Tuesday, 17 June 2014

2.6 Bagaimana Menjadi Seorang Jurutera Profesional

Artikel kali ini adalah sangat penting bagi mana-mana graduan yang baru menamatkan pengajian sarjana muda dalam bidang kejuruteraan samada di universiti tempatan ataupun luar negara.

Pasti ramai yang tertanya-tanya apakah langkah yang harus diambil sebelum meneruskan kerjaya sebagai seorang jurutera profesional. Bagi yang baru berada di alam persekolahan dan berminat untuk menjadi seorang jurutera, pilihlah kursus kejuruteraan yang betul dan sesuai untuk diri sendiri.

Matlamat dalam pemilihan kerjaya
Sepertimana artikel saya sebelum ini 2.5 Mengapa Jadi Jurutera 2.0, seseorang perlulah mempunyai matlamat kerjaya yang jelas dalam hidupnya. Kedegilan adalah sangat penting sekiranya kita amat yakin dengan minat dan kemampuan diri kita. Seterusnya adalah bergantung kepada doa dan usaha kita.

Sekolah Menengah
Di zaman saya sehingga tahun 2000, Sijil Pelajaran Malaysia adalah antara penentu awal kerjaya kita kerana kesemua pelajar akan mula dikhususkan dengan aliran yang sesuai dengan kebolehan dan minat pelajar tersebut. Oleh yang demikian, buatlah pilihan yang betul sekiranya ingin menjadi seorang jurutera, saintis ataupun doktor, maka aliran sains tulen adalah yang paling sesuai sekali bagi memastikan subjek-subjek yang dipelajari dapat menjadi kredit kepada kita apabila melanjutkan pelajaran ke universiti.

Selepas menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 1998, saya telah ditawarkan kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) untuk aliran agama (perdagangan). Sebelum saya menerima tawaran tersebut, saya, emak dan ayah pergi berjumpa Timbalan Pengetua ketika itu bagi membincangkan samada dibolehkan untuk menukar aliran ataupun tidak. Alhamdulillah, 'kedegilan' dan ikhtiar membuahkan hasil apabila pihak sekolah bersetuju untuk menukarkan aliran agama (perdagangan) saya kepada aliran sains tulen. Langkah Pertama selesai.

Matrikulasi dan Universiti
Secara ringkasnya, Langkah Kedua ini juga harus diteruskan dengan penuh semangat yang tidak luntur dan telah saya huraikan di dalam artikel sebelum ini 1.3 Mengapa Jadi Jurutera.

Tamat Pengajian Universiti
Apakah Langkah Ketiga yang perlu diambil?


"Mana-mana individu yang mahu bekerja sebagai seorang jurutera adalah wajib mendaftar sebagai Jurutera Siswazah dengan Lembaga Jurutera Malaysia [Board of Engineer Malaysia; BEM]. BEM mengiktiraf pengalaman yang diperoleh oleh graduan kejuruteraan hanya selepas dia telah mendaftar sebagai Jurutera Siswazah. Oleh itu, ia adalah langkah bijak untuk para graduan kejuruteraan untuk mendaftar sebagai Jurutera Siswazah pada permulaan kerjaya kejuruteraannya"


Secara ringkasnya, bagi mana-mana individu yang telah menamatkan pengajian di dalam ijazah kejuruteraan adalah digalakkan mendaftarkan diri dengan BEM. Sekiranya kerjaya kita seterusnya memerlukan kita untuk mempraktikkan norma kerja kejuruteraan, maka adalah diwajibkan untuk mendaftarkan diri dengan BEM kerana tertakluk di bawah Registration of Engineers Act 1967 (Rev.2007)

Sebelum tahun 2010, semua pendaftaran sebagai Jurutera Siswazah perlu dibuat secara manual dengan memuat turun borang pendaftaran daripada laman web BEM. Sekarang ini tidak perlu pening kepala, semua pendaftaran boleh dibuat secara online melalui laman web BEM sendiri.

Frequently asked questions - Apa beza BEM dengan IEM?

LEMBAGA JURUTERA MALAYSIA (Board of Engineers Malaysia)
BEM adalah sebuah badan kerajaan / badan profesional dengan peranan utamanya adalah untuk memudahkan pendaftaran jurutera dan mengawal selia kelakuan profesional dan amalan jurutera berdaftar untuk melindungi keselamatan dan kepentingan awam di Malaysia.

INSTITUSI JURUTERA MALAYSIA (The Institution of Engineers Malaysia)
IEM adalah sebuah badan profesional / komuniti pembelajaran sosial untuk jurutera dengan peranan utamanya adalah untuk mempromosi dan memajukan sains dan profesion kejuruteraan di mana-mana atau semua disiplin dan untuk memudahkan pertukaran maklumat dan idea-idea yang berkaitan dengan kejuruteraan.

Frequently asked questions - Yang mana satu kita perlu daftar?

Kita perlu berdaftar dengan BEM sebagai Jurutera Siswazah. Tidak wajib berdaftar dengan IEM. Walaubagaimanapun, adalah digalakkan juga untuk berdaftar dengan IEM kerana sebagai komuniti pembelajaran sosial untuk jurutera, IEM banyak menjalankan aktiviti dan latihan seperti Worksyop, Kursus, Seminar, Lawatan Teknikal dan lain-lain lagi bagi meningkatkan tahap kompetensi dan pemahaman setiap jurutera. Pendaftaran bagi menjadi ahli IEM juga boleh dibuat secara online.

Laluan untuk menjadi seorang Jurutera Profesional

Menjadi Seorang Jurutera Profesional
Langkah Keempat inilah yang ditunggu-tunggu.
1. Apabila seorang graduan / jurutera menamatkan pengajian dalam ijazah kejuruteraan dengan kelayakan yang diiktiraf, jurutera tersebut perlulah mendaftar dengan BEM sebagai Jurutera Siswazah.
2. Jurutera Siswazah boleh mula untuk mendapatkan latihan dan pengalaman  (diselia oleh jurutera profesional) sekurang-kurangnya 3 tahun sebelum dia boleh cuba memohon untuk menduduki Temuduga Profesional dan peperiksaan untuk melayakkannya menjadi Jurutera Profesional dengan BEM dan layak menggunakan gelaran Ir.
3. Permohonan untuk menjadi Jurutera Profesional boleh dibuat samada kepada BEM ataupun IEM. Walaubagaimanapun, kesemua proses temuduga, peperiksaan dan laporan kini telah diambil alih dan diuruskan sepenuhnya oleh IEM dan hanya dipantau oleh BEM.
4. Proses permohonan dan maklumat lanjut untuk memohon sebagai Jurutera Profesional boleh didapati di laman web BEM dan IEM.

Contoh sijil bagi individu yang telah layak digelar sebagai Jurutera Profesional (Ir.)

Frequently asked questions - Saya telah menjadi Jurutera Profesional. Apa lagi yang boleh dibuat?

Langkah Kelima adalah satu langkah mengembangkan kerjaya dan 'nilai' kita dalam sumbangan aktiviti sosial, persatuan dan masyarakat. Menjadi Jurutera Profesional jangan dilihat sebagai penamat tetapi ia adalah permulaan kepada gerak kerja yang lebih berat dengan memikul tanggungjawab, etika dan tingkah laku profesional. Ini adalah profesion yang tiada had batasan. Kita boleh meletakkan teori ke dalam amalan kerja  dan kita boleh mencipta dan membuat inovasi.
Pekeliling yang telah dikeluarkan oleh BEM adalah mengenai Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) bagi meningkatkan lagi profesionalisme di kalangan jurutera pada tahun 2006. Dasar ini bertujuan untuk memperbaiki dan memperluaskan pengetahuan dan kemahiran jurutera dalam melaksanakan tugas mereka selaras dengan amalan semasa dan peraturan-peraturan. IEM telah dilantik sebagai Badan Bertauliah untuk melaksanakan Program CPD mengikut dasar dan garis panduan BEM pada Februari 2006.

Maka, adalah wajar dan menguntungkan sekiranya kita juga mendaftarkan diri dengan IEM bagi membantu mengumpul mata CPD.
Contoh sijil bagi individu yang telah layak menjadi Ahli Korporat IEM (M.IEM) (P.Eng)
Terdapat banyak lagi Persatuan / Badan Profesional di luar sana yang boleh kita sertai bagi meluaskan lagi rangkaian kenalan dan kerjaya kita. Buat yang terbaik dan cuba yang terbaik. Selamat Berjaya....




 Kesimpulan
Tak perlu fikir panjang, sekiranya layak, teruslah daftar secara online sebagai Jurutera Siswazah. Tidak rugi apa-apa malah memberi 'nilai' kepada diri kita kerana telah berdaftar dengan Badan Profesional dan boleh diletakkan di dalam Resume.

P/S: sambungan artikel >>  2.9 Bagaimana Menjadi Seorang Jurutera Profesional 2.0
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...