Wednesday, 13 July 2011

1.11 Hudud Dalam Islam



Hukum Hudud Tidak Relevan?
Perbualan pada petang itu sekadar bertukar pendapat untuk memenuhi masa yang terluang. Saya, pakcik dan sepupu duduk di kerusi belakang dalam bas persiaran yang telah kami sekeluarga tempah. Kami dalam perjalanan pulang dari Kelantan ke Kuala Lumpur pada hari Ahad, hari terakhir cuti pertengahan penggal sebelum sesi persekolahan bermula semula pada keesokan harinya. Perjalanan tiga (3) hari ke Kelantan adalah bagi meraikan perkahwinan adik perempuan saya. Pelbagai topik yang kami bincangkan, entah bagaimana topik hudud pula menjadi perbualan kami.

"Aku setuju dengan hudud, tapi mungkin susah kot nak laksanakan sekarang, nanti susahkan bangsa lain", ujar sepupu saya.

Terkejut dengan pendapat ilmiah dia, saya segera membalas "Salah cara kau fikir tu..."

Sambil diri ini terdiam sebentar; mengawal emosi...(alahai...antara kelemahan yang saya cuba atasi acap kali iaitu kawalan terhadap emosi)
Entah mengapa, emosi ini mudah diransang oleh statement yang liar/tidak berasas dan sebarang maki hamun yang keterlaluan.

"Hukum hudud itu tak menyusahkan, bahkan hanya diaplikasi untuk orang Islam. Orang bukan Islam ada peruntukan undang-undang jenayah yang boleh dikenakan ke atas mereka, tetapi andainya mereka ingin dikenakan undang-undang Islam, dibolehkan", saya cuba berhujah. Saya diam sebentar sambil meilhat reaksi mukanya. Diri ini bukannya pandai sangat tapi saya cuba juga usaha untuk menyedarkan dia.

"Undang-undang syariah ini luas, bukan setakat hudud sahaja! Kita ada hudud, qisas, takzir dan diyat. Tapi kita selalu dimomokkan dengan hukuman hudud sahaja. Bila sebut hukum Islam, kita hanya tahu hudud. Bila jalankan hukum hudud, ramai orang akan dizalimi sebab hukumannya yang berat dan nampak zalim", saya menyambung.

"Betullah tu. Allah yang ciptakan kita, mesti Allah yang lebih tahu tentang hukuman apa yang sesuai untuk dikenakan kepada manusia. Kamu tak payah nak pening-pening fikirkan alasan tak nak terima benda-benda macam ni", pakcik saya pula menambah.

Umat Islam Yang Makin Tidak Islam
Rata-rata umat Islam di Malaysia ini hanya meriah dengan Islam apabila datangnya Hari Raya AidilFitri (Raya Puasa). Diikuti dengan bacaan Yaa Sin, Tahlil dan Doa Selamat. Ramai yang gagal dalam perkara yang berkaitan dengan tauhid dan akidah. Tidak yakin dengan hukum Allah sudah cukup untuk menunjukkan seseorang yang bergelar Islam itu cetek fahamannya tentang Islam. Bagi saya, perbualan dengan Non-Muslim apabila ditanya mengenai agama Islam adalah suatu perbualan yang cukup bermanfaat bagi kita sebagai Muslim kerana soalan-soalan yang diaju oleh mereka adalah asas dalam Islam dan lebih berbentuk logik dan praktikal. Sebarang soalan yang tak dapat dijawab adalah muhasabah bagi kita kerana dangkal ilmu mengenai Islam. Adalah amat diharapkan selepas itu kita akan segera mengaji kembali bab-bab asas fardhu ain tersebut agar kita dapat kembali berdakwah kepada rakan Non-Muslim.

Keadilan di atas Muka Bumi
"Cuba beritahu apa undang-undang yang paling adil kat muka bumi ini kalau kau kata hukum Hudud dari Allah s.w.t itu tak adil?", saya cuba ajak sepupu saya berfikir secara rasional. 

Saya masih ingat lagi ketika berada di Perpustakaan Sultanah Zanariah, UTM Skudai, saya ada membaca buku hasil penulisan seorang profesor dari Jerman. Mengikut kajian dan pandangan beliau, manusia akan sentiasa menambah baik undang-undang berbentuk hukuman ciptaan mereka untuk disesuaikan dengan masa dan persekitaran. Apabila undang-undang itu sentiasa ditambah baik, mereka akan dapati bahawa undang-undang itu menyamai dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

"Kita kenalah tanamkan keyakinan terhadap hukum dan ketetapan Allah. Walaupun menyebut HUDUD sangat senang, hukumannya sangatlah berat tapi untuk mensabitkan kesalahan seseorang itu untuk dikenakan hudud bukannya mudah, maka di situlah datangnya qisas, takzir dan diyat", saya berhujah lagi sepanjang perjalanan kami di dalam bas. Hudud bukan sahaja menghukum si pesalah, tetapi ia juga menguji tahap keimanan kita sebagai seorang Islam untuk yakin dan mempercayai ketentuan Allah s.w.t. Antara penulisan ringkas yang menerangkan tentang salah faham terhadap hudud adalah seperti di sini.

Faham Islam -  Fardhu Ain
Bagi saya, cukuplah sekadar lima minit memberi tazkirah kepada sepupu saya. Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada ahli keluarga saya agar mereka semua dapat memahami Islam dengan lebih mendalam. Saya akhiri celoteh pendek saya di dalam bas pada petang itu dengan membawa kisah hudud (zina) di zaman Rasululluah s.a.w. Betapa rejam dalam hudud hanya sekali sahaja dilaksanakan di zaman Rasulullah s.a.w, itupun bukan dengan keterangan saksi tetapi pengakuan atas dasar insaf. (yang mana tidak ramai orang yang berani melakukannya)

Secara umumnya, kes zina dalam hudud akan dikenakan hukuman seperti di bawah:-
1. Sebat 100 rotan untuk yang belum berkahwin 
2. Rejam sampai mati untuk penzina yang sudah berkahwin

dan Zina ini hanya boleh disabitkan dengan salah satu seperti berikut:-
1. Iqrar atau pengakuan : Ini selalunya berlaku ketika pemerintahan Islam 
2. Keterangan atau penyaksian: Iaitu penyaksian 4 orang saksi lelaki yang merdeka, adil (tidak fasiq) dan beragama Islam dan melihat dengan mata mereka sendiri. Ini sangat jarang berlaku dan tidak terhasil kecuali sedikit.
3. Qarinah (pembuktian): Qarinah adalah pembuktian yang tidak ada 4 saksi. Tetapi tidak boleh dihukum di bawah undang-undang hudud, (sebaliknya) dihukum di bawah undang takzir.

Tetapi Rasulullah sendiri tidak mahu menjalankan hukum itu terhadap seseorang lelaki yang berterus-terang melakukannya sehingga diketahui hakikat perbuatan itu dengan cara yang pasti. Lelaki tersebut datang kepada Rasulullah s.a.w sewaktu dalam masjid lalu berkata "Ya Rasulullah! Aku telah berzina dan aku  telah pernah berkahwin. Sebab itu jalankanlah hukuman ke atas aku", sedang Rasulullah s.a.w tidak mempedulikannya dan baginda memalingkan mukanya.

Akhirnya setelah tiga kali ia mengaku perbuatannya itu, maka Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya, "Apakah kamu gila?" Katanya"Tidak!" Sabdanya lagi "Barangkali engkau mencium atau engkau memberi isyarat atau pun engkau melihatnya sahaja?" Katanya : "Tidak, ya Rasulullah!".

Lelaki itu dalam keterangannya yang akhir sekali menjelaskan perbuatan perzinaannya dengan seorang perempuan sambil ditegaskan pula tempat dan bahagian tubuh dimana perbuatan itu dilakukan dan ia mengharapkan supaya dibersihkan dirinya dan kesalahannya dengan hukuman rejam. Kemudian baharulah Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya dilaksanakan hukuman tersebut ke atasnya.  


Walllahu A'lam.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...