Kepelikan Sistem
"Peliknyaaa..." itulah ungkapan yang digetuskan hati saya apabila melihat kepada kehidupan ini. Kehidupan berasrama di sudut hujung peta selangor ini banyak mengubah kehidupan saya. Perjalanannya masih tidak menentu, tetapi harapan yang menggunung di hati adalah untuk menjadi insan yang lebih baik, insyaAllah.
Pelik dengan sistem pendidikan sekarang.
Pelik dengan sistem pekerjaan sekarang.
Pelik dengan sistem kewangan sekarang.
Pelik dengan sistem kehakiman sekarang.
Pendek kata, pelik dengan segala-galanya yang berlaku di akhir zaman ini.
Namun, cetusan fikiran seorang remaja pada usia 13 tahun tidak dapat melangkau jauh disebabkan kesempitan ilmu itu sendiri dan kedangkalan masyarakat sekeliling yang gagal membekalkan suasana pemikiran yang bersih dan produktif. Semuanya penuh dengan doktrin yang diterapkan dari bangku sekolah yang menghalang para pelajar mempunyai pemikiran yang kritis. Entah bagaimana hendak dimulakan untuk mencari punca segala kepelikan ini namun masih tak ketemu.
15 tahun berlalu, rupanya jawapan kepada kepelikan-kepelikan itu sentiasa berada dikeliling saya. Cuma diri ini sahaja yang belum menemukannya. Apa yang diajar oleh para guru di sekolah dahulu ada mengandungi jawapan-jawapan yang saya cari. Namun, tafsiran dan sudut pandangan 15 tahun dulu amat berbeza dengan diri saya sekarang.
Pasti ramai yang masih dimanggu persoalan mengenai kepelikan yang saya maksudkan. Kepelikan yang saya maksudkan adalah naluri kita sebagai seorang manusia melawan arus sistem-sistem yang wujud di akhir zaman ini. Contohnya, (KES 1) di sekolah semua murid disuruh untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mendapat keputusan peperiksaan yang bagus agar boleh memasuki menara gading dan mendapat segulung ijazah sebelum menjadi orang yang berjaya. Namun, naluri diri saya ini merasa kepelikan kerana hidup ini lebih besar ertinya dari belajar selama 24 jam seminggu!
(KES 2) Sering waktu perhimpunan di sekolah dulu saya mendengar ucapan guru motivasi meminta semua pelajar untuk fokus menelaah semasa di bangku sekolah agar kelak tidak menyesal tika dewasa. Perkara yang berlaku disekeliling usah dipedulikan kerana belum sampai waktu untuk melibatkan diri. Perjuangan saya hanyalah sebagai seorang pelajar untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Itulah doktrin yang telah diterapkan kepada kebanyakan pelajar sehingga ke hari ini.
Hakikatnya bagi saya, guru itu telah menjalankan tanggungjawabnya untuk membantu para pelajar untuk 'survive' dalam 'sistem' dunia moden, dunia globalisasi ini. Namun, bagi mereka yang mempunyai kesedaran, 'sistem' ini telah lama menjajah kita sehingga sukar untuk kita melepaskan diri daripadanya.
Mahu kerja dengan gaji besar? Perlu ada ijazah yang mereka iktiraf.
Mahu beli kereta dan rumah? Perlu buat pinjaman yang melibatkan riba'.
Islam Kembali Asing
Mari kita sama-sama merenung petikan hadith berikut:
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali dagang (asing). Maka berbahagialah (beruntunglah) orang yang bersama Islam ketika ianya dagang (asing). (Hadith riwayat Muslim)
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. berkata: Telah bersabda Rasulullah saw: Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah ini akan kembali. (Riwayat Baihaqi)
Diri ini saya ibaratkan berada di dalam kawasan lumpur. Sukar untuk kita bergerak tanpa kotoran lumpur itu terpalit kepada kita. Andai kita tidak mahu bergerak, pasti debu-debu lumpur itu akan sampai jua pada kita.
Apa jua ibadah dan amalan dalam kehidupan seharian yang kita lakukan bersandarkan kepada Quran dan Sunnah pasti akan dipandang pelik sedangkan kepelikan itu sebenarnya berpunca daripada masyarakat itu sendiri. Tetapkanlah pendirian dan teruskanlah perjuangan wahai sahabatku...
Wallahu A'lam.