihan saya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan demi memenuhi cita-cita saya menjadi seorang Jurutera. Reputasi UTM sebagai universiti teknologi yang berjaya melahirkan ramai graduan dalam bidang kejuruteraan telah umum mengetahuinya. Namun, diri ini terkejut sebentar apabila menerima surat dari posmen. Alhamdulillah, surat tawaran yang saya terima adalah dari UTM tetapi...
Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Aeronautik)
Panik? Tidak.... Gembira? Ya.... Marah? Tidak.... Pelik? Ya....
Sungguh saya pada mulanya tidak mempunyai pengetahuan mengenai kursus yang ditawarkan oleh UTM. Tapi, berdasarkan maklumat yang diberikan oleh sanak saudara dan rakan taulan, saya mendapat sedikit gambaran mengenai kursus tersebut. "Alahai...terima jelah kursus ni asalkan dapat masuk UTM", getus hati saya.

Mengapa Jadi Jurutera
6 tahun di sekolah rendah, 5 tahun di sekolah menengah, 1 tahun di matrikulasi dan 4 tahun di universiti. Jumlah 16 tahun menuntut ilmu bukan suatu jumlah yang sedikit. Harus diakui, diri ini masih terlalu banyak kekurangannya berbanding 16 tahun yang berlalu begitu sahaja tanpa berusaha dengan gigih untuk menambah ilmu di dada. Pernah suatu ketika saya tertanya bolehkah seorang jurutera memperjuangkan Islam?
13 Jun 2009 adalah tarikh perginya seorang permata mujahid Islam bernama Syeikh Dr. Fathi Yakan pada usia 76 tahun mengadap Allah s.w.t. Fathi Yakan adalah contoh 'jurutera' yang patut dijadikan teladan. Saya diperkenalkan dengan karya agung beliau "Apa Ertinya Saya Menganut Islam" (Maza Yakni Intima Lil Islam) ketika saya berumur 16 tahun. Oleh itu, mengapa ingin jadi jurutera?
Saya ingin menjadi jurutera agar dapat membantu dan berbakti kepada masyarakat, insyaAllah. Perjuangan menegak dan mempertahankan Islam boleh dilakukan dalam pelbagai cara. Tidak perlu kita menunggu untuk masyarakat memanggil kita sebagai 'Ustaz' untuk menjalankan kerja-kerja dakwah. Namun, itulah hakikat dan sinonimnya dalam masyarakat melayu di negara Malaysia ini.
Al-Fatihah kepada Tokoh Gerakan Islam: Syeikh Dr. Fathi Yakan

Wallahu A'lam.

10 comments:

  1. semoga lebih ramai bakal jurutera yang beragama islam..mempunyai semangat Iltizam yang tinggu untuk memajukan diri serta berbakti kepada masyarakat dan yang paling penting sekali kpd agama....--harap sgt2 lebih ramai jurutera islam yang berdedikasi tinggi dan berintegriti dlm melaksanakan tugas...(rata2 ahli lembaga pengarah di BEM banyak yg non-muslim)

    ReplyDelete
  2. Setuju dengan masturah mj. Saya dapati ramai kawan2 yg tamat belajar ijazah kej tidak mendaftarkan diri dgn BEM or IEM.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum to blogger..thun nie saya akn menduduki PT3..setahun lagi saya akan ke tingkatan 4.Saya berasa was-was untuk mengambil alitan sains tulen kerana saya takut saya tidak boleh bawak bidang ini.Cita-cita saya untuk menjadi jurutera petroleum.Saya ingin pendapat saudara untuk masalah saya.*Hope you will reply it😊

    ReplyDelete
  4. Waalaikumsalam. Sekiranya ingin menjadi Jurutera Petroleum, saudari perlu sekurang-kurangnya minat dengan ketiga-tiga subjek ini - Fizik, kimia dan add math. Subjek biologi tidak diperlukan. Sentiasa berfikiran posifif dan sentiasa merancang untuk berjaya.
    Dari segi timeline -> SPM : Fizik, Kimia, Add Math
    -> IPT : Kejuruteraan Petroleum
    -> Jurutera Petroleum
    Walaubagaimanapun, bidang kejuruteraan amat luas. Saya mendoakan saudari mendapat apa yang terbaik untuk diri saudari, keluarga dan agama.

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum..kepada penulis blog,saya nk minx penjelasan sedikit..bagaimana penulis kaitkn kerjaya engineer dgn dakwah?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam. soalan yang menarik kerana menunjukkan saudara masih mencari.
      Fundamental principal - kita hidup ini dengan membawa title 'hamba'. tidak perlu dibuat sebarang permohonan dan didaftarkan. Segala apa yang kita lakukan adalah kerna qudrah dan iradahNya.
      Maka apa yang kita lakukan semasa hidup adalah untuk menuju hidup bertuhan kerna itu apa yang kita buat dikira ibadah jika diniatkan kerna Allah. Segala jenis kerja dan kerjaya yang dilakukan dengan niat yang betul adalah kerana Allah demi untuk mengenal tuhan insyaAllah menjadi lebih hampir kepada tuhan.

      Dakwah adalah satu kerja yang mulia kerana diwariskan oleh nabi s.a.w kepada umat akhir zaman. Uslub dan metodologi dalam berdakwah sangat luas selagi mana kita mengajak orang sekeliling kita mengenal tuhan dan mendekatkan diri dengan Allah s.w.t.

      Maka akan sebenarnya segala apa yang kita lakukan samada secara penulisan, akhlak, lisan dan lain-lain sangat-sangat dituntut mengikut Quran dan Sunnah. Yang akhirnya terkesan atau tidak, hidayah itu milik dan hak mutlak Allah s.w.t.

      Wallahu A'alam.

      Delete
  6. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum, adakah IR hanya terhad untuk segelintir engineer sahaja? Boleh ke chemical engineer dapat pangkat IR? Maaf kalau soalan Saya agak jangal πŸ˜…

    ReplyDelete

  8. Assalamualaikum, adakah IR hanya terhad untuk segelintir engineer sahaja? Boleh ke chemical engineer dapat pangkat IR? Maaf kalau soalan Saya agak jangal πŸ˜…

    ReplyDelete
  9. Asalam, saya baru habis ijazah civil engineer, ape yg saya perlu buat selepas ini

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...