Lawatan Tapak Projek Bank Negara |
Masa Yang Berlalu
Setelah lebih 4 tahun bekerja di CKM, saya dapati ilmu yang saya pelajari bagai tiada penghujungnya. Makin saya mendalami sesuatu sistem mekanikal, makin banyak yang saya tidak faham dan makin banyak yang saya ingin tahu. Walaubagaimanapun, ilmu cetek yang saya milliki ini ingin saya kongsi dengan rakan-rakan di pejabat baik yang telah lama bekerja atau yang baru mula bekerja.
Batasan Pada Diri Sendiri
Limit - Batasan, Persempadanan. Saya meletakkan kepercayaan dalam diri bahawa tiada sesuatu pun yang mustahil untuk dilakukan dan ianya mesti bersandar kepada ketentuan Allah s.w.t. Setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Ianya bergantung kepada kepercayaan dan keyakinan diri sendiri untuk melakukan suatu perkara yang besar. Uniknya sifat manusia ini ialah kita dapat mengadaptasikan diri kita dalam pelbagai situasi dan keadaan. Akan tetapi, bukan semua manusia sanggup untuk mencabar diri sendiri untuk melakukan sesuatu yang baru. Sesetengah orang akan akur bahawa diri mereka 'tidak bijak'/malas/takut dan akan terus berdiam diri menerima nasib mereka begitu sahaja.
Aizdean |
Dasar 'paksa' atau 'cabar diri sendiri' adalah suatu kaedah yang saya lihat berkesan untuk membuka ruang batasan seseorang menjadi lebih luas. Contohnya seperti rakan saya dari Kelantan yang tidak pandai untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris. Setelah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara (USA), beliau ter'paksa' berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dan berjaya mencabar dirinya untuk fasih berbahasa Inggeris. Saya menjadi kagum dengan beliau yang berjaya berubah dalam jangka masa 3 tahun. Begitu juga dengan sahabat saya yang seorang lagi, Muhammad Aizuddin Anuar yang telah fasih untuk berbahasa Jepun setelah melanjutkan pelajaran di Jepun lebih dari 4 tahun. Saya sendiri terkejut apabila beliau telah mula dikenali sebagai artis di Jepun dengan panggilan Aizdean.
Cabar Diri Sendiri
Saya pasti ramai yang pernah mengalami keadaan ter'paksa' melakukan sesuatu. Apabila kita pandang dari sudut yang positif, pasti kita tidak akan menyangka bahawa kita mampu untuk melakukannya dan keadaan ter'paksa' melakukannya telah menyebabkan kita mempunyai pengalaman. Saya pun begitu jua......Saya kerap mencabar diri sendiri untuk menjadi seorang yang lebih baik, dapat berbakti kepada masyarakat dan agama. Antara kelemahan saya adalah 'darah gemuruh'. Banyak artikel telah dikeluarkan mengenai cara untuk mengatasi darah gemuruh, antaranya ialah seperti di sini.
Pernah suatu ketika, apabila saya menduduki tingkatan 3 di SMKAKS, waktu Isya' telah masuk di surau sekolah kami. Secara spontan kaki saya melangkah ke ruang solat Imam apabila bilal mengalunkan Iqamah. Azam di hati sangat kuat untuk men'cabar diri' menjadi Imam malam itu. Walaupun hati tak keruan, peluh mula menitis namun saya kuatkan tekad untuk menjadi Imam solat Isya'. Manakan tidak, ini kali pertama saya menjadi Imam, makmum saya terdiri daripada tingkatan 1 hingga 5, jumlahnya melebihi 300 orang, ada muslimin, ada muslimat dan yang paling getarnya adalah hadirnya Ustaz Ziyad pada malam tersebut.
Dengan niat kerana Allah, saya mulakan solat dan membaca Al-Fatihah diselangi dengan surah sunat. Semakin dibaca surah-surah tersebut, kaki saya menggeletar bagai gempa bumi melanda surau kami pada 1.0 skala richter (S.R). Sepanjang solat boleh kedengaran dengan jelas suara saya menggeletar namun saya kuatkan tekad untuk menghabiskan solat hingga salam yang terakhir! Hasilnya...Alhamdulillah... Walaupun malu dan sebagainya, namun proses pembelajaran itu yang penting! Selepas solat, saya ditegur oleh Ustaz Ziyad. Beliau menegur bacaan surah sunat saya yang tidak betul tajwidnya dan beliau berpuas hati dengan bacaan Al-Fatihah saya. Dalam beberapa siri saya menjadi Imam di hari-hari lain, datang pula abang-abang senior menegur tentang pilihan surah sunat saya agar mengikut tertib surah dalam Quran di dalam solat. Kini sebagai ketua keluarga, menjadi tanggungjawab saya untuk menjadi Imam bagi keluarga saya...
31 Mei dan 1 Jun 2011 adalah hari yang bersejarah bagi saya. Sekali lagi saya men'cabar diri' saya, kali ini untuk menjadi tenaga pengajar kepada Jurutera Mekanikal dan Juruteknik mengenai Sistem Pencegah Kebakaran jenis Hose Reel. Beberapa bulan sebelum kursus ini, saya pernah berseloroh kepada senior saya untuk mengajak saya menjadi tenaga pengajar dalam slot beliau. Cadangnya sebagai gurauan sahaja namun jika ada peluang...apa salahnya. Seminggu sebelum kursus, Ir. seniorita telah offer saya untuk ambil beberapa slot mengajar daripada beliau. Dalam keadaan teragak-agak saya bersetuju walaupun agak tidak bersedia. Namun saya kuatkan tekad dan semangat untuk mencuba sesuatu yang baru. Setiap sesuatu yang berlaku perlu kepada PERMULAAN - begitulah sifat makhluk hendaknya, perlu kepada permulaan dan pengakhiran.
Kursus berlangsung di Menara PJD, Jalan Tun Razak |
Syukur Alhamdulillah... darah gemuruh yang menghantui saya telah makin susut. Saya berjaya (agaknya la) menamatkan dua slot yang diberikan kepada saya dengan sepenuh komitmen yang jitu lagi padu. Banyak yang saya pelajari dalam proses mengajar tersebut. Belajar sambil mengajar. Semoga apa yang saya ajarkan kepada senior dan rakan-rakan dapat membantu mereka dalam tugas harian. Paling tidak pun, ianya sebagai pendedahan awal kepada rakan-rakan kerana ilmu ini sangat luas sehingga saya rasa setelah tiga puluh (30) tahun bekerja pun, kita akan rasa cetek ilmu. Luas sungguh ilmu Mu Ya Allah. Apa yang baik datangnya dari Allah s.w.t dan Apa yang buruk juga datangnya dari Allah s.w.t namun atas kelemahan dan kedaifan diri saya sendiri.
Wallahu A'lam.
No comments:
Post a Comment