Seisi Keluarga Sedang Menonton Kotak Hitam (TV) di Suatu Sudut Rumah |
Hari ini hampir genap dua (2) tahun saya jarang menonton siaran televisyen (TV). Sedari kecil saya dibesarkan dan diperkenalkan dengan TV, banyak rancangan TV yang telah saya tonton dan gemari. Ada sesetengah daripada filem-filem dan rancangan TV yang menjadi koleksi simpanan saya. Kotak TV itu sendiri juga telah mengalami perubahan yang drastik dalam tempoh setengah abad ini.
TV Pada Tahun 1958 |
TV Pada Tahun 2011 |
Hipnosis Dari Televisyen
David Deschene melalui penulisannya dalam Fort Fairfield Journal mengulas mengenai kesan hipnotik TV ke atas penontonnya.
"Watching television, like playing video games, causes the viewer’s brain waves to slip into a hypnotic, post-REM type - or “delta” - sleep. Brainwaves of television viewers are similar to those in deep sleep, though their eyes are still open. While in this state, any number of post-hypnotic suggestions can be implanted in the mind of the viewer, from buying that fancy new car, to going deeper into debt by refinancing their home in order to take a vacation"
Saya masih teringat semasa di sekolah rendah, guru saya, Cikgu Lee bertanya tentang iklan shampoo yang ada disiarkan di TV. Beliau meminta semua pelajar cuba menamakan satu jenama yang pelajar ingat. Tanpa perlu berfikir panjang, kami masing-masing memberikan jawapan. Cikgu Lee lantas tersenyum dan berkata, "Betul jawapan anda semua! Inilah kuasa dan pengaruh yang ada pada televisyen, dalam keadaaan tidak sedar kamu semua telah mendapat maklumat".
Oleh sebab kuasa dan pengaruh dari televisyen ini, maka tidak hairanlah kita melihat kesemua maklumat-maklumat disalurkan secara besar-besaran kepada semua pemilik dan penonton TV. TV telah dijadikan dream tool dan boleh dikatakan alat hipnosis paling berkesan yang mana orang ramai akan setia menontonnya dan didoktrinkan dengan propaganda dan pelbagai 'maklumat'.
Kesan Ke Atas Diri Sendiri
Walaupun saya telah mengehadkan waktu bagi menonton TV, namun saya masih terkena 'bahang ketagihan' kesan akibat menonton TV selama lebih kurang 20 tahun. Seboleh-bolehnya saya akan cuba mengelak untuk menonton rancangan-rancangan yang disiarkan di TV kerana apabila mula menontonnya sahaja, saya akan hampir terus 'dipaku' di hadapan TV tersebut. Kesan akibat menonton TV ini bagi saya adalah seperti 'dadah'. Hanya kekuatan jati diri yang sebenar-benarnya dapat menghilangkan kesan 'dadah' tersebut. Masakan tidak, jumlah jam yang diluangkan selama ini untuk menonton TV sudah cukup untuk melali dan melekakan diri ini agar terpaut dengan TV sehingga pada suatu tahap, ada sesetengah individu yang tidak dapat 'hidup' jika tidak menonton TV dalam sehari.Masa Yang Dihabiskan Untuk Menonton Televisyen - SZS |
1hingga 12 tahun - TV berjenama Singer digunakan untuk menonton siaran TV1, TV2 dan TV3 sahaja.
13 hingga 17 tahun - Jumlah menonton TV berkurangan secara mendadak kerana tinggal di sekolah berasrama.
18 hingga 19 tahun - Jumlah menonton TV kembali meningkat sementara menunggu keputusan SPM diumumkan. Tika ini, stesen dan rancangan TV makin bertambah dengan meriahnya untuk memberikan opsyen kepada penonton untuk memilih rancangan masing-masing.
20 hingga 25 tahun - Jumlah menonton TV adalah malar sehingga tamat pengajian di universiti dan memasuki alam pekerjaan. Langganan kepada ASTRO menjadi-jadi ketika ini.
26 tahun hingga kini - Penurunan yang mendadak atas faktor kesedaran ingin berubah.
Mencegah Adalah Lebih Baik Dari Merawat
Di akhir zaman ini, sangatlah sukar untuk kita mengatakan TIDAK pada sesuatu yang sudah dianggap lazim dalam masyarakat. Rakan-rakan di pejabat begitu asyik menceritakan mengenai tawaran-tawaran bagi jualan TV yang dibuat di Carrefour, TESCO dan Giant. Hampir kesemua rumah di negara Malaysia ini telah mempunyai sebuah kotak televisyen. Ada sebilangan rumah pula mempunyai lebih dari satu (1) TV dan mengakibatkan ahli keluarga meluangkan masa sendirian menonton siaran TV masing-masing. TV telah dianggap sebagai 'babysitter' sementara, hiburan, 'sahabat' dan pemberi maklumat. Jadinya, adakah televisyen ini suatu MESIN ataupun PERABOT yang ditempatkan di ruang tamu rumah kita?
Di akhir zaman ini, kuantiti masa yang diluangkan untuk bersama keluarga banyak dihabiskan dengan menonton rancangan televisyen beramai-ramai. Akan tetapi, kualiti masa bersama keluarga adalah lebih penting di mana kita isikan dengan komunikasi; pertukaran pendapat, pencambahan idea, pembelajaran dan pengajaran. Families need to turn "off" the television and get "on" with life. Oleh itu, saya mencari suatu kaedah bagaimana untuk melakukan langkah pencegahan ke atas kesan 'dadah' yang diberikan oleh TV ini.
Keputusan Di Tangan Kita
Baru-baru ini saya telah membeli satu (1) set televisyen 32" jenis LED dan berjenama Samsung kerana terikut dengan trend masyarakat kini. Namun perlu diingat, kita diberi anugerah oleh Allah s.w.t untuk berfikir menggunakan akal yang waras dan berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Apa yang saya lakukan seterusnya?
Kita mempunyai pilihan sebenarnya untuk menentukan siaran dan rancangan apa yang perlu ditonton oleh keluarga kita. InsyaAllah, saya telah sepakat untuk tidak menyambung TV yang dibeli dengan mana-mana siaran TV samada yang percuma ataupun berbayar. Kemajuan teknologi TV LED itu saya gunakan dengan menyambungnya kepada komputer saya agar saya dapat menentukan sendiri maklumat apa yang saya kehendaki. Peristiwa-peristiwa yang berlaku disekeliling seharusnya kita selidiki kerana antara tanda akhir zaman adalah fitnah yang berleluasa. Kebanyakan orang di sekitar kita akan meneruskan kehidupan ini dengan fikiran mereka yang dipenuhi doktrin dan maklumat pos-hipnotik yang disogokkan melalui TV. Melalui pilihan yang saya pilih ini, mungkin sesetengah orang akan menggelar idea dan pemikiran saya yang berbeza sebagai 'radikal' dan 'ekstremis' kerana saya tidak didoktrinkan dan tidak akan lagi didoktrinkan sebagaimana mereka.
Wallahu A'lam.
love this!:)
ReplyDelete