JABATAN KERJA RAYA adalah sebagai
Perunding Utama Teknikal kepada Kerajaan Malaysia. Oleh yang demikian, JABATAN
KERJA RAYA adalah penasihat dan perunding teknikal kepada semua Kementerian
bagi pelaksanaan projek pembangunan, penyelenggaraan aset, fasilti dan
infrastruktur bangunan.
Terdapat beberapa versi mengenai tarikh
penubuhan JABATAN KERJA RAYA (JKR). Walaubagaimanapun, kesemua versi tersebut bersetuju
mengenai objektif penubuhan JKR ketika itu iaitu berkaitan dengan penubuhan
Pulau Pinang. Pihak British East India
Company (Syarikat Hindia Timur Inggeris) adalah sebuah syarikat perdagangan
ketika itu yang memerlukan sebuah stesen yang selamat dan strategik untuk
memperbaiki kapal-kapal dagangan mereka sepanjang jalan dagangan laut iaitu
England-India-China. Pulau Pinang ditemui sebagai sebuah lokasi strategik
kerja-kerja tersebut.
JKR telah ditubuhkan pada 1872 semasa
zaman pemerintahan Inggeris. Salah satu jabatan yang tertua diwujudkan di bawah
pemerintahan ‘Crown Colony’ sebelum Perjanjian
Pangkor ialah Public Works Department
(PWD) dan kemudiannya dikenali sebagai Jabatan Kerja Raya (JKR). Penubuhan JKR
adalah untuk menyediakan infrastruktur bagi pembangunan sosio-ekonomi dan sistem
politik kerajaan Inggeris di Negeri Selat yang terdiri daripada Singapura,
Melaka, Perak, Seberang Perai dan Pulau Pinang. Penubuhan jabatan-jabatan kecil
oleh pihak Inggeris adalah kerana campurtangan pemerintah Inggeris dengan
pemerintahan Raja-Raja Melayu khususnya selepas termeterainya Perjanjian
Pangkor pada 1874. Orang pertama yang dilantik mengetuai JKR pada ketika itu
adalah bekas Jurutera Kolonial Negeri-Negeri Selat iaitu Major J.F.A McNair.
Dalam tahun antara 1948 -1956, organisasi
JKR telah diubahsuai. Ini merupakan detik permulaan jabatan-jabatan kerajaan di
Tanah Melayu dibenarkan melaksana polisi dan program masing-masing. JKR telah
dikekalkan dan diletakkan di bawah pentadbiran sebuah Kementerian. Pengarah JKR pula
bertanggungjawab kepada Menteri berkenaan berhubung dengan perkara-perkara
dasar Kementerian tersebut. Berikut adalah senarai Kementerian yang mentadbir JKR:-
1956 - Kementerian Kerja Raya, Pos
dan Telekom.
1975 - Kementerian Kerja Raya dan
Pengangkutan
1978 - Kementerian Kerja Raya dan
Kemudahan Awam.
1983 hingga kini - Kementerian
Kerja Raya Malaysia