Wednesday, 21 September 2011

1.21 Fenomena Islam di Malaysia

Golongan Murtad Yang Merebak
Sejak pertama kali saya mendengarnya dari tahun 1997 hingga ke hari ini, isu murtad di Malaysia kedengarannya makin menjadi-jadi. Bukan kerana sebelum 1997 tidak ada yang murtad sehingga tidak pernah kedengaran, namun selepas tahun 1997, terdapat dua faktor yang menyebabkan isu ini tersebar luas iaitu:-
  1. Golongan yang ingin murtad menjadi lebih berani menampilkan diri secara terbuka.
  2. Orang Islam yang berani mendedahkan malapetaka yang melanda umat Islam di Malaysia.
Hakikatnya semua manusia termasuk orang Melayu di Malaysia ini semuanya dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu Islam. Kemudian dibesarkan dengan adat-adat kemelayuan dan ajaran agama Islam. Oleh itu, apakah punca dan silapnya orang melayu yang Islam tetapi ingin murtad? Pelbagai isu, fakta dan spekulasi boleh diketengahkan untuk dibincangkan dari institusi keluarga hinggalah institusi negara.

Langkah Yang Diambil
Dari segi perlembagaan itu sendiri, apabila disebut sahaja mengenai Melayu, pastilah akan diIslamkan Melayu itu kerana 'Melayu adalah Islam'. Itu adalah antara langkah penting yang telah dibuat bagi melindungi bangsa Melayu Islam. Seterusnya lagi, sekolah-sekolah agama kontemporari diwujudkan, silibus-silibus agama wajib diajar kepada semua orang  Islam, sambutan Maal Hijrah dan Maulidur rasul diraikan, tilawah Quran dianjurkan dan zakat dikutip untuk pembangunan dan kesejahteraan umat Islam di Malaysia. Semua yang dilaksanakan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada pembangunan umat Islam di sini. Saya sendiri adalah 'hasil' dari pelaksanaan dasar pembangunan Islam yang telah dibuat. Maka, gagalkah sistem yang dirangka itu?

Kelemahan Asas
Meletakkan kesalahan secara total kepada sesuatu sistem bukanlah suatu penyelesaian. Ramai ibu bapa yang mengambil langkah inisiatif menjalankan sendiri pengajaran Islam yang intensif dengan membawa anak mengaji dan berguru dengan para ulama yang alim lagi mursyid. Ada sesetengah individu  mengambil inisiatif mendirikan sekolah tahfiz dan sekolah pondok untuk mewariskan ilmu para nabi. 

Kerap saya mengingatkan diri saya perkara pertama yang kita perlu lakukan untuk mengubah diri sendiri adalah dengan mengakui kelemahan/kesalahan diri dahulu. Dari situ barulah akan terbuka jalan dan cebisan azam untuk mengubah diri menjadi lebih baik. Begitu juga kehidupan kita sebagai seseorang yang bergelar Muslim di negaraku Malaysia ini. Berapa ramai di antara kita yang mampu untuk memberikan jawapan mengapa kita perlu menunaikan solat. Itu belum lagi ditanya berapa ramai yang menunaikan solat. Kulit luar berhiaskan Islam namun hati di dalam tiada siapa yang tahu. Kelemahan kebanyakan Melayu yang dilahirkan Islam pada hari ini ialah menjadikan agama Islam itu tidak lebih hanya sekadar warisan nenek moyang yang harus dipegang agar tidak hilang jati melayunya, bukan kerana Islam itu wajib dipegang kerana tauhidnya pada tuhan semesta alam.
Mutiara Yang Hilang
"Apabila saya merantau ke luar negara, saya dapat lihat 'Islam' dikalangan orang bukan Islam tetapi apabila saya pulang ke tanah air, saya tidak dapat lihat 'Islam' dikalangan orang Islam."

Sinis sungguh kata-kata tersebut tetapi jika kita ambil untuk muhasabah diri, kita akan faham fenomena yang melanda masyarakat Melayu-Islam Malaysia pada hari ini. 
"..dapat lihat Islam dikalangan orang bukan Islam.." membawa erti orang-orang bukan Islam di luar negara didapati mengamalkan cara hidup yang disarankan oleh Islam setelah mereka melalui satu transformasi peningkatan taraf hidup negara maju. Melalui kajian dan tindakan penambahbaikan, mereka dapati kemajuan dan taraf hidup yang lebih baik adalah dengan mengamalkan 'etika' (Islam) hidup tersebut.
"..tidak dapat lihat Islam dikalangan orang Islam.." membawa erti orang-orang Islam di tanah air ini didapati tidak mengamalkan ajaran murni dalam Islam walaupun nama dan pakaian mereka melambangkan keIslaman mereka.

Ramai para sarjana yang menganut ajaran Islam apabila mengakui kebesaran dan kehebatan Allah s.w.t melalui ciptaan-ciptaanNya sehingga ada antara mereka yang berkata "Saya masuk Islam kerana saya telah jatuh cinta kepada kehebatan dan keindahan Islam itu sendiri melalui kajian yang dilakukan. Andaikata saya hanya melihat kepada umat Islam yang ada pada hari ini sahaja, nescaya saya mungkin masih tidak akan Islam sehingga ke hari ini!"
Sehingga Nafas Yang Terakhir
Kunci ke Syurga = Dua Kalimah Syahadah
Tiada Ilah Melainkan Allah; Muhammad Itu Pesuruh Allah
There is no Ilah but Allah, and Muhammad is the messenger of Allah

Sedarlah wahai rakan-rakan yang gusar dan keliru, beruntunglah bagi bangsa Melayu yang dilahir dan dibesarkan dalam Islam, namun permulaan yang baik bukan segala-galanya kerana pengakhiran yang indah adalah matlamat kita. Mati kita dengan mengakui tauhid pada Allah s.w.t adalah kunci untuk kita ke syurga. Maka pegang eratlah kunci tersebut walaupun ianya sepanas bara api. 

Fikir-fikirkan dan renung-renungkan di kala ramai di Malaysia ini yang ingin keluar dari Islam, akan tetapi apa yang berlaku di luar negara adalah sebaliknya. Di Amerika, secara puratanya lebih 20,000 orang menganut agama Islam setiap tahun. Tragedi September 11 yang mengaitkan Islam dengan keganasan di Amerika sehingga membentuk peperangan ke atas beberapa negara Islam telah Allah s.w.t gantikan kematian orang-orang Islam tersebut dengan kemasukan saudara Islam yang baru secara berpusu-pusu. Pengerusi CAIR (Council on American-Islamic Relations) memaklumkan bahawa 34,000 orang telah menganut agama Islam atas kesedaran dan bertitik tolak dari tragedi tersebut. Buku-buku mengenai Islam habis dipinjam di perpustakaan, Quran terjemahan dalam bahasa Inggeris termasuk dalam senarai buku paling laris di Amerika kini, ramai yang mula membuka mata ingin mengetahui mengenai Islam, mengunjungi masjid dan membuat perbincangan secara ilmiah untuk memahami Islam. Retorik yang mengatakan Islam disebarkan melalui pedang dan darah boleh disangkal di atas fakta yang berlaku sekarang ini.
Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian) [Surah 61 As Saff;Ayat8]
They want to extinguish the light of Allah with their mouths, but Allah will perfect His light, although the disbelievers dislike it. [61:8]

Walau sejahat dan sejahil mana pun kita, kita perlu sedar kita sedang memegang sebuah mutiara yang sangat berharga bersama-sama dengan sebuah kunci yang perlu kita pertahankan dengan nyawa kita. Lengkapkan diri kita dan keluarga dengan ilmu syariat dan makrifatullah, pertahankan aqidah dan iman kita dan sampaikan peringatan dan bantuan kepada rakan-rakan yang lain agar sama-sama kita dapat mengharungi ombak fitnah akhir zaman ini. Keluar dari Islam bukan penyelesaian kepada kekusutan yang berlaku dalam diri kerana kita telah menolak fitrah kita secara langsung. Banyakkan berfikir dan mencari ilmu agar terus maju dan dapat membantu.

Maka yang mana satukah di antara nikmat tuhan kamu yang ingin kamu dustakan?

Wallahu A'lam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...