Dalam artikel saya sebelum ini, saya ada menyentuh mengenai bagaimana pengalaman dan pengajaran menjadi asas pembelajaran saya dalam menilai sesuatu peristiwa. Saya teringin untuk berkongsi cara saya berfikir yang sedikit 'gila' ini dengan semua orang, namun terdapat segelintir rakan saya mengatakan bahawa cara saya berfikir ini agak bahaya. Mengapa bahaya?
Umum mengetahui usia remaja adalah satu peralihan pemikiran, sifat, emosi, perangai dan pendirian seseorang untuk mencapai suatu tahap kematangan. Subhanallah, sungguh menakjubkan. Saya dapati cara saya berfikir berbanding 15 tahun lalu sungguh berbeza, bertambah matang dan lebih terbuka. Secara konsepsualnya, saya lebih berfikiran positif dan terbuka, optimis dan kritis (kritikal dan analitikal). Maka di zaman mutakhir ini, pemikiran ini mungkin boleh dianggap 'gila' dan 'bahaya' kerana ia cuba menembusi norma budaya pemikiran masyarakat.
Berfikir Itu Satu Anugerah
"I got one crazy thing that I always do....... THINK" - George Carlin.
George Carlin di lewat usianya |
Setiap hari kita semua berfikir dan menggunakan otak kita bagi menyelesaikan urusan sehari-hari. Namun berapa ramai daripada kita yang mampu untuk think out of the system? Saya menggunakan istilah system bagi menggantikan perkataan think out of the box yang kita selalu guna pakai lebih-lebih lagi ketika waktu kursus motivasi. Norma budaya masyarakat di Malaysia ini dari pelbagai bangsa banyak menonjolkan kebanggan kepada budaya dan bangsa masing-masing. Sentimen patriotisme dan nasionalisme telah lama menular dalam masyarakat sekarang. Lalu apa natijahnya?
Sejarah Yang Berulang-Ulang
Peristiwa sejarah itu pasti berulang cuma dalam bentuk yang berbeza sahaja. Semasa zaman arab jahiliah lagi telah wujud sentimen berpuak-puak yang kini kita panggil sebagai patriotisme dan nasionalisme. Kedatangan rasul akhir zaman adalah untuk membawa rahmat ke seluruh alam dan menyatukan umat manusia di bawah panji Islam. Baginda s.a.w diutus untuk membawa rahmat tidak hanya bagi suku dan bangsa tertentu, tidak pula bagi orang-orang berwarna kulit tertentu dengan bahasa tertentu dan tinggal di daerah tertentu.
Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. [Surah-21 al-Anbiya'; Ayat 105]
And We have not sent you, [O Muhammad], except as mercy to the worlds. [21:105]
Natijahnya apabila kita berpuak-puak, kesatuan dalam agama Islam itu akan lemah kerana masing-masing sibuk memperjuangkan hak puak masing-masing atas dasar agama sedangkan hak sebenar yang perlu diperjuangkan adalah hak ALLAH. Sungguh tidak ada kaum/puak yang mulia disisi Allah s.w.t melainkan mereka itu beriman dan bertakwa kepadaNya.
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). [Surah-49 al-Hujrat; Ayat 13]
O mankind, indeed We have created you from male and female and made you peoples and tribes that you may know one another. Indeed, the most noble of you in the sight of Allah is the most righteous of you. Indeed, Allah is Knowing and Acquainted [49:13]
Sistem dan Doktrin Akhir Zaman
Kajian seorang profesor di Jerman mengenai undang-undang ciptaan manusia menunjukkan bahawa sistem undang-undang ciptaan manusia ini banyak lopongnya dan perlu sentiasa diubah dari semasa ke semasa demi memenuhi tuntutan tindakan/hukuman kepada pesalah agar setimpal dengan kesalahan mereka. Ujar beliau, akhirnya manusia perlu akur bahawa setiap kali mereka 'menaiktaraf' mengubah hukuman tersebut, hukuman tersebut makin menghampiri apa yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran al-karim.
(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”. [Surah-2 al-Baqarah; Ayat 138]
'[And say,"Ours is]the religion of Allah. And who is better than Allah in [ordaining] religion? And we are worshippers of Him" [2:138]
Syeikh Dr. Fathi Yakan telah menerangkan dalam buku beliau "Apa Ertinya Saya Menganut Islam" mengenai kegagalan sistem-sistem hidup ciptaan manusia baik di timur mahupun di barat samada berfahaman kapitalisme, demokrasi, liberalisme, sosialisme atau komunisme. Hakikatnya kegagalan sistem ini memberi keadilan yang sewajarnya kerana keterbatasannya, kelemahannya, sifat kesementaraannya dan hakikat ianya ciptaan insan yang kadang-kadang mempunyai kepentingan yang tersendiri. Begitu juga dengan sistem sosial, sistem ekonomi, sistem politik, sistem pendidikan dan juga sistem ketenteraan. Kriktikan itu perlu bagi setiap tindakan yang dibuat, namun biarlah kritikan yang diberi bersifat membina dan bukannya membinasa! Namun, harus diingat! kelantangan dan kematangan pemikiran yang cuba dikembangkan perlulah selari dengan Al-Quran dan As-Sunnah agar tiada rosak Aqidah dan Tauhid kepada Allah s.w.t.
Wallahu A'lam.
No comments:
Post a Comment