Wednesday, 21 September 2011

1.22 Keberkatan dalam Amalan; Ramadhan

Puasa Enam Hari Syawal 1432H
Bulan Syawal bakal berakhir dalam beberapa hari lagi. Saya sendiri baru selesai dalam menunaikan sunnah Nabi s.a.w untuk berpuasa enam (6) hari di dalam bulan syawal.

Dari Abu Ayyub al-Anshari r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

Siapa saja yang telah berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka ia seperti puasa setahun” (HR. Muslim, Abu Dawud, Ahmad, Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Darimi. Sementara Bazzar meriwayatkan hadits yang sama dari jalan Abu Hurairah ra.)

Dari Tsauban r.a bahwa Rasulullah Saw bersabda:
Puasa sebulan Ramadhan-sama-dengan puasa sepuluh bulan. Dan puasa enam hari di bulan Syawal-sama-dengan puasa dua bulan. Dengan demikian sama dengan puasa setahun.” (HR. Nasa’i dalam as-Sunan al-Kubra).

Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun). [Surah 6 Al-An'aam;Ayat 160]
Whoever comes [on the Day of Judgement] with a good deed will have ten times the like thereof [to his credit], and whoever comes with an evil deed will not be recompensed except the like thereof; and they will not be wronged. [6:160]

Maka timbullah kira-kira bagaimana datangnya 'ibarat berpuasa selama setahun' itu.
30 hari berpuasa Ramadhan = 30 x 10  [brg siapa buat 1 kebaikan, maka 10 kebaikan buatnya]
                                           = 300 hari
                                           = 10 bulan
6 hari berpuasa Syawal = 6 x 10  [brg siapa buat 1 kebaikan, maka 10 kebaikan buatnya]
                                    = 60 hari
                                    = 2 bulan
Akhirnya 10 bulan + 2 bulan = 12 bulan berpuasa = Satu (1) tahun.

Keberkatan Bulan Ramadhan
Berlalunya bulan yang penuh barakah itu meninggalkan kesan tarbiyyah ke atas setiap individu muslim. Kesan tarbiyyah selama sebulan itu sepatutnya dapat membantu kita membersihkan 'diri' dan hati yang suci ini untuk kembali kepada fitrah; penyucian jiwa dan hati. Antara intipati khutbah di pagi raya yang saya cerapi pada bulan lepas adalah mengenai keberkatan amalan kita di dalam bulan bulan Ramadhan. Antara cara muhasabah diri bagi melihat samada bulan ramadhan yang baru kita lalui berjaya kita harungi dengan jaya dan beroleh keberkatan darinya adalah dengan melihat kesan tarbiyyah itu pada bulan-bulan berikutnya bermula dari bulan Syawal. Andainya tiada perubahan pada diri kita sebelum, semasa dan selepas bulan ramadhan ini, maka kita telah lalui proses tarbiyyah Ramadhan tanpa beroleh manfaat dan keberkatannya.
Pengalaman Semasa Ramadhan 1432H
Alhamdulillah, bulan Ramadhan kali ini memberi kelainan yang tersendiri. Jika dibandingkan dengan tahun-tahun lepas, jumlah amalan yang dilakukan berkurangan sedikit pada Ramadhan tahun ini. Namun, keberkatan dari amalan yang dilakukan amat saya rasai. Mungkin kali ini saya menyuntik sedikit perbezaan dalam menghadapi Ramadhan. Antaranya ialah amalan membaca Al-Quran disertai juga dengan membaca maknanya dan yang paling berbeza dari tahun-tahun sebelumnya ialah saya berbuka dengan makan cukup sekadar yang perlu. Walaupun tidak secara menyeluruh, tapi lebih dari 20 hari saya berbuka hanya dengan makan kurma, seketul lauk dan air. Saya begitu menjaga makan dan minum saya agar perut tidak kekenyangan. Badan terasa ringan ketika ingin membuat ibadah. Bertemukah kita semua dengan malam Lailatul Qadar? Apakah pengalaman yang kita hadapi tika itu? Siapakah insan yang terpilih untuk bertemu Lailatul Qadar?

21 malam harum semerbak....

Wallahu A'lam.

1.21 Fenomena Islam di Malaysia

Golongan Murtad Yang Merebak
Sejak pertama kali saya mendengarnya dari tahun 1997 hingga ke hari ini, isu murtad di Malaysia kedengarannya makin menjadi-jadi. Bukan kerana sebelum 1997 tidak ada yang murtad sehingga tidak pernah kedengaran, namun selepas tahun 1997, terdapat dua faktor yang menyebabkan isu ini tersebar luas iaitu:-
  1. Golongan yang ingin murtad menjadi lebih berani menampilkan diri secara terbuka.
  2. Orang Islam yang berani mendedahkan malapetaka yang melanda umat Islam di Malaysia.
Hakikatnya semua manusia termasuk orang Melayu di Malaysia ini semuanya dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu Islam. Kemudian dibesarkan dengan adat-adat kemelayuan dan ajaran agama Islam. Oleh itu, apakah punca dan silapnya orang melayu yang Islam tetapi ingin murtad? Pelbagai isu, fakta dan spekulasi boleh diketengahkan untuk dibincangkan dari institusi keluarga hinggalah institusi negara.

Langkah Yang Diambil
Dari segi perlembagaan itu sendiri, apabila disebut sahaja mengenai Melayu, pastilah akan diIslamkan Melayu itu kerana 'Melayu adalah Islam'. Itu adalah antara langkah penting yang telah dibuat bagi melindungi bangsa Melayu Islam. Seterusnya lagi, sekolah-sekolah agama kontemporari diwujudkan, silibus-silibus agama wajib diajar kepada semua orang  Islam, sambutan Maal Hijrah dan Maulidur rasul diraikan, tilawah Quran dianjurkan dan zakat dikutip untuk pembangunan dan kesejahteraan umat Islam di Malaysia. Semua yang dilaksanakan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada pembangunan umat Islam di sini. Saya sendiri adalah 'hasil' dari pelaksanaan dasar pembangunan Islam yang telah dibuat. Maka, gagalkah sistem yang dirangka itu?

Kelemahan Asas
Meletakkan kesalahan secara total kepada sesuatu sistem bukanlah suatu penyelesaian. Ramai ibu bapa yang mengambil langkah inisiatif menjalankan sendiri pengajaran Islam yang intensif dengan membawa anak mengaji dan berguru dengan para ulama yang alim lagi mursyid. Ada sesetengah individu  mengambil inisiatif mendirikan sekolah tahfiz dan sekolah pondok untuk mewariskan ilmu para nabi. 

Kerap saya mengingatkan diri saya perkara pertama yang kita perlu lakukan untuk mengubah diri sendiri adalah dengan mengakui kelemahan/kesalahan diri dahulu. Dari situ barulah akan terbuka jalan dan cebisan azam untuk mengubah diri menjadi lebih baik. Begitu juga kehidupan kita sebagai seseorang yang bergelar Muslim di negaraku Malaysia ini. Berapa ramai di antara kita yang mampu untuk memberikan jawapan mengapa kita perlu menunaikan solat. Itu belum lagi ditanya berapa ramai yang menunaikan solat. Kulit luar berhiaskan Islam namun hati di dalam tiada siapa yang tahu. Kelemahan kebanyakan Melayu yang dilahirkan Islam pada hari ini ialah menjadikan agama Islam itu tidak lebih hanya sekadar warisan nenek moyang yang harus dipegang agar tidak hilang jati melayunya, bukan kerana Islam itu wajib dipegang kerana tauhidnya pada tuhan semesta alam.
Mutiara Yang Hilang
"Apabila saya merantau ke luar negara, saya dapat lihat 'Islam' dikalangan orang bukan Islam tetapi apabila saya pulang ke tanah air, saya tidak dapat lihat 'Islam' dikalangan orang Islam."

Sinis sungguh kata-kata tersebut tetapi jika kita ambil untuk muhasabah diri, kita akan faham fenomena yang melanda masyarakat Melayu-Islam Malaysia pada hari ini. 
"..dapat lihat Islam dikalangan orang bukan Islam.." membawa erti orang-orang bukan Islam di luar negara didapati mengamalkan cara hidup yang disarankan oleh Islam setelah mereka melalui satu transformasi peningkatan taraf hidup negara maju. Melalui kajian dan tindakan penambahbaikan, mereka dapati kemajuan dan taraf hidup yang lebih baik adalah dengan mengamalkan 'etika' (Islam) hidup tersebut.
"..tidak dapat lihat Islam dikalangan orang Islam.." membawa erti orang-orang Islam di tanah air ini didapati tidak mengamalkan ajaran murni dalam Islam walaupun nama dan pakaian mereka melambangkan keIslaman mereka.

Ramai para sarjana yang menganut ajaran Islam apabila mengakui kebesaran dan kehebatan Allah s.w.t melalui ciptaan-ciptaanNya sehingga ada antara mereka yang berkata "Saya masuk Islam kerana saya telah jatuh cinta kepada kehebatan dan keindahan Islam itu sendiri melalui kajian yang dilakukan. Andaikata saya hanya melihat kepada umat Islam yang ada pada hari ini sahaja, nescaya saya mungkin masih tidak akan Islam sehingga ke hari ini!"
Sehingga Nafas Yang Terakhir
Kunci ke Syurga = Dua Kalimah Syahadah
Tiada Ilah Melainkan Allah; Muhammad Itu Pesuruh Allah
There is no Ilah but Allah, and Muhammad is the messenger of Allah

Sedarlah wahai rakan-rakan yang gusar dan keliru, beruntunglah bagi bangsa Melayu yang dilahir dan dibesarkan dalam Islam, namun permulaan yang baik bukan segala-galanya kerana pengakhiran yang indah adalah matlamat kita. Mati kita dengan mengakui tauhid pada Allah s.w.t adalah kunci untuk kita ke syurga. Maka pegang eratlah kunci tersebut walaupun ianya sepanas bara api. 

Fikir-fikirkan dan renung-renungkan di kala ramai di Malaysia ini yang ingin keluar dari Islam, akan tetapi apa yang berlaku di luar negara adalah sebaliknya. Di Amerika, secara puratanya lebih 20,000 orang menganut agama Islam setiap tahun. Tragedi September 11 yang mengaitkan Islam dengan keganasan di Amerika sehingga membentuk peperangan ke atas beberapa negara Islam telah Allah s.w.t gantikan kematian orang-orang Islam tersebut dengan kemasukan saudara Islam yang baru secara berpusu-pusu. Pengerusi CAIR (Council on American-Islamic Relations) memaklumkan bahawa 34,000 orang telah menganut agama Islam atas kesedaran dan bertitik tolak dari tragedi tersebut. Buku-buku mengenai Islam habis dipinjam di perpustakaan, Quran terjemahan dalam bahasa Inggeris termasuk dalam senarai buku paling laris di Amerika kini, ramai yang mula membuka mata ingin mengetahui mengenai Islam, mengunjungi masjid dan membuat perbincangan secara ilmiah untuk memahami Islam. Retorik yang mengatakan Islam disebarkan melalui pedang dan darah boleh disangkal di atas fakta yang berlaku sekarang ini.
Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian) [Surah 61 As Saff;Ayat8]
They want to extinguish the light of Allah with their mouths, but Allah will perfect His light, although the disbelievers dislike it. [61:8]

Walau sejahat dan sejahil mana pun kita, kita perlu sedar kita sedang memegang sebuah mutiara yang sangat berharga bersama-sama dengan sebuah kunci yang perlu kita pertahankan dengan nyawa kita. Lengkapkan diri kita dan keluarga dengan ilmu syariat dan makrifatullah, pertahankan aqidah dan iman kita dan sampaikan peringatan dan bantuan kepada rakan-rakan yang lain agar sama-sama kita dapat mengharungi ombak fitnah akhir zaman ini. Keluar dari Islam bukan penyelesaian kepada kekusutan yang berlaku dalam diri kerana kita telah menolak fitrah kita secara langsung. Banyakkan berfikir dan mencari ilmu agar terus maju dan dapat membantu.

Maka yang mana satukah di antara nikmat tuhan kamu yang ingin kamu dustakan?

Wallahu A'lam.

Wednesday, 7 September 2011

1.20 Kejayaan dalam Kehidupan

Panduan Hidup Bersyariat - SOLUSI
Selepas satu minggu bercuti bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri, akhirnya saya kembali semula bekerja pada 7 Syawal 1432H. Keadaan jalan raya pada waktu petang kembali sesak sewaktu saya dalam perjalanan pulang  untuk mengambil anak dan isteri. Saya pasang radio untuk menyegarkan otak dengan informasi yang berguna, insyaAllah. Alhamdulillah, rancangan stesen radio ikim pada petang itu memberi satu renjatan maklumat yang sangat berguna bagi saya. Ustaz Pahrol Mohamad Juoi mengupas mengenai erti Kejayaan beserta dengan analoginya yang sangat menarik sehingga tertariklah saya untuk terus mendengarnya. Tidak dapat saya nafikan bakat beliau dan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dapat bidang penulisan Islam dan motivasi menjadi antara penyebab saya dan isteri untuk terus membaca majalah SOLUSI.

Kejayaan Bukanlah Suatu Perhentian
Kejayaan itu adalah satu proses dalam hidup kita dan sebagai suatu pengalaman untuk kita bawa meniti masa mendatang. Kita perlu terus bergerak ke hadapan untuk berhadapan mehnah dan tribulasi yang tiada penamatnya sehinggalah kita menghembuskan nafas yang terakhir. Di saat itulah 'dunia' akan berhenti mengejar kita dan di saat itulah baru kita tahu bahawa diri kita ini 'baik' atau sebaliknya. Kejayaan yang hakiki adalah apabila kita diterima oleh Allah s.w.t untuk masuk ke dalam jannah di akhirat kelak, insyaAllah. Melalui tazkirah yang saya dengar pada petang itu, kesimpulan yang saya perolehi ialah Ustaz Pahrol Juoi menggariskan kejayaan mestilah mempunyai tiga (3) elemen berikut:-
1. Mempunyai visi dan misi
Visi 
- tanggapan yangg jauh dan mendalam, terutamanya yg berkaitan dgn perkembangan masa depan.
- perkara yang cuba untuk dicapai.
Misi 
- tugas khusus yg dipertanggungjawabkan untuk dilakukan untuk menjayakan visi tersebut.
- metodologi, kaedah dan perancangan yang khusus.
2. Membangun diri ke tahap maksimum
- perkara yang dibuat adalah satu benda yang mencabar diri, memberi input dan pengalaman yang baru.
- mengharungi dugaan dan rintangan.
3. Membawa kebaikan kepada orang sekeliling
- hasil yang didapati memberi manfaat kepada diri sendiri dan masyarakat.
- tidak menindas orang lain demi untuk mencapai matlamat.

Kisah Si Profesor dan Si Nelayan
Apa yang menarik seterusnya ialah analogi yang diberi oleh beliau mengenai tahap kebijaksanaan manusia. Ujar beliau, dalam dunia ini tiada seorang manusia pun yang dilahirkan 'bodoh'. Perbezaan antara kita semua adalah tingkat kebijaksanaan dan kepakaran yang berbeza. Hmm...bukan sama ke maksudnya? Mari kita sama-sama mengambil pengajaran dari kisah berikut:-

Adapun suatu ketika dahulu, seorang profesor menaiki sampan untuk menuju ke sebuah destinasi. Sampan yang dinaiki kepunyaan si nelayan ini bergerak merentasi lautan yang tenang. 
"Awak tidak pernah pergi ke sekolah ke?" bertanya profesor tersebut kepada nelayan tersebut.
"Tidak pernah", balas nelayan itu sambil menundukkan kepala.
"Maknanya awak telah kehilangan sebahagian daripada hidup awak!" ujar profesor itu.
Suasana di atas sampan sunyi seketika.
"Kalau macam itu, awak pandai membaca dan menulis tak?" soal semula profesor tersebut.
"Tidak", balas nelayan itu ringkas.
"Maknanya awak telah kehilangan sebahagian lagi daripada hidup awak!" ujar profesor itu.
Suasana di atas sampan sunyi semula. Tiba-tiba, takdir menentukan segalanya. Sampan yang didayung itu mengalami kebocoran dan mereka masing-masing makin tenggelam ke dalam air. Lantas, bertanya pula si nelayan kepada profesor tersebut.
"Awak pandai berenang tak?"
"Tidak", balas profesor itu cemas.
"Maknanya awak akan kehilangan seluruh hidup awak!" ujar nelayan itu.

Jauhi Diri Dari Sifat Sombong dan Bongkak
Pengajaran dari kisah tersebut ialah setiap orang mempunyai tingkatan kepandaian dan kemahiran yang berbeza. Amat rugi sekali pada diri kita untuk memandang rendah kepada orang lain dengan menyangka diri kita lebih hebat. Hikmah Allah s.w.t cipta manusia dengan tingkat kebijaksanaan yang berlainan sangat besar. Dalam sekelip mata, Allah s.w.t berkuasa untuk menunjukkan pada kita bahawa kemahiran yang kita agung-agungkan ada ketikanya tidak berguna dalam situasi yang lain. Kemahiran yang kita hinakan pula yang memberi jasa dan pulangan yang lebih lumayan pada situasi tersebut.

Hidup kita ini saling bergantungan antara satu sama lain. Si Kaya perlukan Si Miskin, Si Tinggi perlukan Si Rendah dan begitulah juga sebaliknya. Yang tua perlu menyayangi yang muda, yang muda perlu menghormati yang tua. Si profesor perlu pada nelayan dan nelayan perlu pada profesor. Tanpa nelayan, profesor tidak akan dapat makan ikan, tanpa profesor, nelayan tidak ketemu kemajuan.

Si Besar perlukan Si Kecil, Si Bos perlukan Si Pekerja. Kesemua tingkatan kebijaksanaan ini memberi satu kebergantungan 'kehidupan' kepada kita. Kita perlu dan mahu kepada hidup bermasyarakat. Namun apakah sumbangan dan pengorbanan kita dalam hidup bermasyarakat?

Wallahu A'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...