Marhaban Ya Ramadhan |
Nostalgia Puasa Ketika Kecil
Apa yang menariknya?
Bermula pada tahun 1990, hampir setiap hari ayah dan emak membawa saya dan kakak berbuka puasa di hotel-hotel sekitar Kuala Lumpur dan Petaling. Pendek cerita, semua hotel di K.L dan Petaling telah kami pergi (dulunya hotel di K.L tidak banyak seperti sekarang-2011). Antara yang masih kuat di ingatan saya adalah Hotel Hilton di Petaling Jaya. Setiap kali balik dari sekolah (sekolah petang), kami terus mandi dan tukar pakaian di 'pejabat ayah' (EPF) di P.J. Kemudian kami akan bergerak mencari hotel yang hendak dituju bagi memenuhi jemputan berbuka bersama-sama. Perjalanan ke hotel perlul disegerakan kerana waktu itu adalah waktu jalan sesak. Khuatir lewat pula jadinya untuk berbuka jikalau lewat. Itu yang berlaku pada minggu kerja.
Hotel Hilton, Petaling Jaya |
Hujung minggu pula adalah masa untuk berbuka di rumah sanak saudara. Bergilir-gilirlah masing-masing menetapkan hari dan jadual berbuka setiap hujung minggu. Ampang-Shah Alam-Bukit Kuchai. Giliran rumah yang kami kerap lakukan satu tika dahulu.
"Tidak ada lagikah jemputan untuk berbuka di luar?", saya bertanya ayah dek kerana ada rasa teringin.
"Ada, tapi kita tak pergi lagilah lepas ni sebab nak solat terawih", ringkas dan pendek jawapan ayah.
Semua itu jarang berlaku semenjak tahun 1996 apabila saya mula memasuki sekolah asrama. Alhamdulillah, kesedaran memahami Islam dan menghayati Ramadhan mula meresap dalam hati kami sekeluarga. Solat terawih antara ibadah yang akan dikejar untuk dilakukan menjelang bulan Ramadhan.
Nostalgia di Surau Ar-Rahman
Tahun 1995, ketika saya masih bersekolah di S.R.K La Salle, P.J, saya dan ayah bersama jiran kami kerap ziarah masjid di bulan Ramadhan. Dari Puchong-Subang-Sungai Buloh, tak kurang lima jenis masjid yang kami ziarah secara bergilir untuk solat terawih di bulan Ramadhan. Begitu juga bagi tahun-tahun selepas itu sehinggalah ayah dilantik menjadi pengerusi Surau Ar-Rahman menggantikan Cikgu Saad. Bermula saat itu, komitmen ayah berikan sepenuhnya pada bulan Ramadhan menganjurkan solat terawih di Surau Ar-Rahman, Bandar Puchong Jaya. Saya dan adik-adik turut serta bagi membantu dan menyokong gerak kerja ayah di surau tersebut.
Kini, tahun 2011, ayah masih gagah menjalankan amanah menganjurkan terawih di Surau Ar-Rahman. Saban tahun, banyak pelajar tahfiz dan Ustaz yang dijemput untuk mengimamkan solat terawih di Surau tersebut. Saya pula telah berkeluarga dan tidak lagi menetap di Puchong. Adik-adik lain pula yang memikul tanggungjawab membantu ayah sepanjang bulan Ramadhan ini.
Nostalgia Ketika Mula Bekerja
2006 adalah tahun saya mula bekerja sebagai Sales Engineer. Bagaikan telah 'ditempah', saya dan adik-adik hadir solat terawih di Surau Ar-Rahman. Cuma satu kali sahaja saya berbuka puasa di luar, iaitu Iftar Ramadhan bersama rakan-rakan lama KiSAS di sebuah restoran berdekatan tempat kerja saya di Shah Alam. Tahun 2007 pula saya telah bertukar tempat kerja di CKM, Mid Valley. Pelbagai jemputan berbuka yang saya terima dan hadir. Seronok tak terkata kerana dapat mengenang kembali zaman lampau ketika berbuka puasa di hotel bersama ayah dan emak. Tahun 2008, saya membawa pula adik-adik lelaki saya untuk turut serta berbuka puasa di hotel memandangkan mereka tak pernah merasa berbuka di hotel seperti saya dan kakak. Selalunya saya akan menerima jemputan ke hotel yang berdekatan sahaja untuk memudahkan urusan perjalanan. Yang paling menyenangkan ialah berbuka puasa berdekatan Mid Valley iaitu Hotel Garden, Hotel Cititel dan Hotel Boulevard. Namun, apabila makin kerap menghadiri majlis berbuka tersebut, diri ini terasa rugi tidak solat terawih berjemaah di masjid.
Boulevard Hotel, Mid Valley, Kuala Lumpur |
Cititel Hotel, Mid Valley, Kuala Lumpur |
The Garden Hotel, Mid Valley, Kuala Lumpur |
Berpuasa di Ramadhan Al-Mubarak
Genap seminggu saya dan keluarga berpuasa di bulan Ramadhan 1432H yang mulia ini. Saya berazam tidak mahu menghadiri mana-mana jemputan berbuka puasa di hotel-hotel pada tahun ini. Banyak lagi target yang telah saya letakkan untuk dilakukan dalam bulan Ramadhan tahun ini.
Puasa tahun ini ada kelainannya yang tersendiri. Ramadhan kali ini adalah yang pertama saya dan keluarga harungi bersama rumah baru kami. Dalam tempoh seminggu ini, dalam tak sedar saya telah solat terawih di tiga buah masjid. Enstek-Puchong-Kelana Jaya.
Tetapi, apa yang pasti, diri ini mengharapkan perubahan agar menjadi lebih baik. Tak semestinya perubahan secara eksponential tapi biarlah ianya dapat berubah secara linear.
Wallahu A'lam.
No comments:
Post a Comment