Thursday, 15 August 2013

2.5 Mengapa Jadi Jurutera 2.0

Matlamat Dalam Kerjaya
Setelah 6 tahun menjadi seorang Jurutera, saya akhirnya telah berjaya mencapai matlamat fasa pertama dalam kerjaya iaitu menjadi seorang Jurutera Profesional berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia. Saya masih teringat lagi, dua tahun lepas, rasa gerun dan kecut apabila mendengar saranan senior untuk pergi mengambil temuduga dan ujian Jurutera Profesional. Namun apabila melihat rakan sekerja lain yang berjaya mengharungi cabaran tersebut, anak Melayu ini mula berperibahasa.
"Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan"

Apa itu Jurutera Profesional
Jurutera Profesional dalam erti kata yang lain bermakna seorang Jurutera yang telah mendapat kelayakan untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan. Untuk majikan, ia isyarat keupayaan diri Jurutera itu untuk mengambil tanggungjawab ke tahap yang lebih tinggi. Antara rakan-rakan pula, ia memberikan rasa hormat dan kepada diri sendiri, ia adalah satu simbol kebanggaan dan ukuran pencapaian.
 
Sebagai seorang Jurutera Profesional, seseorang itu mesti sentiasa menunjuk dan mengekalkan kecekapan mereka, meningkatkan kemahiran dengan memenuhi keperluan pendidikan yang berterusan. Hanya seorang jurutera berlesen yang boleh menyediakan, menandatangani dan mengemukakan pelan kejuruteraan dan lukisan kepada pihak berkuasa untuk kelulusan atau memeterai kerja-kerja kejuruteraan untuk pelanggan. Oleh yang demikian, tanggungjawab seorang Jurutera Profesional bukan sahaja hanya untuk kerja-kerja yang mereka lakukan tetapi juga untuk kehidupan yang akan dipengaruhi oleh hasil kerja mereka itu.

Persekitaran Yang Mempengaruhi
Dalam artikel saya yang lepas, 1.3 Mengapa Jadi Jurutera ada menceritakan mengenai persekitaran yang mempengaruhi. Sewaktu sekolah rendah, pakcik saya dan ayah rakan-rakan sekolah menjadi penyebab saya menanam azam untuk menjadi Jurutera. Pakcik saya adalah adik bongsu kepada Ayah. Selepas menamatkan pengajian dalam Ijazah Kejuruteraan di Amerika, pakcik saya telah bekerja sebagai seorang Jurutera di sebuah kilang di Klang. Kesungguhan dan kegigihan beliau bekerja telah menarik minat saya untuk menjadi seorang Jurutera yang berjaya.

Rakan-rakan di sekolah rendah Petaling Jaya juga begitu. Masing-masing mempunyai ayah yang bergelar Engineer. Kehidupan mereka yang mewah dan bergaya menyebabkan saya berazam untuk bergaya dan berjaya sebagai seorang Engineer.

Gambaran Arkitek Projek Institut Kanser Negara
Sumbangan Bakti dan Amal Kepada Masyarakat
Bekerja seharian di tapak projek menemukan saya dengan pelbagai jenis ragam manusia. Alhamdulillah, saya dipertemukan dengan suasana kerja yang sihat dan rakan taulan yang sentiasa bersemangat bekerja 120% sehingga menyebabkan saya mengalami masalah tekanan emosi dan kesihatan badan akibat terlalu ingin memastikan kerja-kerja pembangunan di tapak berjalan dengan lancar dan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Keadaan ini memaksa saya ikhtiar berjumpa dengan doktor dan mengambil ubat mengurangkan stress pada badan. InsyaAllah dalam artikel selanjutnya saya akan menceritakan serba sedikit tentang projek Institut Kanser Negara di Putrajaya.

Semenjak dari itu, saya cuba mengurangkan aktiviti kerja di tapak projek agar dapat mengurangkan tekanan dan ketegangan pada mental dan fizikal. Apa yang menarik minat saya, seorang Resident Engineer (elektrik) yang saya panggil sebagai Haji Sahiq berumur hampir 60 tahun gigih mengawasi kerja di tapak projek dengan tekanan demi tekanan sehingga kesihatan beliau juga sedikit terjejas. Dua soalan yang saya tanya pada beliau iaitu "Mengapa masih bekerja di tapak projek dengan umur yang sebegitu?" dan "Mengapa masih bekerja di tapak projek walaupun telah mempunyai pendapatan lain dari tanaman kebun dan saham?" Jawapan yang diterima sungguh menguja saya; "Selagi ada kudrat dalam diri, saya akan terus bekerja kerana ingin berkongsi pengalaman dan menggunakan pengalaman dan kepakaran yang saya ada ini bagi memastikan projek bangunan disiapkan dengan baik dan berkualiti. Ini adalah salah satu amal jariah saya kelak selagi bangunan hospital ini digunakan untuk merawat pesakit, selagi itu kita akan mendapat saham darinya berdasarkan niat dan keikhlasan kita".

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (H.R Muslim)

Wallahu A'lam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...