Monday, 8 August 2011

1.14 Berfikir Itu Satu Anugerah

Perubahan Kepada Suatu Permulaan
"Abang, kenapa senyap saja nie..", tanya isteri saya apabila kerap melihat saya termenung sambil memandu.
"Erm...takde apa-apa", balas saya sambil menunggu lampu isyarat bertukar hijau.

Namun diri ini sukar untuk menjelaskan kepada isteri saya tentang perubahan yang saya sedang alami ini. Bukannya menopaus, tapi suatu kesedaran yang merunsing dan menyakitkan otak. Saya dapati kesedaran ini akan hilang jikalau saya berhenti 'mencari' (membaca dll). Maka, saya teruskan 'pencarian' saya ini dan pelbagai 'benda-benda' menarik telah saya jumpai dan kongsi bersama isteri saya. Alhamdulillah, sedikit demi sedikit si isteri memahami apa yang bermain di otak kiri dan otak kanan saya.

Trasformasi Fikiran
Sejajar dengan artikel saya iaitu Pemikiran Manusia, secara linear saya mengalami transformasi pemikiran yang 'makin luas', kritkial dan makin dahaga kepada ilmu. Pelbagai persoalan demi persoalan mula timbul untuk mencari jawapan bagi masalah yang sistem-sistem yang berlaku di akhir zaman ini. Walaupun jawapan yang saya temui belum dapat dimuktamadkan, tetapi ianya cukup untuk menggerakkan diri ini sentiasa mencari disekeliling melalui bukti semasa, bukti semesta dan artikel-artikel orang lain.

"Ilmu merupakan pintu gerbang kepada segala kebaikan. Dalam konteks ini al-Quran menekankan tentang kepentingan menguasai dua ayat. Penguasaan dua ayat bermaksud menguasai, pertamanya, ayat-ayat al-Quran dan, keduanya, ayat-ayat Allah yang tersembunyi di alam semesta".
A. Samad Said 
Banyakkan Membaca
Pernah suatu ketika, seorang anak murid A.Samad Said bertanya kepada beliau bagaimana untuk menjadi seorang penulis yang hebat. Dengan ringkas A. Samad Said menjawab "Banyakkan membaca dan teruskan membaca".

Untuk menjadi seorang yang hebat, kita perlu banyak membaca. Ramai tokoh-tokoh yang masih hidup pada zaman ini mengamalkan pembacaan yang berterusan dan berfikir sepangjang masa. Kerajaan sendiri di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-4, Dr. Mahathir bin Mohamad melancarkan secara rasminya Kempen Membaca pada tahun 1995 melalui sambutan Bulan Membaca Kebangsaan.

Berfikir Itu Anugerah Istimewa
Islam menganjurkan penganutnya untuk sentiasa berfikir menggunakan akal.
Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya. [Surah 12 Yusuf; Ayat 2]
Indeed, We have sent it down as an Arabic Qur'an that you might understand. [12:2]
Banyak ayat-ayat senada lainnya yang diakhiri dengan kalimat afala ta'qilun, afala tatafakkarun, afala ta'lamun, atau afala yafqahun."

Melalui pertukaran pendapat, saya dapati wadah internet adalah satu medium yang sangat mantop untuk mencari maklumat mengenai masalah dan teori-teori yang berlegar di persekitaran saya. Rujukan pada Quran dan Hadith, kemudian rujukan pada bahan-bahan ilimah seperti buku semuanya mula menarik minat saya. Mungkin dalam beberapa artikel akan datang, saya sudi berkongsi apa yang berlegar di fikiran saya. Bagi para blogger yang berkongsi bahan-bahan ilmiah tersebut, saya mengucapkan jutaan terima kasih. Saya akur barangkali apa yang diteorikan oleh mereka adalah suatu bahan yang tidak mempunyai bukti yang kukuh, namun ia cukup untuk mengajak sesiapa yang membacanya 'sedar' dan 'meneroka ilmu' untuk mencari pelbagai jawapan dalam kehidupan harian kita. FIKIR menggunakan otak. LIHAT melalui mata hati. Terima kasih juga kepada abang long dil (gelaran yg saya saje berikan pada rakan) kerana sudi berkongsi ilmu dan bertukar pendapat.

Wallahu A'lam.

1.13 Marhaban Ya Ramadhan 1432H (Ogos 2011)

Marhaban Ya Ramadhan
Nostalgia Puasa Ketika Kecil
Apa yang menariknya?
Bermula pada tahun 1990, hampir setiap hari ayah dan emak membawa saya dan kakak berbuka puasa di hotel-hotel sekitar Kuala Lumpur dan Petaling. Pendek cerita, semua hotel di K.L dan Petaling telah kami pergi (dulunya hotel di K.L tidak banyak seperti sekarang-2011). Antara yang masih kuat di ingatan saya adalah Hotel Hilton di Petaling Jaya. Setiap kali balik dari sekolah (sekolah petang), kami terus mandi dan tukar pakaian di 'pejabat ayah' (EPF) di P.J. Kemudian kami akan bergerak mencari hotel yang hendak dituju bagi memenuhi jemputan berbuka bersama-sama. Perjalanan ke hotel perlul disegerakan kerana waktu itu adalah waktu jalan sesak. Khuatir lewat pula jadinya untuk berbuka jikalau lewat. Itu yang berlaku pada minggu kerja.

Hotel Hilton, Petaling Jaya
Hujung minggu pula adalah masa untuk berbuka di rumah sanak saudara. Bergilir-gilirlah masing-masing menetapkan hari dan jadual berbuka setiap hujung minggu. Ampang-Shah Alam-Bukit Kuchai. Giliran rumah yang kami kerap lakukan satu tika dahulu. 

"Tidak ada lagikah jemputan untuk berbuka di luar?", saya bertanya ayah dek kerana ada rasa teringin. 
"Ada, tapi kita tak pergi lagilah lepas ni sebab nak solat terawih", ringkas dan pendek jawapan ayah.

Semua itu jarang berlaku semenjak tahun 1996 apabila saya mula memasuki sekolah asrama. Alhamdulillah, kesedaran memahami Islam dan menghayati Ramadhan mula meresap dalam hati kami sekeluarga. Solat terawih antara ibadah yang akan dikejar untuk dilakukan menjelang bulan Ramadhan.

Nostalgia di Surau Ar-Rahman
Tahun 1995, ketika saya masih bersekolah di S.R.K La Salle, P.J, saya dan ayah bersama jiran kami kerap ziarah masjid di bulan Ramadhan. Dari Puchong-Subang-Sungai Buloh, tak kurang lima jenis masjid yang kami ziarah secara bergilir untuk solat terawih di bulan Ramadhan. Begitu juga bagi tahun-tahun selepas itu sehinggalah ayah dilantik menjadi pengerusi Surau Ar-Rahman menggantikan Cikgu Saad. Bermula saat itu, komitmen ayah berikan sepenuhnya pada bulan Ramadhan menganjurkan solat terawih di Surau Ar-Rahman, Bandar Puchong Jaya. Saya dan adik-adik turut serta bagi membantu dan menyokong gerak kerja ayah di surau tersebut.

Kini, tahun 2011, ayah masih gagah menjalankan amanah menganjurkan terawih di Surau Ar-Rahman. Saban tahun, banyak pelajar tahfiz dan Ustaz yang dijemput untuk mengimamkan solat terawih di Surau tersebut. Saya pula telah berkeluarga dan tidak lagi menetap di Puchong. Adik-adik lain pula yang memikul tanggungjawab membantu ayah sepanjang bulan Ramadhan ini.

Nostalgia Ketika Mula Bekerja
2006 adalah tahun saya mula bekerja sebagai Sales Engineer. Bagaikan telah 'ditempah', saya dan adik-adik hadir solat terawih di Surau Ar-Rahman. Cuma satu kali sahaja saya berbuka puasa di luar, iaitu Iftar Ramadhan bersama rakan-rakan lama KiSAS di sebuah restoran berdekatan tempat kerja saya di Shah Alam. Tahun 2007 pula saya telah bertukar tempat kerja di CKM, Mid Valley. Pelbagai jemputan berbuka yang saya terima dan hadir. Seronok tak terkata kerana dapat mengenang kembali zaman lampau ketika berbuka puasa di hotel bersama ayah dan emak. Tahun 2008, saya membawa pula adik-adik lelaki saya untuk turut serta berbuka puasa di hotel memandangkan mereka tak pernah merasa berbuka di hotel seperti saya dan kakak. Selalunya saya akan menerima jemputan ke hotel yang berdekatan sahaja untuk memudahkan urusan perjalanan. Yang paling menyenangkan ialah berbuka puasa berdekatan Mid Valley iaitu Hotel Garden, Hotel Cititel dan Hotel Boulevard. Namun, apabila makin kerap menghadiri majlis berbuka tersebut, diri ini terasa rugi tidak solat terawih berjemaah di masjid.
Boulevard Hotel, Mid Valley, Kuala Lumpur
Cititel Hotel, Mid Valley, Kuala Lumpur
The Garden Hotel, Mid Valley, Kuala Lumpur
Berpuasa di Ramadhan Al-Mubarak
Genap seminggu saya dan keluarga berpuasa di bulan Ramadhan 1432H yang mulia ini. Saya berazam tidak mahu menghadiri mana-mana jemputan berbuka puasa di hotel-hotel pada tahun ini. Banyak lagi target yang telah saya letakkan untuk dilakukan dalam bulan Ramadhan tahun ini.

Puasa tahun ini ada kelainannya yang tersendiri. Ramadhan kali ini adalah yang pertama saya dan keluarga harungi bersama rumah baru kami. Dalam tempoh seminggu ini, dalam tak sedar saya telah solat terawih di tiga buah masjid.  Enstek-Puchong-Kelana Jaya.

Tetapi, apa yang pasti, diri ini mengharapkan perubahan agar menjadi lebih baik. Tak semestinya perubahan secara eksponential tapi biarlah ianya dapat berubah secara linear.

Wallahu A'lam.


Friday, 22 July 2011

2.3 Bekerja Kerana Allah

Perangai Masing-Masing
Niat untuk bekerja perlulah disaring dan disandarkan kepada keikhlasan yang jitu agar kerja yang dibuat itu penuh teliti dan berkualiti. Namun, untuk terus istiqamah dengan keikhlasan setiap masa tika menjalankan tugas kadang-kadang menemui jalan yang sukar. Setelah 3 tahun bekerja, pelbagai kerenah dan perangai etika kerja yang telah saya temui. Pendek kata, 1001 macam perangai dan gedebe.
Meja kerja saya yang masih baru, bersih dan kemas - 2007
Selepas setahun... - 2008
Kini, pindah ke partition lain - 2011 
Politik Kerja
Hubungan saya dan rakan seangkatan yang masuk pada tahun 2007 cukup baik. Walaubagaimanapun, senior saya berkongsi pandangan mengatakan apabila telah cukup tempoh dan ada kenaikan pangkat, waktu itu baru kita akan sedar manakah rakan yang berkualiti atau tidak. Dalam hati, saya agak keberatan untuk menyokong pandangannya..... Senior saya berkata bahawa apa yang dikatakan oleh dia adalah berdasarkan pengalamannya sendiri.

"Walaupun kita cakap bahawa kita ikhlas bekerja dengan tekun, namun apabila ramai engineer yang lebih junior daripada kita dapat kenaikan pangkat, pasti hati kecil akan terasa" ujar beliau.

Pengalaman Mengajar Kita
'Hormati orang yang lebih tua kerana mereka lebih dahulu makan garam daripada kamu'

Pasti ramai yang pernah mendengar ungkapan tersebut. Hakikatnya memang ada kebenaran disebalik kata-kata tersebut. Membesar bersama-sama di tempat kerja, dari bujang ke kahwin, dari kahwin ke timang cahaya mata, semuanya membawa perubahan kepada individu yang kita kenali. Saya sendiri kini banyak meluangkan masa bersama keluarga berbanding dengan kawan-kawan seperti zaman bujang dulu.

Dan ramai rakan-rakan telah berubah sedikit demi sedikit. Dalam beberapa bulan lagi akan ada kenaikan pangkat. Ada beberapa rakan saya akan naik pangkat terlebih dahulu daripada saya. Terasakah?

Carilah Redha Allah
Untuk memuaskan hati manusia memanglah sukar. Walau serajin mana pun kita, komited terhadap kerjaya, balik lewat malam, kerja di hujung minggu, pun masih sukar untuk kita dapat memuaskan hati pegawai atasan yang sentiasa mahukan yang terbaik. Oleh itu, kesimpulan yang saya dapat adalah bekerjalah kerana Allah, ikhlaskan diri dan dahulukan redha Allah berbanding redha manusia.

Wallahu A'lam.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...