Wednesday, 6 July 2011

1.10 Dirikanlah Solat








"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya"
[Surah 31 Luqman;Ayat 17]
"O my son, establish prayer, enjoin what is right, forbid what is wrong, and be patient over what befalls you. Indeed, [all] that is of the matters [requiring] determination" [31:17]

Gejala di Akhir Zaman
Sedihnya hati ini apabila melihat generasi muda Melayu-Islam era 2000 ini kebanyakannya diabaikan dengan kepentingan didikan mendirikan solat. Manakan tidak, ibu bapa yang membesarkan mereka juga entah ke mana hilang solatnya. Masing-masing sibuk dengan hal duniawi hingga lalai dalam menabung bagi saham akhirat. Solat dianggap satu keperluan ikut masa dan keadaan. Dunia dikejar bagai hendak ditelan kesemuanya. Hakikatnya itulah nafsu dalam diri...dan bisikan syaitan yang senantiasa mengiringi...

Sering saya mengingatkan adik-adik lelaki saya agar menjaga solat mereka. Saya masih ingat ketika kami masih tinggal serumah dulu, solat subuh adalah antara solat yang paling senang untuk 'tertinggal' disebabkan tidur adik-adik saya yang begitu lena diselimuti syaitan. Yang kedua selalu 'tertinggal' adalah solat Isya' kerana sifat mereka yang suka menangguhkan solat sehingga lewat malam, kemudian mengantuk dan terus tidur tanpa mengerjakan solat.

Peringatan Yang Tidak Berpenghujung
Selagi diri ini masih bernafas, nyawa masih lagi dikandung badan, maka WAJIB atas saya untuk terus dan terus menegur adik-adik agar menjaga solat. Tidak penatkah? Dulunya saya sering merasa tidak puas hati dan penat dek asyik selalu 'membebel' memperingatkan adik-adik saya  untuk menjaga solat. Namun, itulah ujian Allah ke atas setiap hamba-Nya. Alhamdulillah, adik-adik telah pandai untuk menguruskan masa untuk mendirikan solat. Walaupun masih nampak terawang-awang, namun peringatan berbentuk nasihat perlu diteruskan agar mereka tidak 'sesat' di jalan yang lurus. Iya...peringatan yang saya berikan adalah dalam bentuk nasihat pula kerana mad'u (adik-adik saya) kini semuanya telah besar. Kaedah 'membebel' sudah tidak lagi relevan.
Kepentingan Solat
Peri pentingnya solat ini sangatlah besar fadilatnya. Hanya Allah s.w.t yang Maha Mengetahui betapa banyaknya kelebihan dan kebaikan bagi mereka yang mengerjakan solat. Namun, disini saya slotkan sedikit kepentingan solat sebagai peringatan kepada kita semua. Semoga kita saling mengingati antara satu sama lain.

1. Solat merupakan tiang agama.
Menurut Muaz bin Jabal r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda, "Mahukah kamu aku khabarkan tentang kepala, tiang dan menara semua perkara?" Aku menjawab, "Sudah pasti wahai Rasulullah". Baginda berkata: "Kepala semua perkara adalah Islam, tiangnya adalah Solat dan menaranya adalah Jihad." ( H.R Tarmizi )

“Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya dia sudah mendirikan agama, sesiapa meninggalkannya sesungguhnya dia meruntuhkan agama.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2. Solat terkandung dalam rukun Islam, perkara penting selepas melafazkan kalimah syahadah.
Sabda Rasulullah s.a.w, "Islam dibina atas lima perkara: Mengucap dua kalimah syahadah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan." ( H.R Muslim )

3. Solat fardhu lima (5) waktu adalah ibadah yang diwahyukan oleh Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w sendiri tanpa melalui perantaraan malaikat. Peristiwa penting ini berlaku dalam Israk & Mikraj.

4. Solat dapat membersihkan kesalahan dan dosa, mencegah daripada keburukan dan kemungkaran.
Menurut Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w pernah bersabda, "Apa pendapat kamu jika ada sungai di hadapan pintu rumah kamu yang boleh kamu mandi di dalamnya lima kali sehari, adakah masih tertinggal dakinya?" Mereka berkata, "Sudah pasti tidak akan tinggal sedikit pun dakinya." Baginda bersabda, "Itulah perumpamaan solat lima waktu. Allah telah membersihkan segala kesalahan dengan mengerjakannnya." (H.R Bukhari & Muslim )



Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. [Surah 29 Al-'Ankabut;Ayat 45]
Recite, [O Muhammad], what has been revealed to you of the Book and establish prayer. Indeed, prayer prohibits immorality and wrongdoing, and the remembrance of Allah is greater. And Allah knows that which you do. [29:45]

5. Solat membezakan antara orang Islam dan orang kafir.
Dari Jabin bin Abdullah r.a, Rasulullah s.a.w pernah bersabda, "Pembeza antara seorang lelaki Muslim dan syirik atau kufur ialah meninggalkan Solat." (H.R Muslim)

Generasi Yang Mendirikan Solat
Melihat betapa pentingnya kewajipan solat dilaksanakan oleh setiap umat Islam, Rasulullah menyuruh supaya ibadat solat itu diajarkan kepada anak ketika berumur tujuh tahun dan memukul mereka dengan pukulan bertujuan mendidik jika enggan solat ketika berumur 10 tahun.

Diriwayatkan daripada Amru bin Syu’ib bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Suruhlah anak kamu menunaikan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukul mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun. Dan asingkanlah mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Saranan hadis itu bertepatan dengan pepatah Melayu, “Jika hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Inilah cara pendidikan awal untuk melatih anak mengerjakan solat yang mesti dilaksanakan ibu bapa. Oleh itu, marilah kita sentiasa berdoa supaya anak dan zuriat kita sentiasa mendirikan solat.

"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. " [Surah 14 Ibrahim;Ayat 40]
My Lord, make me an establisher of prayer, and [many] from my descendants. Our Lord, and accept my supplication. [14:40]


Wallahu A'lam

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...