Wednesday, 7 September 2011

1.20 Kejayaan dalam Kehidupan

Panduan Hidup Bersyariat - SOLUSI
Selepas satu minggu bercuti bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri, akhirnya saya kembali semula bekerja pada 7 Syawal 1432H. Keadaan jalan raya pada waktu petang kembali sesak sewaktu saya dalam perjalanan pulang  untuk mengambil anak dan isteri. Saya pasang radio untuk menyegarkan otak dengan informasi yang berguna, insyaAllah. Alhamdulillah, rancangan stesen radio ikim pada petang itu memberi satu renjatan maklumat yang sangat berguna bagi saya. Ustaz Pahrol Mohamad Juoi mengupas mengenai erti Kejayaan beserta dengan analoginya yang sangat menarik sehingga tertariklah saya untuk terus mendengarnya. Tidak dapat saya nafikan bakat beliau dan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dapat bidang penulisan Islam dan motivasi menjadi antara penyebab saya dan isteri untuk terus membaca majalah SOLUSI.

Kejayaan Bukanlah Suatu Perhentian
Kejayaan itu adalah satu proses dalam hidup kita dan sebagai suatu pengalaman untuk kita bawa meniti masa mendatang. Kita perlu terus bergerak ke hadapan untuk berhadapan mehnah dan tribulasi yang tiada penamatnya sehinggalah kita menghembuskan nafas yang terakhir. Di saat itulah 'dunia' akan berhenti mengejar kita dan di saat itulah baru kita tahu bahawa diri kita ini 'baik' atau sebaliknya. Kejayaan yang hakiki adalah apabila kita diterima oleh Allah s.w.t untuk masuk ke dalam jannah di akhirat kelak, insyaAllah. Melalui tazkirah yang saya dengar pada petang itu, kesimpulan yang saya perolehi ialah Ustaz Pahrol Juoi menggariskan kejayaan mestilah mempunyai tiga (3) elemen berikut:-
1. Mempunyai visi dan misi
Visi 
- tanggapan yangg jauh dan mendalam, terutamanya yg berkaitan dgn perkembangan masa depan.
- perkara yang cuba untuk dicapai.
Misi 
- tugas khusus yg dipertanggungjawabkan untuk dilakukan untuk menjayakan visi tersebut.
- metodologi, kaedah dan perancangan yang khusus.
2. Membangun diri ke tahap maksimum
- perkara yang dibuat adalah satu benda yang mencabar diri, memberi input dan pengalaman yang baru.
- mengharungi dugaan dan rintangan.
3. Membawa kebaikan kepada orang sekeliling
- hasil yang didapati memberi manfaat kepada diri sendiri dan masyarakat.
- tidak menindas orang lain demi untuk mencapai matlamat.

Kisah Si Profesor dan Si Nelayan
Apa yang menarik seterusnya ialah analogi yang diberi oleh beliau mengenai tahap kebijaksanaan manusia. Ujar beliau, dalam dunia ini tiada seorang manusia pun yang dilahirkan 'bodoh'. Perbezaan antara kita semua adalah tingkat kebijaksanaan dan kepakaran yang berbeza. Hmm...bukan sama ke maksudnya? Mari kita sama-sama mengambil pengajaran dari kisah berikut:-

Adapun suatu ketika dahulu, seorang profesor menaiki sampan untuk menuju ke sebuah destinasi. Sampan yang dinaiki kepunyaan si nelayan ini bergerak merentasi lautan yang tenang. 
"Awak tidak pernah pergi ke sekolah ke?" bertanya profesor tersebut kepada nelayan tersebut.
"Tidak pernah", balas nelayan itu sambil menundukkan kepala.
"Maknanya awak telah kehilangan sebahagian daripada hidup awak!" ujar profesor itu.
Suasana di atas sampan sunyi seketika.
"Kalau macam itu, awak pandai membaca dan menulis tak?" soal semula profesor tersebut.
"Tidak", balas nelayan itu ringkas.
"Maknanya awak telah kehilangan sebahagian lagi daripada hidup awak!" ujar profesor itu.
Suasana di atas sampan sunyi semula. Tiba-tiba, takdir menentukan segalanya. Sampan yang didayung itu mengalami kebocoran dan mereka masing-masing makin tenggelam ke dalam air. Lantas, bertanya pula si nelayan kepada profesor tersebut.
"Awak pandai berenang tak?"
"Tidak", balas profesor itu cemas.
"Maknanya awak akan kehilangan seluruh hidup awak!" ujar nelayan itu.

Jauhi Diri Dari Sifat Sombong dan Bongkak
Pengajaran dari kisah tersebut ialah setiap orang mempunyai tingkatan kepandaian dan kemahiran yang berbeza. Amat rugi sekali pada diri kita untuk memandang rendah kepada orang lain dengan menyangka diri kita lebih hebat. Hikmah Allah s.w.t cipta manusia dengan tingkat kebijaksanaan yang berlainan sangat besar. Dalam sekelip mata, Allah s.w.t berkuasa untuk menunjukkan pada kita bahawa kemahiran yang kita agung-agungkan ada ketikanya tidak berguna dalam situasi yang lain. Kemahiran yang kita hinakan pula yang memberi jasa dan pulangan yang lebih lumayan pada situasi tersebut.

Hidup kita ini saling bergantungan antara satu sama lain. Si Kaya perlukan Si Miskin, Si Tinggi perlukan Si Rendah dan begitulah juga sebaliknya. Yang tua perlu menyayangi yang muda, yang muda perlu menghormati yang tua. Si profesor perlu pada nelayan dan nelayan perlu pada profesor. Tanpa nelayan, profesor tidak akan dapat makan ikan, tanpa profesor, nelayan tidak ketemu kemajuan.

Si Besar perlukan Si Kecil, Si Bos perlukan Si Pekerja. Kesemua tingkatan kebijaksanaan ini memberi satu kebergantungan 'kehidupan' kepada kita. Kita perlu dan mahu kepada hidup bermasyarakat. Namun apakah sumbangan dan pengorbanan kita dalam hidup bermasyarakat?

Wallahu A'lam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...