Tuesday, 20 October 2015

3.2 Bacalah.......

Bacalah...
Dengan nama Tuhan Mu,
Dengan hati yang khusyuk,
Dengan hati yang ikhlas,

Bacalah…
Santapan jasad itu makanan,
Santapan rohani itu zikir,
Santapan akal itu ilmu,

Bacalah…
Tanpa ilmu kita sesat,
Tanpa ilmu kita keliru,
Tanpa ilmu akal kosong,

Bacalah…
Kita apa yang kita dengar,
Kita apa yang kita kata,
Kita apa yang kita lilhat,

Bacalah,
Dengan ilmu kita tahu,
Dengan ilmu kita kenal,
Dengan ilmu kita temui,

Bacalah,
Tuntutlah ilmu dengan berguru,
Tuntutlah ilmu tanpa henti,
Tuntutlah ilmu dengan sabar,

Bacalah,
Kerna menuntut ilmu adalah dituntut,
Cintai ilmu, fahami ilmu, amali ilmu,
Ibu segala ilmu adalah sabar,

Bacalah,
Moga manfaat diri,
Moga manfaat masyarakat,
Moga temui hakikat.

Thursday, 9 July 2015

2.7 Pengurusan Amalan Projek Terbaik Semasa Pembinaan: Projek Institut Kanser Negara

Institut Kanser Negara, Putrajaya
Peratusan kematian yang disebabkan oleh kanser telah meningkat daripada 7.37 peratus pada tahun 1975 kepada 11.87 peratus pada tahun 2010, menjadikan kanser “pembunuh nombor dua” negara selepas penyakit jantung. Sehubungan dengan itu, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan telah memasukkan projek Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya ke dalam Rancangan Malaysia Ke-9 dan menyediakan Pelan Hala Tuju Kawalan Kanser Negara pada tahun 2008 untuk menangani dan mengawal penyakit kanser di negara ini.

Penubuhan IKN adalah untuk menampung bilangan pesakit kanser yang semakin bertambah di Malaysia dengan menawarkan perkhidmatan dan rawatan kanser yang komprehensif dan terbaik di negara ini. Pihak Kementerian Kesihatan menganggarkan terdapat 40,000 kes kanser baru yang dikesan setiap tahun di negara ini. Selain itu, IKN menjadi pusat rujukan dan pusat kecemerlangan bagi rawatan penyelidikan, latihan dan pencegahan berkaitan kanser di Malaysia.
Institut Kanser Negara, Putrajaya
Pembinaan IKN yang bermula pada tahun 1 September 2010 kini telah satu tahun beroperasi di dalam Tempoh Tanggungan Kecacatan apabila berjaya disiapkan pada 16 Ogos 2013 iaitu 2 minggu lebih awal daripada jadual. Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia sebagai Agensi Pelaksana projek IKN telah menubuhkan sebuah Pasukan Projek Khas bagi mengawal selia dan memastikan projek berimpak tinggi ini dapat disiapkan mengikut tempoh, kualiti dan kos yang telah ditetapkan.
Pandangan Belakang Institut Kanser Negara, Putrajaya
Dalam tempoh setahun selepas penyerahan projek, Pasukan Projek IKN JKR telah berjaya memenangi beberapa anugerah iaitu ‘Johan Anugerah Pengurusan Projek Terbaik 2014’ bagi kategori Pasukan Pengurusan Pembinaan (Reka & Bina) JKR, ‘Anugerah Piala Pusingan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Bisnes’ bagi kategori Pengurusan Projek Terbaik 2014 JKR dan ‘Johan Anugerah Inovasi Pengurusan Projek (AIPro) 2014’ sempena Hari Inovasi KKR 2014.


Jabatan Kerja Raya melalui Pasukan Projek Khas IKN telah menggunapakai dan mengimplimentasikan Project Management Tools sebagai amalan pengurusan projek berdasarkan panduan daripada A Guide to the Project Management Body of Knowledge (PMBOK Guide) 4th Edition; 2009. Mengikut PMBOK 4th Edition, setiap satu daripada (9) sembilan bidang pengetahuan di dalam Pengurusan Projek mengandungi aktiviti-aktiviti yang perlu dicapai di dalam bidang yang dirangka untuk mencapai pengurusan projek yang berkesan. Walau bagaimanapun, edisi terkini PMBOK 5th Edition yang dikeluarkan pada tahun 2013 telah menambah satu lagi bidang pengetahuan yang perlu ditangani di dalam pengurusan  projek iaitu Stakeholders Management dan menjadikannya (10) sepuluh bidang pengetahuan yang perlu dicapai di dalam pengurusan projek.
10 Knowledge Areas in Project Management
Bagi sesebuah projek pembinaan, terdapat (5) lima fasa utama kitar hayat sesebuah projek iaitu Initiating, Planning, Execution, Monitoring & Control dan Closing. Walau bagaimanapun, perbincangan artikel kali ini adalah menumpu kepada peranan JKR sebagai agensi pelaksana projek iaitu daripada fasa Planning sehingga Closing. Berikut adalah ringkasan amalan projek yang telah dilaksanakan untuk projek IKN.

Planning
1.  Pengurusan Sumber Manusia
Mewujudkan Pasukan Projek Khas daripada Agensi Pelaksana (JKR) dan Pihak Pelanggan (KKM) sepanjang tempoh penyiapan projek untuk bekerjsama dengan pihak kontraktor dan perunding. Peranan dan tanggungjawab setiap jawatan telah ditentukan dengan jelas pada peringkat awal bagi memudahkan proses kerja.

2.  Pengurusan Skop
Mewujudkan Governance Council bagi membantu menyelesaikan isu-isu yang melibatkan pelbagai agensi seperti kelulusan Development Order dan lain-lain lagi.

3.  Pengurusan Kualiti
Penggunaan Sistem Pengurusan Bersepadu (SPB) yang dibangunkan JKR meliputi Sistem Pengurusan Kualiti, Sistem Pengurusan Keselamatan dan Sistem Pengurusan Alam Sekitar.

Execution
1.  Pengurusan Kos
Mengadakan Room Data Interaction bagi memuktamadkan footprint bangunan dan mengenal pasti dengan terperinci peralatan-peralatan yang terlibat seperti keperluan M&E,  Peralatan  Perubatan,  Loose & Built–in Furniture, spesifikasi bahan dll.

2.  Pengurusan Komunikasi, Kualiti dan Masa
Menyiapkan Dokumen Kontrak dalam masa 4 bulan selepas SST bagi semua disiplin – 9 Jilid dokumen. Kaedahnya adalah melalui pemantauan rapi dengan mengadakan mesyuarat/ perbincangan/ semakan secara terperinci dan tindakan segera setiap disiplin dalam tempoh penyediaan dokumen kontrak.

Monitoring and Control
1.  Pengurusan Integrasi – Project Management Plan (PMP)
Penyediaan PMP pada peringkat awal pembinaan projek melalui bengkel yang dihadiri oleh semua stakeholder untuk panduan dan amalan Pasukan Projek dan kontraktor. PMP ini adalah integrasi kelapan-lapan bidang pengurusan projek dan akan disemak dan dikemaskini pada setiap 6 bulan.

2.  Pengurusan Risiko - Risk Management Plan (RMP)
Penyediaan RMP pada peringkat awal pembinaan melalui bengkel yang dihadiri oleh semua stakeholder bagi mengenalpasti risiko projek. Risiko projek dianalisa mengikut rating dan dikenalpasti pihak bertanggungjawab (Kontraktor, JKR, KKM atau lain-lain) bagi tujuan tindakan dan tempoh mitigasi. RMP ini dipantau secara rapi dan dibincang secara terperinci dalam Mesyuarat Teknikal/Tapak setiap bulan. Risiko yang telah dimitigasikan akan dikeluarkan  daripada  RMP dan risiko baru yang dikenal pasti dimasukkan ke dalam pelan.

 3. Pemantauan Rapi Program Kerja – Pengurusan Masa (30 bulan kerja fizikal 6 bulan T&C)
Program kerja disediakan secara terperinci melalui 2 sesi bengkel yang dihadiri oleh stakeholders  utama  dan  dibantu oleh pakar (Scheduler) daripada PROKOM JKR. Program kerja ini digunakan sepenuhnya untuk memantau dan merancang perjalanan projek.

4.  Building Information Modeling (BIM)
Projek pertama JKR yang menggunakan aplikasi BIM pada peringkat pembinaan. Ia membolehkan rupabentuk bangunan dilihat melalui visualisasi gambaran 3 dimensi (Arkitek, Stuktur & Visualizasi MEP). Aplikasi ini juga dapat membantu mengesan masalah pertembungan (clash analysis) di antara elemen struktur, arkitek dan servis MEP sebelum dipasang/dibina di tapak projek. Selain daripada itu, BIM dapat menghasilkan simulasi pembinaan (sebenar berbanding jadual) sepertimana program kerja. 

5.  Industrialized Building System (IBS)
Walaupun projek untuk menyiapkan bangunan hospital adalah rumit dari segi spesifikasi dan keperluan teknikalnya, tetapi pematuhan kepada skor IBS minimum 70 berjaya dicapai untuk projek ini dan telah mempercepatkan masa pembinaan bagi kerja-kerja struktur selama 12 bulan berbanding jadual 16 bulan.

6.  Information Communication Technology (ICT)
IKN adalah hospital pertama kerajaan yang melaksanakan kerja infrastruktur rangkaian ICT yang lengkap dengan aplikasi bagi sistem pengurusan hospital (HIS, OIS, NMIS, CCIS, LIS, RIS/PAC, EIS) secara komprehensif dan berjaya disiapkan di dalam tempoh pelaksanaan projek mengikut keperluan dokumen kontrak.

7.  Kecekapan Tenaga (Energy Efficiency)
Projek ini direkabentuk untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga tanpa menjejaskan fungsi bangunan dengan mengambil kira rekabentuk pasif bangunan, pencahayaan, penggunaan AHU dan Chilled Water Plant. Elemen Kualiti Udara Dalaman (IAQ) diaplikasikan bagi memastikan udara bersih dan berkualiti dibekalkan ke dalam bangunan.

8.  Mesyuarat mingguan & Lesson Learnt
Mesyuarat pemantauan kerja mingguan diadakan pada setiap minggu disertai dengan laporan kemajuan kerja dan penemuan lesson learnt untuk dibentangkan, dibincang dan dijadikan panduan bagi kerja-kerja yang seterusnya.

9.  Audit Servis atas siling sebelum siling dipasang
Projek hospital adalah suatu projek yang melibatkan banyak servis M&E di dalam siling bangunan. Oleh yang demikian, Audit Servis atas Siling adalah merupakan prosedur yang dibangunkan oleh pasukan projek secara berjadual dan terperinci.  Audit dokumentasi dan penzahiran produk dilakukan ke setiap bilik mengikut jadual yang padat bagi memastikan kerja-kerja pemasangan servis atas siling telah disemak dan pemasangan ceiling hanger, ceiling frame dipasang mengikut  method  statement sebelum kesemua siling dipasang.

10.Testing & Commissioning (T&C)
Aktiviti T&C diperincikan lebih awal dan dimasukkan dalam Program Kerja di mana pelaksanaan T&C akan bermula 6 bulan sebelum tempoh projek siap. Segala dokumen-dokumen yang terlibat akan disediakan sebelum pelaksanaan T&C.

Closing
1. Room to Room Inspection dan Inventory counting dibuat lebih awal iaitu 3 bulan sebelum tempoh projek siap bagi memastikan kelengkapan bilik dan peralatan telah dipenuhi.

2. Terdapat sebanyak 32 bilangan dokumen sokongan seperti Laporan T&C, O&M, Final Defect List, Warranty Certificates, Project Site Diary, Inventory List dan lain-lain lagi telah dapat siapkan untuk diserahkan kepada pihak pelanggan sebelum penyerahan projek.

3. Sehingga 16 Ogos 2013, projek ini telah berjaya mencapai sasaran 5 million working hours without Lost Time Injury.

4. Statement Of Final Account (SOFA) berjaya disiapkan dalam masa 6 bulan selepas tempoh penyerahan projek iaitu dalam tempoh Defect Liability Period.

Sekilas pandang...Institut Kanser Negara, Putrajaya






Tuesday, 17 June 2014

2.6 Bagaimana Menjadi Seorang Jurutera Profesional

Artikel kali ini adalah sangat penting bagi mana-mana graduan yang baru menamatkan pengajian sarjana muda dalam bidang kejuruteraan samada di universiti tempatan ataupun luar negara.

Pasti ramai yang tertanya-tanya apakah langkah yang harus diambil sebelum meneruskan kerjaya sebagai seorang jurutera profesional. Bagi yang baru berada di alam persekolahan dan berminat untuk menjadi seorang jurutera, pilihlah kursus kejuruteraan yang betul dan sesuai untuk diri sendiri.

Matlamat dalam pemilihan kerjaya
Sepertimana artikel saya sebelum ini 2.5 Mengapa Jadi Jurutera 2.0, seseorang perlulah mempunyai matlamat kerjaya yang jelas dalam hidupnya. Kedegilan adalah sangat penting sekiranya kita amat yakin dengan minat dan kemampuan diri kita. Seterusnya adalah bergantung kepada doa dan usaha kita.

Sekolah Menengah
Di zaman saya sehingga tahun 2000, Sijil Pelajaran Malaysia adalah antara penentu awal kerjaya kita kerana kesemua pelajar akan mula dikhususkan dengan aliran yang sesuai dengan kebolehan dan minat pelajar tersebut. Oleh yang demikian, buatlah pilihan yang betul sekiranya ingin menjadi seorang jurutera, saintis ataupun doktor, maka aliran sains tulen adalah yang paling sesuai sekali bagi memastikan subjek-subjek yang dipelajari dapat menjadi kredit kepada kita apabila melanjutkan pelajaran ke universiti.

Selepas menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 1998, saya telah ditawarkan kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) untuk aliran agama (perdagangan). Sebelum saya menerima tawaran tersebut, saya, emak dan ayah pergi berjumpa Timbalan Pengetua ketika itu bagi membincangkan samada dibolehkan untuk menukar aliran ataupun tidak. Alhamdulillah, 'kedegilan' dan ikhtiar membuahkan hasil apabila pihak sekolah bersetuju untuk menukarkan aliran agama (perdagangan) saya kepada aliran sains tulen. Langkah Pertama selesai.

Matrikulasi dan Universiti
Secara ringkasnya, Langkah Kedua ini juga harus diteruskan dengan penuh semangat yang tidak luntur dan telah saya huraikan di dalam artikel sebelum ini 1.3 Mengapa Jadi Jurutera.

Tamat Pengajian Universiti
Apakah Langkah Ketiga yang perlu diambil?


"Mana-mana individu yang mahu bekerja sebagai seorang jurutera adalah wajib mendaftar sebagai Jurutera Siswazah dengan Lembaga Jurutera Malaysia [Board of Engineer Malaysia; BEM]. BEM mengiktiraf pengalaman yang diperoleh oleh graduan kejuruteraan hanya selepas dia telah mendaftar sebagai Jurutera Siswazah. Oleh itu, ia adalah langkah bijak untuk para graduan kejuruteraan untuk mendaftar sebagai Jurutera Siswazah pada permulaan kerjaya kejuruteraannya"


Secara ringkasnya, bagi mana-mana individu yang telah menamatkan pengajian di dalam ijazah kejuruteraan adalah digalakkan mendaftarkan diri dengan BEM. Sekiranya kerjaya kita seterusnya memerlukan kita untuk mempraktikkan norma kerja kejuruteraan, maka adalah diwajibkan untuk mendaftarkan diri dengan BEM kerana tertakluk di bawah Registration of Engineers Act 1967 (Rev.2007). 

Sebelum tahun 2010, semua pendaftaran sebagai Jurutera Siswazah perlu dibuat secara manual dengan memuat turun borang pendaftaran daripada laman web BEM. Sekarang ini tidak perlu pening kepala, semua pendaftaran boleh dibuat secara online melalui laman web BEM sendiri.

Frequently asked questions - Apa beza BEM dengan IEM?

LEMBAGA JURUTERA MALAYSIA (Board of Engineers Malaysia)
BEM adalah sebuah badan kerajaan / badan profesional dengan peranan utamanya adalah untuk memudahkan pendaftaran jurutera dan mengawal selia kelakuan profesional dan amalan jurutera berdaftar untuk melindungi keselamatan dan kepentingan awam di Malaysia.

INSTITUSI JURUTERA MALAYSIA (The Institution of Engineers Malaysia)
IEM adalah sebuah badan profesional / komuniti pembelajaran sosial untuk jurutera dengan peranan utamanya adalah untuk mempromosi dan memajukan sains dan profesion kejuruteraan di mana-mana atau semua disiplin dan untuk memudahkan pertukaran maklumat dan idea-idea yang berkaitan dengan kejuruteraan.

Frequently asked questions - Yang mana satu kita perlu daftar?

Kita perlu berdaftar dengan BEM sebagai Jurutera Siswazah. Tidak wajib berdaftar dengan IEM. Walaubagaimanapun, adalah digalakkan juga untuk berdaftar dengan IEM kerana sebagai komuniti pembelajaran sosial untuk jurutera, IEM banyak menjalankan aktiviti dan latihan seperti Worksyop, Kursus, Seminar, Lawatan Teknikal dan lain-lain lagi bagi meningkatkan tahap kompetensi dan pemahaman setiap jurutera. Pendaftaran bagi menjadi ahli IEM juga boleh dibuat secara online.

Laluan untuk menjadi seorang Jurutera Profesional

Menjadi Seorang Jurutera Profesional
Langkah Keempat inilah yang ditunggu-tunggu.
1. Apabila seorang graduan / jurutera menamatkan pengajian dalam ijazah kejuruteraan dengan kelayakan yang diiktiraf, jurutera tersebut perlulah mendaftar dengan BEM sebagai Jurutera Siswazah.
2. Jurutera Siswazah boleh mula untuk mendapatkan latihan dan pengalaman  (diselia oleh jurutera profesional) sekurang-kurangnya 3 tahun sebelum dia boleh cuba memohon untuk menduduki Temuduga Profesional dan peperiksaan untuk melayakkannya menjadi Jurutera Profesional dengan BEM dan layak menggunakan gelaran Ir.
3. Permohonan untuk menjadi Jurutera Profesional boleh dibuat samada kepada BEM ataupun IEM. Walaubagaimanapun, kesemua proses temuduga, peperiksaan dan laporan kini telah diambil alih dan diuruskan sepenuhnya oleh IEM dan hanya dipantau oleh BEM.
4. Proses permohonan dan maklumat lanjut untuk memohon sebagai Jurutera Profesional boleh didapati di laman web BEM dan IEM.

Contoh sijil bagi individu yang telah layak digelar sebagai Jurutera Profesional (Ir.)

Frequently asked questions - Saya telah menjadi Jurutera Profesional. Apa lagi yang boleh dibuat?

Langkah Kelima adalah satu langkah mengembangkan kerjaya dan 'nilai' kita dalam sumbangan aktiviti sosial, persatuan dan masyarakat. Menjadi Jurutera Profesional jangan dilihat sebagai penamat tetapi ia adalah permulaan kepada gerak kerja yang lebih berat dengan memikul tanggungjawab, etika dan tingkah laku profesional. Ini adalah profesion yang tiada had batasan. Kita boleh meletakkan teori ke dalam amalan kerja  dan kita boleh mencipta dan membuat inovasi.
Pekeliling yang telah dikeluarkan oleh BEM adalah mengenai Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) bagi meningkatkan lagi profesionalisme di kalangan jurutera pada tahun 2006. Dasar ini bertujuan untuk memperbaiki dan memperluaskan pengetahuan dan kemahiran jurutera dalam melaksanakan tugas mereka selaras dengan amalan semasa dan peraturan-peraturan. IEM telah dilantik sebagai Badan Bertauliah untuk melaksanakan Program CPD mengikut dasar dan garis panduan BEM pada Februari 2006.

Maka, adalah wajar dan menguntungkan sekiranya kita juga mendaftarkan diri dengan IEM bagi membantu mengumpul mata CPD.
Contoh sijil bagi individu yang telah layak menjadi Ahli Korporat IEM (M.IEM) (P.Eng)
Terdapat banyak lagi Persatuan / Badan Profesional di luar sana yang boleh kita sertai bagi meluaskan lagi rangkaian kenalan dan kerjaya kita. Buat yang terbaik dan cuba yang terbaik. Selamat Berjaya....




 Kesimpulan
Tak perlu fikir panjang, sekiranya layak, teruslah daftar secara online sebagai Jurutera Siswazah. Tidak rugi apa-apa malah memberi 'nilai' kepada diri kita kerana telah berdaftar dengan Badan Profesional dan boleh diletakkan di dalam Resume.

P/S: sambungan artikel >>  2.9 Bagaimana Menjadi Seorang Jurutera Profesional 2.0
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...