Guru Yang Berdakwah Melalui Akhlak
Memasuki sekolah asrama di Kuala Selangor pada tahun 1996 banyak membawa perubahan kepada diri saya. Walaupun perubahan yang saya alami tidak 'drastik', namun kesedaran dalam diri yang senantiasa mengiringi dan membentuk saya sehingga ke hari ini (kesemuanya adalah dengan izin Allah s.w.t) sangat saya syukuri, alhamdulillah. Pada awalnya diri saya ini hanya berazam untuk menjadi seorang yang baik, meninggalkan segala 'kenakalan' semasa di sekolah rendah dahulu. Makanya, 6 bulan pertama saya di sekolah berjaya membentuk diri saya untuk tidak menjadi nakal seperti dahulu. Namun, takdir Allah s.w.t, budi pekerti dan akhlak yang ditunjukkan oleh hamba Allah ini sedikit sebanyak membawa impak kepada diri saya.
Beliau yang saya maksudkan adalah Ustaz Kasyfi. Namun beliau cukup unik dengan membawa perkataan kasyaf yang boleh ditakrifkan sebagai menyingkap maklumat di sebalik hijab yang berupa perkara ghaib dan perkara perkara yang benar ada. Kasyaf ialah satu istilah yang dipakai kepada pembuka hijab melalui ilham, ia ialah sumber maklumat yang menyamai wahyu kepada nabi-nabi, antara wahyu dan ilham dibezakan oleh penerima sama ada nabi ataupun bukan.
Sepanjang hampir 30 tahun saya hidup di bumi Allah ini, belum lagi saya berjumpa dengan manusia yang se'unik' beliau. Kecintaan beliau pada Rasulullah s.a.w boleh dilihat dalam kehidupannya dari awal pagi sehingga ke malam hari (beliau juga merupakan warden asrama kami). Tazkirah yang beliau berikan selalu saya ikuti dan dalami. Antara kata-kata beliau yang sering terngiang di telinga saya adalah:-
"Adik-adik yang mulia, macam mana kita hendak tahu seseorang itu sahabat yang baik? Sahabat yang baik adalah apabila kita melihat padanya, kita teringat pada Allah s.w.t"
"Adik-adik yang mulia, bagaimana kita hendak rasakan kebesaran Allah s.w.t? Kalau kita hendak rasa kebesaran Allah s.w.t, selalulah puji dan sebut kebesaran Allah"
Sering mengikuti Jemaah Tabligh ketika cuti sekolah, beliau selalu senyum dan memakai wangi-wangian. Apa yang Rasulullah s.a.w dan para sahabat amalkan dalam muamalah, itulah yang beliau cuba amalkan. Memuliakan serta menyayangi yang muda dan memuliakan serta menghormati yang tua. Pernah sekali saya tersentak dan insaf dengan tingkah laku saya yang lewat ke Musolla untuk solat Mahgrib. Ketika itu laungan azan Maghrib telah selesai dan saya termasuk dalam beberapa pelajar yang terlambat turun kerana leka melepak di bilik asrama. Ustaz Kasyfi melaung dari bawah memanggil kami untuk segera turun (giliran beliau bertugas sebagai warden minggu itu).
"Adik-adik mulia, siapa-siapa lagi yang ada di atas tu cepat turun! Ya Allah, berilah petunjuk dan hidayah kepada adik-adik ku ini yang lambat turun untuk solat Maghrib" laung beliau keras memanggil kami sambil menitiskan air mata sedih melihat perangai kami. Tersentak dengan kasih sayang beliau yang selalu menganggap kami sebagai adik beliau, saya sentiasa turun awal ke Musolla selepas peristiwa tersebut. Dakwah beliau kepada kami berbentuk tazkirah dan akhlak. Beliau sering memberi salam kepada para pelajar apabila berselisih jalan. Beliau tidak malu mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. Suatu ketika, beliau pernah membawa sahabat saya ke Kuala Lumpur untuk menuju ke Masjid India. Di tengah-tengah bandaraya itu, beliau membaca surah Quran sambil berjalan (boleh didengari oleh orang sekeliling). Ke'pelik'kan beliau mengamalkan sunnah Nabi s.a.w di tengah bandar metropolitan mengundang kilasan mata orang sekelliling namun tidak diendahkan. Beliau berpesan kepada sahabat saya "Jangan malu mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w". Tidak pernah saya melihat beliau tanpa memakai celak.
Menjadi tradisi di asrama, 'musuh' para pelajar lelaki yang nakal adalah guru disiplin dan warden asrama. Para warden sering menjadi bahan 'tiru gaya' kami sebagai bahan menghibur. Antara trademark beliau yang sering menjadi siulan kami dalam kata-kata ialah "Adik-adik yang mulia". Tazkirah setiap malam yang diberikan selepas solat Maghrib oleh beliau sedikit sebanyak melembutkan hati saya dan mengajak diri ini turut mencintai Rasulullah s.a.w.
Renungan Diri
Kewajiban mencintai Rasulullah S.A.W haruslah melebihi cinta kepada :
Pertama: Diri sendiri
Ini diriwayatkan oleh Imam Al- Bukhari dari Abdulah bin Hisyam r.a bahwa ia berkata:
Kami pernah bersama Nabi s.a.w, ketika itu baginda beriringan dengan Umar bin al Khattab r.a, lalu Umar berkata kepada baginda: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau lebih aku cintai dari segala sesuatu kecuali diriku sendiri." Maka Nabi s.a.w bersabda: "Tidak, demi Dzat yang jiwaku ada di tangan-Nya! Hingga aku lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri." Maka Umar r.a pun berkata kepadanya: "Sesungguhnya sekarang engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri." Maka Nabi s.a.w bersabda: "Sekarang wahai Umar."
Kedua: Orang tua dan anak
Imam Al-Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah s.a.w bersabda:
” Demi Dzat yang jiwaku ada ditanganNya, tidaklah diantara kalian beriman sehingga aku lebih dicintai daripada orang tua dan anaknya.”
Ketiga: Keluarga, harta dan seluruh manusia.
Imam Muslim meriwayatkan dari Anas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Tidak beriman seorang hamba sehingga aku lebih ia cintai daripada keluarganya, hartanya, dan seluruh manusia.”
Menggapai Kemanisan Iman
Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim telah meriwayatkan dari Anas r.a, bahwa Nabi s.a.w telah bersabda:
"Tiga perkara, barang siapa yang tiga hal tersebut berada dalam dirinya maka ia akan mendapatkan manisnya iman; hendaknya Allah dan RasulNya lebih ia cintai daripada selainnya, hendaklah ia mencintai seseorang dan tidak mencintainya kecuali hanya kerana Allah, dan hendaklah ia benci kembali kepada kekafiran seperti kebenciannya bila dilemparkan ke dalam api."
Tanda cinta pada Rasulullah s.a.w:-
Pertama: Rindu Rasulullah Shalallaahu ‘alaihi wa Sallam di atas segalanya
Kedua : Mengorbankan harta dan jiwa demi Rasulullah Shalallaahu ‘alaihi wa Sallam.
Ketiga : Tunduk terhadap perintah dan menjahui larangan Rasulullah Shalallaahu ‘alaihi wa Sallam.
Keempat : Membela sunnah dan memperjuangkan syariat yang dibawa Rasulullah Shalallaahu ‘alaihi wa Sallam.
Tuntas, dimanakah kedudukan kita sebagai manusia yang mengaku umat Muhammad s.a.w? Kebiasaannya apabila kita mencintai seseorang, kita akan mahu mengetahui segala-galanya tentang si 'dia'. Adakah kita tahu bila Rasulullah s.a.w lahir? di mana? siapa ibu bapanya? datuknya? berapakah jumlah anak baginda s.a.w? Justeru, marilah kita sama-sama mengungkap semula sirah Rasulullah s.a.w. Kenali baginda dan berpegang teguh pada 'harta pusaka' warisan Nabi s.a.w; Al-Quran dan As-Sunnah.
Wallahu A'lam.
No comments:
Post a Comment