Wednesday, 13 July 2011

1.12 Kemuliaan Dengan Islam

Pernah suatu ketika, Amirul Mu'minin Saidina Umar al-Khattab r.a mengingatkan umat Islam waktu beliau 'merasmikan' pembukaan kota Baitulmaqdis. Tegasnya di hadapan umat Islam yang terdiri daripada pelbagai rumpun bangsa tika itu "Kita adalah kaum yang dimuliakan Allah dengan ISLAM! Barangsiapa yang mencari kemuliaan selain daripada kemuliaan yang dikurniakan Allah ini, maka mereka dihinakan Allah!"


Identiti Islam Yang Kian Pudar
Serangan bertali arus oleh orang kafir terhadap Islam tidak pernah berhenti. Semenjak 1400 tahun yang lalu telah dinyatakan dalam Al-Quran bahawa orang-orang Yahudi dan orang-orang Kristian tidak akan sekali-kali redha terhadap umat Islam kecuali umat Islam mengikut agama mereka.
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka) "Sesungguhnya petunjuk Allah (Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. [Surah 2 Al-Baqarah;Ayat 120]
And never will the Jews or the Christians approve of you until you follow their religion. Say, "Indeed, the guidance of Allah is the [only] guidance." If you were to follow their desires after what has come to you of knowledge, you would have against Allah no protector or helper. [2:120]

Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w, Islam telah berkembang ke seluruh dunia bermula dengan zaman Khulafa' Ar-Rasyidin diikuti kerajaan Bani Ummaiyyah (zaman kegemilangan Islam bersama Umar bin Abdul Aziz), kemudiaan kerajaan Bani Abbasiyyah (Sallehuddin Al-Ayubi tawan semula Baitulmaqdis) dan berakhirnya sistem khalifah Islam dengan Empayar Turki Uthmaniyyah.

Sejak dari itu, penghinaan kepada Islam makin menjadi-jadi. Mereka yang mengamalkan hukum Islam dan sunnah Rasulullah s.a.w dihina dan dimomokkan dengan pelbagai ugutan dan tuduhan liar. Tahun 2000 adalah tahun yang memeritkan bagi pejuang Islam apabila dunia menggelar orang Islam sebagai terrorist (pengganas). Pelbagai cara dilakukan oleh mereka untuk menawan dan menangkap orang Islam secara 'sah' dengan alasan bahawa mereka ini pengganas bagi menghalalkan tindakan mereka. Pemakaian serban mengikut sunnah Nabi s.a.w telah dipandang jelek dan kadangkala 'ekstremis'. Istilah Islam telah wujud dalam pelbagai gelaran samada Islam hadhari, Islam plural, Islam Liberal, Islam sosial dan sebagainya. Orang Islam sendiri telah berpecah dan berpuak tanpa kepimpinan khalifah Islam.
Kiamat Yang Makin Hampir
Tanda-tanda akhir zaman ini telah muncul dengan sangat banyak. Persoalan utamanya ialah, bila zaman akan berakhir? Pendakwah Indonesia, Muhammad Ihsan Arlansyah Tanjung (lebih dikenali sebagai Ihsan Tanjung) ada menghuraikan isu ini. Katanya, menurut hadis sahih, masa akhir zaman ini terbahagi kepada lima iaitu pada zaman Rasulullah s.a.w masih hidup, zaman Khulafa ar-Rasyidin (empat sahabat Nabi Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali), zaman maalikan ‘adhan atau khalifah Islam selepas Ali bin Abi Talib hingga runtuhnya kerajaan Uthmaniah di Turki (1924), zaman maalikan jabariyan atau penguasa diktator (zaman sekarang) dan terakhir kembalinya zaman kegemilangan Islam mengikut sistem khalifah.

Berdasarkan lima zaman ini, Ihsan berpendapat zaman kita sekarang adalah zaman keempat atau maalikan jabariyan, sesuai dengan keadaan semasa yang mana penguasa diktator bermaharajalela dan menyaksikan kekalahan umat Islam di mana-mana pelusuk dunia. Malah, ada pendapat bahawa kita semakin menghampiri penghujung zaman diktator berdasarkan kata-kata sahabat yang disebutkan dalam Atsar, menerangkan tanda sudah dekatnya kemunculan Imam Mahdi yang akan menegakkan khalifah Islam bagi zaman kelima itu.

Menurut riwayat, apabila sudah dekat kedatangan Imam Mahdi, banyak terjadi pembunuhan dan peperangan. Orang mahu berbunuhan kerana masalah remeh-temeh dan berperang antara kumpulan atau negara kerana masalah kecil. Bencana seperti gempa bumi, letusan gunung berapi, angin puting beliung dan banjir semakin banyak terjadi. Begitu juga penyakit, semakin banyak jenis penyakit dan semakin ramai manusia berpenyakit.

Senantiasa saya berdoa kepada Allah s.w.t agar dapat hidup melihat kembalinya sistem khalifah Islam iaitu kedatangan Imam Mahdi dan berjuang bersama-sama menegakkan Islam. Namun, setiap hari saya dapat lihat bahawa cabaran untuk tidak terjebak dengan pengaruh barat sangat hebat dengan gaya hidup hedonisme, sistem kapitalis, kefahaman ahli keluarga dalam Islam yang cetek, sistem politik, sistem pendidikan dan sebagainya menyebabkan saya sangat khuatir akan iman diri dan keluarga saya. Sudahkah kita semua bersedia menghadapinya?

Wallahu A'lam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...